Cari @ Amanz

Apple Vision Pro adalah set kepala realiti diperluas yang akan dijual pada harga mencecah RM16,000. Set kepala ini menjalankan sistem operasi baharu iaitu visionOS. Ia adalah seakan iOS, macOS dan iPadOS digabungkan menjadi satu sistem operasi khusus untuk peranti AR.

Dengan Vision Pro dilihat memfokuskan kepada produktiviti dan untuk pengguna profesional, perisian suntingan video Final Cut Pro boleh digunakan pada hari pertama produk dijual. Ini adalah menurut ciapan yang dihantar oleh Matti Haapoja, seorang YouTuber yang telah menguji Vision Pro di WWDC dua hari lalu.

Beliau berkata suntingan boleh dilakukan dengan kawalan mata dan gestur semata-mata. Ini adalah sistem suntingan baharu kerana sebelum ini FCP memerlukan tetikus, pad sesentuh atau sentuhan. Tiada tangkapan layar FCP dalam Vision Pro maka antaramuka yang bakal digunakan masih misteri.

Final Cut Pro yang selama ini terhad pada peranti Mac turut telah diperkenalkan untuk pengguna iPad. Bukan itu sahaja, ada kemungkinan besar versi untuk visionOS adalah sama dengan iPadOS kerana sistem operasi baharu ini menyokong aplikasi untuk iPad dan iPhone.

Selain Final Cut Pro, Disney+ juga disahkan akan hadir pada hari pelancaran Apple Vision One pada awal 2024 kelak.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd