Rekaan Vivo X100 Pro+ Tertiris – Masih Dengan Bonggol Kamera Yang Besar
Amy Maizuraa
Vivo dikhabarkan bakal hadir dengan peranti generasi baharu di bawah siri X sekitar tahun hadapan. Salah satu daripadanya mungkin dikenali sebagai Vivo X100 Pro+ dan rekaannya telah ditemui tertiris menerusi imej pengolokan tular.
Ia menunjukkan sebuah peranti dengan kemasan serba hitam. Elemen lain yang digunakan dilihat sama dengan Vivo X80, bermaksud jenis skrin dan bahan binaan disertakan mungkin tidak banyak berbeza dengan peranti tersebut. Begitu juga dengan kewujudan modul kamera bulat bersama penjenamaan Zeiss dan T* yang masih kelihatan sama.

Cumanya apabila melihat pada susunan lensa dan gabungan bonggol kamera dengan bahan seakan logam telah menampakkan perbezaan. Kemudian timbul pula persoalan mengenai persediaan kamera utama ini yang mungkin masih mengekalkan sensor kamera bersaiz 1-incin dari Sony.
Peranti ini juga dijangka menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 3 sebagai tunjang utama. Turut dipercayai bahawa model X100 dan X100 Pro juga akan diumumkan bersama yang mungkin dijana dengan cip MediaTek Dimensity 9300.