Cari @ Amanz

Apple berkongsi maklumat mengenai iOS 17 awal pagi ini dengan sistem operasi ini bakal hadir dengan pelbagai ciri serta fungsi baharu bermula 19 September depan. Tanpa berlengah-lengah lagi, berikut ialah 17 ciri paling menarik pada iOS 17 pada hemat kami di Amanz.


1. Contact Poster – Peribadikan Skrin Panggilan Telefon Individu Berbeza

Pada iOS 16 ciri memperibadikan skrin kunci telefon akhirnya tiba ke iPhone. Pada iOS 17 pula, Contact Poster untuk individu berbeza pula diperkenalkan. Pemilik peranti boleh memaparkan gambar, Memoji atau grafik berbeza untuk insan tertentu menerusi Contact Poster.

Seperti ciri memperibadikan skrin kunci, skrin telefon ini turut boleh dihias dengan sistem yang sama seperti teks yang berbeza, teks yang menyorok di sebalik objek, pelbagai penuras warna untuk gambar dan sokongan bahasa Jepun/Cina yang menegak. Anda juga boleh menghasilkan Contact Poster peribadi yang kemudiannya dikongsi dengan kenalan lain menerusi ciri Name Drop di bawah.

2. NameDrop – Kongsi Contact Poster Secara Nirsentuh

Kad perniagaan sudah wujud ratusan tahun bagi tujuan pertukaran maklumat antara kenalan baharu. Tetapi siapa ada masa mencetak kad fizikal sekarang? Kad fizikal yang ada mungkin hilang sebelum maklumat sempat disimpan ke dalam buku alamat telefon. Dengan NameDrop, Contact Poster peribadi boleh dikongsi kepada pengguna iPhone atau Apple Watch secara nirsentuh. Hanya rapatkan kedua-dua peranti ini dan tekan bukan berkongsi apabila ia muncul di skrin. Pertukaran Contact Poster antara kedua-dua pemilik peranti dilalukan sepantas AirDrop.

3. AirDrop Boleh Dihantar Tanpa Had Jarak

Sebelum ini AirDrop memerlukan dua iPhone atau lebih berada dalam lingkungan 10 meter untuk menghantar gambar, video atau sebarang jenis dokumen. Jika salah satu peranti bergerak keluar daripada lingkungan ini sebelum penghantaran selesai, AirDrop akan berhenti. Menerusi iOS 17 ini bukan lagi isu kerana apabila berada di luar lingkungan AirDrop, fail-fail akan dihantar pula menggunakan sambungan internet pula asalkan kedua-dua peranti mempunyai akaun iCloud.

4. StandBy – iPhone Menjadi Skrin Pintar

Apple merasakan pengguna tidak memerlukan sebuah skrin pintar seperti yang dihasilkan oleh Google, dan Amazon. Sebaliknya ciri StandBy diperkenalkan pada iOS 17 yang mengubah kesemua iPhone menjadi skrin pintar apabila diletakkan pada kedudukan landskap. Ia boleh memaparkan waktu, agenda harian, muzik yang dimainkan, kalender, pemain muzik dan widget untuk mengawal pelbagai peranti internet benda di rumah. Berbekalkan sebuah dermaga khas MagSafe, pemilik iPhone tidak perlu membeli jam loceng atau skrin pintar. iPhone sedia ada boleh melakukan perkara yang sama.

5. Meninggalkan Mesej Dalam Bentuk Video Di FaceTime

Kerap kali insan yang ingin dihubungi menggunakan FaceTime tidak menjawab panggilan video atas sebab-sebab tertentu. Bermula dengan iOS 17, pemilik ekosistem Apple boleh meninggalkan mesej dalam bentuk video yang dihantar dalam FaceTime. Dunia sudah berubah dan meninggalkan mesej dalam peti simpanan suara adalah sudah ketinggalan. Masa untuk berpindah ke peti simpanan video FaceTime pula dengan iOS 17.

6. Live Voicemail – Transkrip Automatik Untuk Peti Simpanan Suara

Peti simpanan suara tidak dilupakan juga oleh iOS 17. Apabila mesej audio diterima, pengguna iPhone boleh memilih untuk membaca transkrip yang dihasilkan secara automatik. Dengan ini anda masih boleh membaca mesej yang ditinggalkan sekiranya tidak boleh mendengar audio atas sebab-sebab tertentu. Pada waktu ini ciri ini hanya diperlihatkan menyokong Bahasa Inggeris.

7. iMessage – Transkrip Automatik Untuk Mesej Audio

Hampir kami terlupa selain sokongan transkrip automatik untuk peti simpanan suara, ia juga diberikan di dalam iMessage. Semua mesej dalam bentuk audio akan hadir dengan transkrip yang dipaparkan dengan jelas dalam aplikasi. Amat berguna bukan sahaja untuk mereka yang tidak boleh memainkan audio tetapi juga untuk golongan OKU pendengaran.

8. FaceTime – iPhone Menjadi Kamera Untuk Apple TV

Kita teruskan dengan sebuah lagi ciri baharu untuk FaceTime yang kini disokong pada Apple TV. Kamera iPhone boleh digunakan sebagai kamera untuk melakukan panggilan video menerusi Apple TV. Ia semudah memulakan panggilan di iPhone sebelum memindahkan panggilan FaceTime ke Apple TV.

9.Look Up – Carian Terus Dari Dalam Video

Ciri Look Up tahun lalu membolehkan teks dari dalam video disalin secara terus tanpa perlu melakukan tangkapan layar terlebih dahulu. Tahun ini ciri ini dipertingkatkan sekali lagi dengan pencarian objek dalam gambar pula boleh menggunakan ciri Look Up. Tekan sahaja imej subjek dalam video yang telah dijeda. Menu Look Up akan muncul supaya anda boleh mencari apakah jenis kucing, model kereta atau nama insan dalam video secara terus.

10. LockDown Mode Pada Semua Peranti Serentak

Lockdown Mode mengehadkan akses pelbagai aplikasi kepada rangkaian dan sistem peranti apabila pemilik merasakan ia telah digodam. Ciri ini diperkenalkan bagi membantu aktivis, ahli politik atau wartawan yang. merasakan mereka menjadi mangsa perisian hasad. Sebelum ini ciri ini hanya boleh dilakukan pada satu peranti. Bermula dengan iOS 17 apabila Lockdown Mode diaktifkan, semua peranti lain yang dimiliki akan memasuki mod ini secara serentak.

11. Lebih Banyak Ciri Ketercapaian

Golongan OKU tidak harus tercicir kerana peranti moden tidak mempunyai ciri yang membolehkan ia digunakan. Pelbagai ciri ketercapaian yang diumumkan pada awak Mei lalu akan diberikan menerusi kemas kini ke iOS 17. Antaranya ialah Live Caption yang menghasilkan kapsyen sari kata secara masa nyata dengan audio yang keluar daripada speaker. Ini adalah ciri yang pastinya berguna kepada OKU pendengaran.

Turut akan diberikan ialah  VoiceOver yang merupakan ciri membaca teks pada skrin untuk OKU penglihatan dengan sokongan 20 lagi bahasa baharu seperti Melayu, Mandarin, dan Vietnam. Sementara itu Door Detection mengenalpasti pintu bagi golongan OKU penglihatan. Pada iPhone ia boleh memberitahu pengguna kedudukan pintu, jarak, sama ada ia terbuka atau tutup dan bagaimana pintu boleh dibuka (putar, tolak atau tarik).

Ia turut boleh membaca teks pada pintu untuk memaklumkan pengguna nombor bilik dan pelbagai maklumat lain. Untuk memastikan ketepatan, Door Detection menggunakan sistem LiDAR pada iPhone.

12. Siri – Kata Seruan Lebih Pendek Dengan Mod Arahan Berterusan

Siri ialah pembantu maya yang paling awal digunakan pada telefon pintar tetapi kini menjadi antara yang paling mengecewakan. Google Assistant semakin bijak dan ChatGPT pula kini mampu berbual seperti manusia. Pada waktu yang sama Siri masih di takuk yang sama seperti lima tahun lalu dan kerap kali gagal mematuhi arahan.

Menerusi iOS 17, Siri akan menjadi lebih pintar dengan ia boleh diseru dengan hanya menyebut “Siri”. Selepas arahan diberikan, pemilik boleh terus memberikan arahan seterusnya tanpa perlu menyebut “Siri” atau “Hey Siri” lagi. Ini adalah mirip cir pemahaman konteks yang sudah disokong oleh Assistant sejak 2021.

13. Perkongsian Kata Laluan Dan Apple Passkey

Kadang kala anda mahu berkongsi kata laluan dengan anak, isteri, adik beradik atau saudara terdekat. Ini kami lalukan dengan beberapa platform penstriman yang dilanggan. Tetapi kerap kali juga mereka merungut aplikasi tidak boleh digunakan kerana ditendang keluar. Kami tidak selesa berkongsi kata laluan kerana ia boleh mendatangkan risiko.

Pada iOS 17 akan ada ciri berkongsi kata laluan dan passkey dengan sekumpulan pengguna yang benar-benar dipercayai. Dengan ciri ini apabila ingin log masuk ianya sudah dikongsi menggunakan ciri ini tanpa mereka tahun kata laluan sebenar.

14. Safari – Profil Berbeza Untuk Kerja, Peribadi dan Hiburan

Kami sudah menggunakan internet sejak 1994 dan pada waktu ini mempunyai ribuan penanda buku untuk laman-laman web kegemaran. Ia berserabut kerana tidak dikategorikan dengan baik. Pada Safari di iOS 17, ciri profil digunakan untuk melayari web bagi tujuan berbeza. Setiap profil mempunyai sejarah laman yang dilawati, penanda buku, tab, dan pemalam berbeza. Dengan profil urusan kerja, peribadi dan hiburan dapat dibezakan dengan lebih mudah.

15. Live Stickers – Menghasilkan Pelekat Beranimasi

Pelekat beranimasi Live Stickers boleh dihasilkan sendiri oleh pemilik peranti iOS 17 menggunakan Live Photo yang pernah diambil. Selain animasi, pelekat rekaan sendiri ini juga boleh diubah menggunakan templat yang telah diberikan. Pelekat-pelekat ini kemudiannya disimpan setempat bagi membolehkan di gunakan pada pelbagai platform atau aplikasi lain.

16. Check In – Memastikan Keselamatan Terjamin

Lockdown Mode memastikan keselamatan elektronik tetapi Check In pula memastikan keselamatan di dunia sebenar. Pemilik iPhone dengan iOS 17 boleh menghantar mesej kepada ahli keluarga yang mengatakan mereka selamat tiba. Jika mereka gagal tiba ke lokasi yang dijanjikan, ahli keluarga atau rakan lebih rapat akan diberikan notifikasi lengkap dengan lokasi GPS terakhir.

17.Journal – Menulis Dan Menyimpan Memori

Apple ingin mengembalikan semula menulis jurnal sebagai aktiviti harian. Suatu ketika dahulu menghasilkan jurnal ialah perkara normal sebelum ia kemudiannya menjadi blog. Menerusi ciri Journal, sebuah jurnal boleh ditulis dengan ia digabungkan dengan aktiviti sukan, gambar-gambar, video dan muzik yang berkaitan dengan hari jurnal ditulis.

Ia menjadi tempat memori disimpan bagi mereka yang masih ingin menulis seperti zaman awal 2000an. Ia kemudiannya boleh disulitkan sebelum disandarkan ke iCloud. Adakah ini petanda dari Apple untuk menghasilkan JurnalSerius?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd