Carian
Ulasan JBL Bar 1000 – Wayang Dalam Rumah Paling Mudah
June 20, 2023 Effi Saharudin

Audio ialah aspek yang sering dilupakan ketika membeli sistem hiburan di rumah. Mata dengan mudah menilai perbezaan panel LCD, LED, OLED, QLED dan Micro LED. Tetapi sistem audio ini kami rasakan perbezaan antara saluran 5.1, 7.1 dan Dolby Atmos lebih sukar dibezakan kerana perlu ditala dengan betul. Sistem talaan sedia ada pula tidak begitu mesra pengguna. Satu lagi halangan ialah jika sistem Atmos dibeli, ramai tidak mempunyai ruang untuk speaker belakang kerana menyebabkan wayar berselirat

JBL Bar 1000 mempunyai penyelesaian yang sudah wujud sejak berdekad lamanya. Ia sistem speaker Dolby Atmos 7.1.4 yang mempunyai dua speaker satelit untuk audio dari belakang yang berfungsi secara nirwayar. Selepas menggunakannya selama seminggu kami boleh katakan Bar 1000 ialah cara mewujudkan wayang di rumah yang paling mudah setakat ini.

SPESIFIKASI DAN REKAAN

JBL Bar 1000
JenisSoundbar
Pemandu10 speaker, 1 sub (7.1.4)
Port I/O1x HMDI eARC
3x HDMI 2.0
1x Optikal
1x USB-A
1x RJ45
CodecDolby Atmos
DTS:X dengan MultiBeam
Sistem operasi disokongSemua
Sokongan pembantu mayaTiada
Pad sesentuhTiada
BluetoothBluetooth 5.0
Bicu Audio AUXTiada
NFCTiada
Harga Jualan RM 4999

Bar 1000 ialah soudbar yang menyokong audio saluran 7.1.4. Terdapat 5x pemandu berbentuk bujur (46×90)mm, 3x tweeter (20mm) tweeters, 2x pemandu menembak ke atas (70mm) dan satu subwoofer sebesar 10″. Lapan pemandu diletakkan pada tubuh utama soundbar dan selebihnya pada dua speaker satelit yang beroperasi secara nirwayar.

Dua speaker satelit untuk saluran belakang dilengkapi bateri sebesar 3283mAh yang membolehkan ia beroperasi secara nirwayar selama 10 jam. Dengan sistem ini tiada lagi masalah menyambungkan speaker belakang kepada kepada sumber kuasa dan mencari cara untuk menyorokkan wayar yang berselirat.

Selepas kehabisan bateri, speaker satelit dicas semula dengan menyambungnya ke sisi kiri dan kanan soundbar. Terdapat magnet yang memastikan tidak akan tertanggal dengan mudah. JBL memberikan empat penutup tepi plastik (2x untuk soundbar dan 2x untuk satelit) yang boleh digunakan untuk membuatkan ia kelihatan lebih kemas.

Rekaan soundbar utama adalah berkotak dengan kekisi logam besar di depan dan dua lagi kekisi logam kecil di bahagian atas. Terdapat butang untuk tambatan bluetooth juga di bahagian atas bersama butang laras audio. Tiada sistem NFC untuk memudahkan tambahan kepada telefon pintar dilakukan.

Soudbar juga agak nipis dengan ia hanya bersaiz 884 x 56 x 125 mm. Ia boleh diletakkan di bawah TV sebesar 55″ dan ke atas. Pada TV yang bersaiz lebih kecil, Bar 100 kelihatan terlalu besar sehingga kelihatan tidak seimbang. Dua speaker satelit pula sebesar 155 x 56 x 125 mm manakala subwoofer kayu pula sebesar 305 x 440.4 x 305 mm yang agak besar. Kami mempunyai ruang tamu yang agak kecil di rumah dan mempunyai kesukaran mencari tempat paling sesuai meletakkan subwoofer.

Rekaan yang digunakan adalah standard. Tidak menarik perhatian mata daripada kandungan yang ditonton di TV dan pada waktu yang sama tidak nampak aneh sehingga menyebabkan ia nampak aneh di ruang tamu.

Sebuah skrin dot matrix diletakkan di hadapan memaparkan status audio dan input yang sedang digunakan. Ia turut akan menujukan mesej apabila bateri pada speaker satelit kekurangan bateri. Secara keseluruhan rekaan Bar 1000 adalah konvensional, dan klasik tetapi masih bergaya.

Di bahagian belakang soundbar ini pula diletakkan input untuk 1x HMDI eARc, 3x HDMI 2.0, 11x optikal, dan 1x USB. Pilihan I/O yang diberikan adalah baik tetapi tiada sokongan HDMI 2.1 untuk sambungan konsol yang menyokong kadar bingkai tinggi. Port untuk palam kuasa juga diletakkan di belakang dengan ia mudah diakses.

Berat soundbar ialah 3.7 kilogram manakala setiap speaker satelit pula seberat 1.4 kg. Akhir sekali subwoofer yang besar tadi pula seberat 10 kg.

Dua speaker satelit nirwayar

PENGGUNAAN

Proses sambungan kepada TV adalah tidak memeningkan kepala. Sambung satu hujung kabel HDMI ke input HDMI In di belakang soundbar dan satu lagi ke port HDMI ARC/eARC pada TV di rumah. Sejurus selepas dihidupkan, soundbar akan menyambungkan diri kepada subwoofer dan dua satelit secara automatik. Kemudian gunakan aplikasi JBL One untuk melengkapkan proses menyambungkan Bar 1000 kepada WiFi serta melakukan proses kalibrasi audio.

Speaker satelit apabila disambungkan ke soundbar untuk dicas

Proses kalibrasi mengambil masa beberapa minit dengan satelit perlu diletakkan di kiri dan kanan pendengar sebanyak dua kali supaya ia boleh mengukur saiz ruang Bar 1000 digunakan. Selepas proses ini dilakukan sistem sistem audio akan diubah mengikut tetapan yang paling sesuai dengan ruang di rumah.

Apabila mengesan sumber audio Dolby Atmos, sistem ini akan dipilih secara automatik. Pada kandungan bukan Atmos, Dolby Surround akan digunakan untuk memberikan pengalaman audio 360 darjah.

Satu perkara yang agak aneh ialah apabila satelit disambungkan semula kepada soundbar, ia secara automatik akan dimatikan. Maka dalam konfigurasi ini Bar 1000 berubah

Aplikasi JBL One turut boleh digunakan untuk menambah perkhidmatan seperti Amazon Music, Tidal, Napster dan TuneIn. Walaupun Spotify dan Apple Music tidak disenaraikan, kedua-dua perkhidmatan masih boleh digunakan pada Bar 1000 menerusi Chromecast, Spotify Connect atau AirPlay. Maka pengguna ekosistem Android dan iOS tidak perlu risau kesesuaian Bar 1000 dengan perkhidmatan muzik pilihan mereka.

Selain itu aplikasi juga boleh digunakan untuk mengakses equaliser, mengemaskini firmware, mengubah tetapan satelit dan juga mengakses alat kawalan jauh versi aplikasi. Bagi mereka yang tidak suka menyimpan manual fizikal, manual elektronik juga boleh diakses terus dari dalam JBL One. Perisian ini disarankan dipasang pada peranti pintar kerana memudahkan lagi penggunaan Bar 1000.

ALAT KAWALAN JAUH

Alat kawalan jauh diperbuat daripada plastik dengan butangnya juga diperbuat daripada bahan yang sama. Sungguhpun begitu butang-butang ini masih terasa selesa ditekan tanpa perlu risau ia mengembang atau koyak seperti butang yang diperbuat daripada bahan getah. Ia menggunakan dua bateri bersaiz AAA untuk berfungsi.

Terdapat butang mengubah input, kawalan ATMOS, kawalan kekuatan bass, kekuatan speaker satelit, aras kelantangan suara, kalibrasi, bluetooth, butang kuasa dan butang bisu. Pilihan yang diberikan adalah memadai tetapi malang sekali tiada pula butang mengawal treble. Tahap treble, mid dan bass hanya boleh diubah dengan lebih terperinci menerusi aplikasi JBL One sahaja.

Kualiti Audio

Bar 1000 ialah antara soundbar terbaik pernah diulas di makmal Amanz. Kita mulakan dengan perkara positif terlebih dahulu. Ia hadir dengan sistem PureVoice yang memastikan dialog sentiasa kedengaran jelas walaupun dalam babak-babak yang dipenuhi kesan letupan. Kami uji sistem Dolby Atmos Bar 1000 dengan menonton dokumentari Our Planet II dan filem aksi All Quiet on The Western Front di Netflix.

Dalam Our Planet II ada satu babak berbilion belalang berterbangan di Afrika. Bar 1000 berjaya memberikan pengalaman kami sedang berada di tengah-tengah kelompok belalang ini. Dapat didengari bunyi belalang dari semua arah. Bunyi berbilion sayap ini cukup kuat tetapi narasi yang diberikan oleh Sir David Attenborough jelas kedengaran daripada saluran tengah soundbar. Kami kemudiannya kembali menggunakan speaker TV sahaja dan pengalamannya seperti langit dan bumi. Pada speaker TV tidak terasa seperti dikerumuni belalang dan narasi Sir David ditenggalami bunyi belalang.

Kemudian dalam All Quiet on The Western Front pula dalam babak klimaks tentera Jerman dibedil mortar dan diserang kereta kebal, butiran tanah, batu, kayu dan peluru yang berterbangan boleh didengar dengan jelas dari mana ia datang. Memang terasa seperti kami berada di dalam medan perang bersama watak utama yang terperangkap.

Sempat juga kami uji Dune Part I dan sekali lagi Bar 1000 tidak mengecewakan. Dentuman dram akustik muzik latar Hans Zimmer sangat jelas seakan dimainkan di depan mata. Ketika Shai Hulud datang menyerang, dapat didengari butiran pasir berdesir dengan tajam.

Bass walaupun pada tetapan rendah adalah cukup kuat sehingga menyebabkan kami tidak memilih meletakkannya ke tetapan paling tinggi. Takut dada terasa ditumbuk atau jiran sebelah memanggil polis kerana audio yang dikeluarkan menggegarkan dinding rumah.

Bar 1000 juga cemerlang dalam permainan video. Kami hanya sempat memadankannya dengan PlayStation 5 dan selepas melakukan sistem talaan audio konsol audio 3D boleh dinikmati dengan baik sekali. Dalam Uncharted 4 dan Doom Eternal dari arah mana kami ditembak dapat didengar dengan tepat.

Ada sedikit kekurangan di mana kami rasakan prestasi Dolby Atmos pada Bar 1000 tidak cukup mantap. Audio dari ketinggian tertentu tidak begitu jelas jika dibandingkan dengan Samsung Q990B yang mampu memberikan pengalaman Atmos yang lebih baik.

DALAM KOTAK

Dalam setiap pembelian, anda akan menerima seperti berikut.

  • 1x Soundbar JBL Bar 1000.
  • 1x Subwoofer JBL Bar 1000.
  • 2x Speaker satelit.
  • 1x Kabel HDMI 1.5m.
  • 6x Kabel kuasa UK/US/China.
  • 2x Penutup tepi soundbar.
  • 2x Penutup tepi satelit.
  • 1x Manual.

KESIMPULAN

Pada harga RM4999 satu set, JBL Bar 1000 jatuh ke dalam kategori premium kerana berada dalam kelas yang sama dengan Samsung HW-Q990C. Harga memang mahal tetapi Bar 1000 ialah soundbar yang paling mudah kami gunakan sejak mula mengulas produk AV di Amanz. Proses mengeluarkannya daripada kotak adalah lebih lama berbanding proses menyambungnya ke TV dan memulakan tontonan dengan kualiti audio yang mantap.

Perbandingan saiz Bar 1000 dengan TV 65″

Prestasi audio sangat baik dengan teknologi PureVoice memastikan dialog sentiasa didengari walaupun babak dipenuhi letupan yang kuat. Dentuman bass cukup kuat sehingga terasa seperti dada ditendang anak seladang. Audio sekeliling juga berjaya dihasilkan dengan jayanya.

Jika ada kekurangan hanyalah speaker satelit berfungsi secara nirwayar selama 10 jam sahaja sebelum perlu dicas semula dalam masa sekitar 3 jam. Setiap malam sebelum tidak satelit perlu disambungkan semula ke soundbar untuk dicas. Kesan ketinggian Dolby Atmos juga tidak begitu ketara jika dibandingkan dengan Samsung Q990B yang kami gunakan di rumah sekarang.

Anda membayar sedikit premium untuk kemudahan menggunakan Bar 1000 dan sistem audio yang paling tidak akan menyebabkan wayar berselirat. Kami sarankan JBL Bar 1000 bagi mereka yang inginkan sistem audio seakan wayang di rumah yang paling mudah digunakan.

Pro

  • Rekaan kemas, cantik dan teguh.
  • Sokongan Dolby Atmos dan DTS:X dengan MultiBeam.
  • Speaker satelit berfungsi secara nirwayar. Tiada kabel berselirat.
  • Audio sangat baik dengan teknologi PureVoice.
  • Mudah dipasang dan ditala bunyi mengikut ruang rumah.

Kontra

  • Satelit hanya beroperasi sehingga 10 jam sebelum perlu dicas.
  • Kesan Dolby Atmos tidak begitu ketara.
Komen