Google Pixel 8 dan Pixel 8 Pro dijangka akan dilancarkan pada September hadapan. Cip yang akan digunakan dikatakan adalah Tensor G3. Ia dijangka menawarkan perubahan besar pada prestasi berbanding Tensor G2 pada Pixel 7. Walau bagaimanapun, 9to5Google melaporkan prestasi cip ini mungkin lebih rendah berbanding pesaing yang menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 3 dan Dimensity 9200+.
Menurut sumber, Tensor G3 sekali lagi akan memfokuskan kepada kecerdasan buatan, pemprosesan video dan lain-lain untuk memastikan perisian dapat memberikan pengalaman penggunaan terbaik. Google sebelum ini pernah menyatakan yang cip pemprosesan binaan mereka tidak mengejar skor penanda aras.
Saya pernah mencuba Pixel 7 Pro dan Pixel 6 Pro yang mana benar prestasi keseluruhan tidak sehebat OnePlus atau Samsung. Akan tetapi kemampuan perisian Android stok dengan ciri “magis” Google akan pasti membuatkan pengguna rasa selesa menggunakannya.
Apa kata anda mengenai cip yang memfokuskan kepada perisian dan bukan prestasi sebenar peranti?