Apple hari ini telah pun memperkenalkan secara rasminya set kepala pertama mereka dinamakan sebagai Vision Pro, dijangka dipasarkan pada 2024 kelak pada harga mencapai RM16,000. Turut sama dikongsikan ketika pelancaran adalah sistem operasi untuknya, dinamakan sebagai visionOS.
Sebelum ini, ramai membuat spekulasi ia akan dinamakan realityOS, tetapi Apple memilih nama visionOS untuk sistem operasi realiti-gabungan mereka. Apple menyatakan sistem operasi ini dioptimasikan untuk perkomputeran spatial.
Ia mengabungkan dunia realiti bersama maya, sekaligus membolehkan para pembangun membangunkan aplikasi dalam bentuk elemen digital di atas dunia nyata. Kaedah kawalan juga adalah serba baharu, termasuk salah satunya adalah dengan mengerakkan jari dalam bentuk “mencubit”.
Seperti penawaran sistem operasi Apple lain, visionOS turut akan mempunyai kedai aplikasi untuk membolehkan aplikasi yang dibangunkan untuk Vision Pro. Disamping itu, sejumlah aplikasi iPhone dan iPad yang dioptimasikan turut boleh digunakan pada Vision Pro.
Dengan pengenalan sistem operasi baharu ini, kini para pembangun akan berlumba dalam membangunkan aplikasi masing-masing, sekaligus membuka kepada pintu inovasi yang serba baharu.