Pada hari ini, menjadi kebiasaan untuk mengaktifkan pembantu maya Siri pada peranti iPhone, iPad dan Mac melalui kata “Hey Siri”. Ia telah diperkatakan sebelum ini Apple sedang membangunkan kaedah untuk mempermudahkan lagi kata pengaktifan berkenaan, dan kini mengikut laporan Bloomberg, perubahan berkenaan dijangka berlaku seawal 2024 atau 2025 kelak.
Melalui perubahan berkenaan, pengguna akan dapat mengaktifkan pembantu maya Apple berkenaan dengan hanya menyebut “Siri” sahaja, seterusnya diikuti dengan arahan suara lain.
Disamping perubahan berkenaan, Apple juga menyasarkan untuk mengintegrasikan pembantu maya berasaskan arahan suara berkenaan dengan lebih mendalam pada aplikasi pihak ketiga. Ini dijangka akan memperluaskan lagi penggunaan pembantu maya berkenaan.
Pada hari ini, Siri bersaing dengan beberapa perkhidamatan lain, termasuk Alexa dari Amazon, dan Google Assistant dari Google. Dengan perubahan kepada panggilan hanya sepatah sahaja, iaitu “Siri”, pihak Apple perlu memastikan ia benar-benar berjalan lancar dan tidak aktif apabila loghat berbeza digunakan di negara-negara lain, atau aktif apabila disebutkan “Siti” dan sebagainya oleh pengguna Malaysia.