Intel baru sahaja mengumumkan penjenamaan baru untuk siri cip pemprosesan akan datang mereka, dan kini, mereka mengesahkan bahawa siri cip pemprosesan Intel Raptor Lake akan hadir dengan kemaskini baru dari segi penjenamaan dan juga spesifikasi binaan.
Intel Raptor Lake Refresh akan menjadi sebahagian daripada siri cip pemprosesan intel generasi ke-14, dan menariknya, sebahagian daripada siri ini masih lagi akan kekal menggunakan penjenamaan Intel Core i, walaupun Intel telah mengumumkan pengkuburannya.
Raptor Lake S Refresh dan Raptor Lake H Refresh, siri cip pemprosesan kelas desktop dan komputer riba dilihat masih lagi akan menggunakan penjenamaan tersebut, sebagai contoh Intel Core i9-14900K untuk cip pemprosesan kelas desktop yang paling berkuasa.
Intel mengatakan bahawa siri cip pemprosesan Intel Raptor Lake U Refresh untuk komputer riba nipis dan ringan akan menjadi siri cip pemprosesan pertama yang menggunakan nama model “Intel Core” yang baru.
Dari segi pembaharuan teknologi cip pemprosesan, perkara ini tidak disahkan lagi, tetapi ia berkemungkinan bahawa Raptor Lake Refresh akan hadir dengan jumlah cache yang lebih banyak, dan mungkin kelajuan cip pemprosesan yang lebih pantas.
Pengenalan cip pemprosesan Raptor Lake Refresh ini mungkin sedikit mengelirukan, khususnya apabila cip pemprosesan Intel Meteor Lake juga merupakan sebahagian daripada siri cip pemprosesan Intel generasi ke-14, tetapi cip pemprosesan ini dilihat akan menggunakan nama model Intel Core Ultra untuk model-modelnya.