Cari @ Amanz

Pada penghujung tahun lepas, MSI telah memperlihatkan sebuah konsep monitor baru yang dinamakan Project 491C QD-OLED iaitu sebuah paparan skrin kelas gaming premium ultra-lebar yang menggunakan panel QD-OLED yang dilihat boleh hadir dengan nilai kecerahan yang lebih tinggi dan olahan warna yang lebih ranggi.

Kini di acara COMPUTEX Taipei, MSI telah memperlihatkan sebuah paparan skrin Project 491C di reruai mereka dan mengujinya dengan permainan Microsoft Flight Simulator. Paparan ini memperlihatkan resolusi asal 5120×1440 dengan nisbah 32:9 dan kadar segar semula 240Hz dan lengah masa serendah 0.03ms.

Selain daripada digunakan untuk membina komputer simulasi penerbangan dan perlumbaan, paparan skrin ini juga hadir dengan nilai kecerahan 1000 nit dan menyokong teknologi paparan DisplayHDR TrueBlack 500 yang sangat baik digunakan untuk menonton filem ataupun bermain permainan moden kegemaran anda untuk pengalaman hiburan yang lebih mendalam. Ia juga menyokong teknologi grafik AMD Radeon FreeSync Premium Pro yang memastikan paparan ini tidak hadir dengan isu carikan skrin apabila output kad grafik dan paparan skrin tidak selari.

Dari segi sokongan palam, pihak MSI mengatakan bahawa buat masa ini, paparan Project 491C akan hadir dengan palam HDMI 2.1, DisplayPort 1.4, sokongan USB Type-C dan pengecasan terbina didalamnya.

Walaupun begitu, mereka juga mengatakan bahawa buat masa ini, spesifikasi penuh, malah rekaan paparan Project 491C ini juga belum muktamad lagi, dan perubahan dari segi rekaan tapak, sokongan teknologi dan sebagainya boleh dan akan berubah dalam masa beberapa bulan lagi.

MSI juga mengesahkan bahawa paparan ini akan dilancarkan pada penghujung tahun ini, dengan tanda harga yang akan ditetapkan kelak.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd