Jika sebelum ini pengguna WhatsApp boleh menggunakan satu nombor yang sama pada dua peranti berbeza melalui ciri Companion Mode. Ciri baharu dalam kemas kini akan datang bakal menyediakan pilihan yang lebih menarik, Di mana, pengguna boleh menggunakan berbilang akaun atau nombor pada satu peranti yang sama pula.
Ini bermakna pelbagai urusan akan menjadi lebih teratur, dalam masa sama keseimbangan diantara hal pekerjaan dan kehidupan peribadi juga boleh diurus dengan baik sekali. Selain daripada itu, tiada juga keperluan untuk memasang aplikasi secara berasingan pada setiap aplikasi bagi mengakses pelbagai akaun.

Dinamakan sebagai Multi-account Mode, ia dikatakan boleh diakses menerusi ruang tetapan pada aplikasi. Tangkap layar dikongsi memperlihatkan kelak akan terdapatnya pilihan khusus yang membenarkan pengguna untuk memilih jenis akaun yang hendak dilog masuk atau digunakan.
Kemudian mana-mana akaun yang berdaftar akan kekal disimpan pada peranti sehinggalah pengguna sendiri memutuskan untuk log keluar, yang bermakna pengguna boleh bertukar diantara akaun yang dimahukan pada bila-bila masa, sama ada dengan sebab atau tanpa sebab.

Namun persoalan mula timbul apabila WhatsApp tidak pula berkongsi lanjut mengenai had bilangan akaun yang boleh dilog masuk. Buat masa ini, ciri ini dikatakan masih diperingkat pembangunan dan akan menerima beberapa penambahbaikan sebelum dilancarkan bagi versi penuh.