Spesifikasi Xiaomi MIX Fold 3 Tertiris – Snapdragon 8 Gen 2 Dan Skrin Melengkung
Fahim Zahar
Bulan lepas peranti Xiaomi MIX Fold 3 tertiris dengan laporan menyatakan rekaan adalah lebih nipis, tubuh yang rata dan menggunakan kamera Leica. Hari ini Digital Chat Station mendedahkan spesifikasi yang didakwa adalah untuk peranti skrin boleh-lipat generasi ketiga Xiaomi.
Pertama Xiaomi MIX Fold 3 akan dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 2. Jika benar peranti ini akan menjadi yang kedua menggunakan cip ini selepas Vivo X Fold2. Skrin peranti pula dikatakan adalah melengkung tetapi tidak jelas sama ada di luar atau di dalam.

Kamera peranti dikatakan menggunakan gabungan empat sensor. Dua daripadanya adalah sensor potret 3.2x dan 5x periskop telefoto. MIX Fold 3 akan menyokong pengecasan pantas berwayar 67W dan nirwayar 50W. Selain sekali lagi menyatakan yang peranti baharu ini adalah nipis, ia turut akan menggunakan engsel seperti Honor Magic Vs untuk mengurangkan kesan lipatan dan lebih tahan lasak.
Tiada maklumat lain lagi seperti saiz skrin dan harga. Pelancaran global masih juga masih lagi misteri kerana dua MIX Fold sebelum ini hanya untuk pasaran China.
[sumber] Weibo – Digital Chat Station [/sumber]