Carian
Ulasan Vivo X Fold2 – Tercantik, Terpantas, Terbaik
June 8, 2023 Effi Saharudin

Tahun ini kami dapat mengulas Oppo Find N2, Oppo Find N2 Flip, Tecno Phantom V Fold dan Honor Magic Vs. Perang peranti skrin boleh-lipat yang tertangguh tiga tahun akibat pandemik menjadi hangat tahun ini dengan pelancaran Vivo X Fold2 di China pada April lalu. Ia adalah peranti yang amat mengujakan kerana yang pertama hadir dengan Snapdragon 8 Gen 2 serta pengimbas cap jari terbina dalam skrin.

Ini sekaligus menjadikannya peranti skrin boleh-lipat paling berkuasa setakat ini. Kami bernasib baik kerana sempat menguji X Fold2 selama sekitar seminggu. Berdasarkan pengalaman yang pendek ini kami boleh katakan X Fold2 mempunyai potensi menjadi peranti skrin boleh-lipat terbaik tahun 2023. Mengapa kami katakan begini? Ini ulasan penuh untuk Vivo X Fold2.

SPESIFIKASI

Vivo X Fold2
SkrinLuar – 6.53″ AMOLED, LTPO 120Hz
Dalam – 8.03″ AMOLED LTPO 120Hz
Dolby Vision
PemprosesSnapdragon 8 Gen 2
Cip1 X 3.2 GHz Cortex X3
4 X 2.8 GHz Cortex A715
3 X 2.0 GHz Cortex A510
Cip GrafikAdreno 740
RAM12 Gigabyte LPDDR5X
Muatan Dalaman512GB UFS 4.0
Kamera Utama50 MP, f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
12 MP, f/2.0 (Ultra Sudut lebar)
12 MP, f/2.0 (Telefoto) 2x Zum Optical
Lensa Zeiss
Kamera Depan16 Megapixel f/2.5 (Depan)
16 Megapixel f/2.5 (Dalam)
Bateri4800 mAh
Pengecasan berwayar 120W
SIM/TelefoniDwi SIM Nano /5G
NFCYa
Infra MerahTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanCap jari bawah skrin
Harga JualanRM 6451* (12/512 GB)
* = Harga diubah daripada Yuan

SKRIN

Skrin luar 6.53″ adalah dari keluarga AMOLED LTPO dengan sokongan kadar segar semula 120Hz yang menjadikannya skrin paling besar untuk peranti skrin boleh-lipat. Ia sedikit lebih lebar berbanding Magic Vs. Maka menaip pada skrin luar adalah lebih selesa. Seperti pada Magic Vs, kami jarang sekali merasakan perlu menggunakan skrin dalaman pada X Fold2. Skrin luar mempunyai nisbah skrin yang hampir sama dengan sebuah telefon pintar jenis candybar.

Bezel adalah nipis dengan terdapat satu lubang kamera di tengah-tengah. Kerana panel adalah daro jenis AMOLED, warna yang dipaparkan hidup, animasi nampak amat lancar dan penggunaan di bawah cahaya matahari yang terang tidak bermasalah.

Di bahagian dalam pula skrin oleh 8.03″ AMOLED juga dari jenis LTPO 120Hz. Maka pengalaman penggunaan skrin dalaman ini sama sahaja dengan skrin luar. Lancar, pantas dan tidak ada isu menggunakannya di bawah mentari yang terik. Satu perbezaan ialah skrin dalam hanya mempunyai tahap keterangan 1600 nits berbanding 1800 nits pada skrin luar.

Kedua-dua skrin menyokong paparan HDR Dolby Vision tetapi Kami sedari mod HDR hanya aktif apabila menggunakan aplikasi YouTube dan Prime Video sahaja. Peranti yang diuji adalah yang dibawa masuk terus dari China maka kami tidak tahu sama ada jika versi global dilancarkan kelak mod Dolby Vision akan menyokong Netflix.

Kesan lipatan pada skrin dalam boleh dilihat tetapi tidak begitu ketara. Mekanisme lipatan titisan air yang digunakan pada Find N2 dan Magic Vs digunakan pada X Fold2. Maka apabila skrin ditutup ia benar-benar rapat tanpa sebarang ruang untuk kotoran atau debu masuk di tengah-tengah. Mekanisme ini juga membuatkan peranti lebih nipis dalam mod lipatan jika dibandingkan dengan Z Fold4. Namun begitu ia masih tidak senipis Huawei Mate X3 yang merupakan peranti skrin boleh-lipat ternipis setakat ini.

Engsel cukup keras bagi membolehkan X Fold2 digunakan dalam Flex Mode tetapi cukup lembut untuk peranti dibuka dengan mudah. Tiada perasaan seperti skrin mempunyai spring yang membuka dengan mengejut seperti pengalaman menggunakan Phantom V Fold sebelum ini.

Skrin dalaman tidak menyokong sebarang ciri stylus. Satu kekurangan yang mungkin tidak dipedulikan oleh majoriti pengguna. Kami sendiri jarang bertemu pemilik Z Fold4 yang menggunakan S Pen pada peranti mereka. Yang boleh kami katakan ialah sistem haptik pada X Fold2 adalah amat bagus. Terasa moden dengan getaran yang terasa semula jadi.

Mod keterangan automatik sahaja yang kami rasakan kurang cemerlang. Sepanjang ulasan kami ubah keterangan secara manual kerana tidak berpuas hati dengan skrin yang nampak malap dalam mod automatik.

BIOMETRI

Pengimbas cap jari bawah skrin digunakan pada skrin luar dan dalam. Kali pertama dalam sejarah ini dilakukan pada peranti skrin boleh-lipat. Pengimbas adalah dari jenis ultransonik yang bukan sahaja pantas tetapi mempunyai ketepatan mengimbas yang tinggi. Sepanjang seminggu peranti digunakan tidak sekalipun kedua-dua pengimbas gagal mengesan jari kami.

Markah bonus diberikan kerana pengimbas cap jari diletakkan pada kedudukan yang senang dicapai walaupun dalam mod sebelum tangan. Ini ialah sistem pengimbas cap jari paling cemerlang dalam peranti kelas ini.

REKAAN

Vivo X Fold2 pada hemat kami juga adalah peranti skrin-boleh lipat paling cantik tahun 2023. Terasa selesa dalam tangan kerana tiada bucu tajam. Kemasan nampak dan terasa cukup premium. Ia menggabungkan keselesaan Magic Vs dengan kemasan bertekstur pada Find N2. Kombinsi rekaan yang cukup mantap kami rasakan.

Butang kuasa dan laras audio diletakkan pada kelopak pintu kanan. Kedudukannya ergonomik dan butang-butang ini tidak menyakitkan jari apabila ditekan. Pada kelopak pintu kiri pula diletakkan suis melungsur untuk membisukan notifikasi. Vivo meminjam ciri ini daripada peranti OnePlus.

Talam SIM yang menempatkan dwi SIM nano juga diletakkan pada pintu kanan bersebelahan port pengecasan USB-C. Tiada pemancar infra merah atau sokongan kad mikro SD pada X Fold2. Pada kelopak pintu kiri pula terdapat dua kekisi audio untuk sistem audio stereo. Dengan kedua-duanya menembak ke sisi, audio yang lebih seimbang secara teorinya boleh dinikmati.

Sistem tri-kamera utama diletakkan dalam sebuah bonggol berbentuk bulat. Ianya besar tetapi tidak begitu tinggi namun begitu masih menyebabkan peranti tidak boleh diletakkan rata di atas meja. Terdapat tekstur yang cantik pada cincin logam yang mengelilingi bonggol kamera ini.

Panel belakang pula diperbuat daripada bahan seakan kulit yang mempunyai tekstur yang kasar. Ia membuatkan peranti kelihatan premium lebih-lebih dalam warna merah pada unit yang kami ulas ini. Dengan tekstur seakan kulit, panel belakang tidak licin kerana memberikan cengkaman pada telapak tangan. Kelebihan kedua ialah panel belakang juga tidak memerangkap sebarang kotoran dengan mudah.

Kemasan belakang seakan kulit

Vivo memberikan sebuah kerangka plastik yang mempunyai bahan seakan kulit yang sama. Oleh itu jika kerangka digunakan, kelebihan panel belakang bertekstur dan kelihatan premium ini masih dapat digunakan. Kerangka ini juga mempunyai bahagian bucu yang agak tebal membolehkan ia menyerap hentakan sekiranya peranti ini terjatuh ke lantai.

Butang fizikal membisukan notifikasi

Dari segi rekaan, mekanisme engsel dan rupa kami rasakan X Fold2 adalah amat cantik. Ia juga mempunyai skrin luar yang lebih praktikal jika dibandingkan dengan sebuah Z Fold4. Tetapi X Fold2 mempunyai satu kekurangan berbanding Z Fold4 iaitu ia tidak mempunyai sebarang piawaian kalis air secara rasmi. Jika kemampuan kalis air adalah penting untuk anda, hanya Z Fold4 dan Huawei Mate X3 sahaja yang melepasi piawaian IPX8 setakat ini.

PERISIAN DAN PENGALAMAN PENGGUNAAN

Sistem operasi OriginOS 3 yang berasaskan Android 13 digunakan pada X Fold2. Ini ialah sistem operasi khusus untuk pasaran China. Secara lazimnya untuk pasaran global sistem operasi Funtouch OS digunakan. Kerana ia sistem operasi China terdapat beberapa kekurangan yang harus dinyatakan kepada pembaca.

Pertama sekali semasa mengaktifkan peranti ini kali pertama, kesemuanya dalam bahasa cina. Prosesnya menjadi sedikit sukar kerana kami perlu menggunakan bantuan Google Translate. Masalah kedua terdapat banyak aplikasi gendut khusus untuk pasaran China. Ia semua boleh dibuang jika tidak diperlukan.

Masalah ketiga tiada Google Play Store. Tetapi Play Store boleh dipasang secara sideload dengan sistem GMS adalah diiktiraf. Proses mengembalikan sandaran aplikasi kemudiannya boleh dilakukan tanpa sebarang isu. YouTube, Gmail, Maps, Waze dan Photos semuanya boleh digunakan selepas Play Store dipasang. Jika anda ingin mengimport X Fold2 terus dari China, ada GMS maka tak perlu risau aplikasi penting tidak boleh digunakan.

Antaramuka OriginOS 13 dengan Funtouch OS 13 adalah amat berbeza. Kami rasakan Origin nampak lebih cantik dengan skrin tetapan menggunakan warna berbeza untuk setiap kategori. Funtouch lebih mirip Android stok maka lebih mudah dipelajari. Terdapat beberapa perubahan lokasi tetapan yang agak mengelirukan pada OriginOS 3.

Tetapi semuanya masih berasaskan Android maka selepas sehari dua menggunakan X Fold2, kami tidak lagi keliru. Terdapat kesemua ciri asas Android 12L terbina dalam OriginOS 3. Contohnya sokongan Flex Mode dalam aplikasi kamera, dan YouTube. Perubahan dari skrin luar ke dalam dan dalam ke luar juga lancar. Aplikasi ditukar dengan pantas tanpa sela masa. Amat berbeza pengalamannya dengan Tecno Phantom V Fold yang sedikit perlahan.

Dua aplikasi dalam dilancarkan dengan menekan ikon di atas skrin. Terdapat pilihan menyusun dua aplikasi secara menegak atau melintang. Menukar dan mengubah saiz tingkap dalam mod ini juga mudah. Proses menggunakan dua aplikasi serentak adalah amat lancar kerana cip Snapdragon 8 Gen 2 berkuasa dibantu dengan memori 12GB RAM yang besar.

Dalam mod tablet, terdapat pintasan pantas di bahagian bawah skrin yang menempatkan lima aplikasi kegemaran. Apabila ada aplikasi dibuka, tiga daripadanya akan dipaparkan juga di pada talam bawah ini. Sistem yang sama digunakan pada Magic Vs dan Phantom V Fold.

Global Taskbar

Terdapat juga sistem taskbar seakan Z Fold4 yang membolehkan talam pintasan pantas dan tiga aplikasi akhir yang dibuka dipaparkan di bawah skrin sepanjang masa. Ciri Global Taskbar ini tidak diaktifkan secara lalai. Kami hanya menyedari ianya wujud selepas menggunakan Google Translate untuk membaca manual penggunaan X Fold2.

Menggunakan X Fold2 dalam mod khemah dan menonton video pada skrin luar dengan skrin dalam dibuka sedikit juga disokong. X Fold2 ialah peranti pertama yang mempunyai ciri yang setanding dengan Z Fold4. Ini adalah penting kerana perkakasan X Fold2 yang mantap memerlukan perisian yang juga mantap.

Wujud sistem Extended RAM yang menambah 8GB RAM secara maya. Sistem ini beroperasi secara automatik dengan pengguna tidak boleh mengubah saiz memori maya yang ingin digunakan. Ciri lain ialah mod kanak-kanak yang mengehadkan akses aplikasi serta masa menggunakan peranti.

Perbezaan pada antaramuka OriginOS dan Funtouch OS adalah ketara tetapi dari segi kelancaran ia masih lagi sama. Animasi tidak tersekat-sekat. Pada skrin 120Hz, kesemuanya terasa pantas dengan aplikasi tiada isu untuk dilancarkan. Prestasi menjalankan aplikasi akan kami bincangkan secara lebih terperinci dalam bahagian Penanda Aras di bawah.

PENANDA ARAS

Prestasi X Fold2 dalam ujian penanda aras adalah yang antara yang terbaik tahun ini dengan hanya ASUS ROG Phone 7 Ultimate mencatatkan markah yang lebih tinggi. Dalam ujian penanda aras Geekbench 6, Antutu 3D dan 3D Mark Wildlife markah yang dicatatkan X Fold adalah amat membanggakan. Ia mengesahkan statusnya sebagai peranti skrin boleh lipas paling berkuasa setakat ini.

Berikut adalah markah penanda aras X Fold2 dibandingkan dengan ASUS ROG Phone 7 Ultimate (Snapdragon 8 Gen 2), Samsung Galaxy S23 Ultra (Snapdragon 8 Gen 2), Tecno Phantom V Fold+ (Dimensity 9000+), Galaxy Z Fold4 (Snapdragon 8+ Gen 1), Honor Magic Vs (Snapdragon 8+ Gen 1,) dan iPhone 14 Pro Max (Apple A16 Bionic)

Geekbench 6

  • Vivo X Fold2 – 1854/5318
  • ASUS ROG Phone 7 Ultimate – 1870/5534
  • Samsung Galaxy S23 Ultra – 1922/5017
  • Tecno Phantom V Fold – 1238/3776
  • Honor Magic Vs – 1276/3822
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 1422/3764
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 2524/6317

Antutu 3D

  • Vivo X Fold2 – 1,559,200
  • ASUS ROG Phone 7 Ultimate – 1,313,393
  • Samsung Galaxy S23 Ultra – 1,171,384
  • Tecno Phantom V Fold – 994,304
  • Honor Magic Vs – 804,494
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 980,346
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 974,941

Wild Life Extreme

  • Vivo X Fold2 – 3727
  • ASUS ROG Phone 7 Ultimate – 3742
  • Samsung Galaxy S23 Ultra – 3247
  • Tecno Phantom V Fold – 2567
  • Honor Magic Vs – 2651
  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 2798
  • Apple iPhone 14 Pro Max – 3373

Prestasi di dunia sebenar adalah setanding dengan markah yang dicatatkan dala ujian sintetik di atas. X Fold2 adalah peranti skrin boleh-lipat yang paling lancar penggunaannya serta tatalan. Semua aplikasi dapat dilancarkan hampir sekelip mata. Waktu menunggu yang agak lama dalam permua seperti COD Mobile tidak berlaku pada X Fold2. Ini ialah kelebihan penggunaan cip Snapdragon 8 Gen 2 dan memori pantas UFS 4.0. Pemasangan aplikasi juga menjadi sepantas kilat. Prestasi permua pada X Fold2 adalah setanding dengan S23 Ultra dan ROG Phone 7 Ultimate.

Selepas sesi permua yang panjang peranti hanya sedikit suam. Tiada isu pemanasan melampau berlaku sepanjang tempoh ulasan. Amat menakjubkan kerana biasanya prestasi cip pada peranti dalam kelas ini dikurangkan sedikit untuk menjimatkan penggunaan bateri (ada dua skrin) dan kapasiti bateri yang tidak begitu besar.

Tiada kompromi pada prestasi X Fold 2 dan ini adalah berita baik bagi mereka yang mencari peranti yang bukan sahaja elok untuk melakukan kerja, laju untuk menjalankan aplikasi popular dan mampu menjalankan permua pada tetapan grafik paling tinggi.

TELEFONI Dan GPS

Rangkaian 5G boleh dinikmati dengan baik di dalam ataupun luar rumah. Ini tidaklah mengejutkan kerana kesemua peranti dengan Snapdragon 8 Gen 2 yang kami ulas tahun ini menawarkan pengalaman telefoni yang sama. Panggilan suara jelas dan tidak terputus-putus.

Sambungan kepada perkhidmatan internet selular serta WiFi juga amat memuaskan. Tiada yang negatif boleh kami tuliskan di sini. Prestasi GPS juga amat baik. Tersalah ambil simpang? Sepantas kilat jalan baharu disarankan dalam Waze dan kedudukan sebenar kenderaan dijejak dengan jitu walaupun di tengah-tengah bandar.

KAMERA

Sistem kamera utama menggabungkan sensor 50MP sudut lebar f/1.8 dengan OIS, 12MP ultra sudut lebar f/2.0 dan 120MP telefoto f/2.0 yang menyokong zum optikal 2x serta zum digital sehingga 20x. Untuk kamera swafoto pula sensor 16MP f/2.5 digunakan di luar serta di dalam. Spesifikasi kamera adalah sama seperti yang digunakan pada Vivo X90. Ini bermakna terdapat juga lensa Zeiss pada kamera utama di belakang peranti.

Maka tidaklah mengejutkan prestasi fotografi pada X Fold2 adalah amat memuaskan. Gambar bukan sahaja terang tetapi tajam. Dengan penuras terbina Zeiss, gambar dengan tona warna lebih artistik turut boleh diambil. Mod malam masih lagi amat baik dibantu oleh lensa sudut lebar yang mempunyai OIS. Cuma gambar mod malam menggunakan lensa lain akan nampak sedikit lembut kerana tiadanya OIS.

Secara keseluruhan tidak melampau untuk kami katakan kemampuan fotografi pada X Fold2 adalah yang terbaik pernah kami pada sebuah peranti skrin boleh-lipat. Pepatah ada mengatakan gambar adalah lebih baik berbanding beribu-ribu patah perkataan maka sampel gambar X Fold2 adalah seperti di bawah.

Ini pula hasil tangkapan kamera dalam mod zum 0.6x, 1x, 5x, 10x dan 20x. Hasil tangkapan baik sehingga sekitar 5x zum sahaja. Melangkaui tahap ini imej yang terhasil nampak lembut tetapi tidak pecah. Prestasi kamera X Fold2 pada hemat kami lebih baik berbanding Magic Vs dan Z Fold4.

BATERI

Hayat bateri adalah sehingga 18 jam dengan SOT sekitar 8 jam pada penggunaan sederhana. Ia turun ke sekitar 12 jam dengan SOT pula sekitar 10 jam. Bagi sebuah peranti skrin boleh-lipat dengan bateri 4800 mAh, kedua-dua hayat bateri ini adalah amat memuaskan.

Ketahanan bateri X Fold2 adalah amat baik tetapi jika kehabisan masa untuk mengecasnya semula adalah hanya 40 minit menerusi pengecas 120W FlashCharge yang berkepala USB-C. Pengecas ini diberikan dengan setiap pembelian. Sistem pengecasan X Fold2 ialah yang terpantas dalam sejarah telefon skrin boleh-lipat.

AUDIO

Speaker stereo diletakkan pada pintu kiri dengan kedua-duanya menembak ke sisi untuk audio yang seimbang. Lubang kekisi speaker yang sama besar membolehkan audio yang seimbang dam lantang pada waktu yang sama. Tiada bicu audio 3.5mm kerana ini ialah resam peranti mercu moden. Skrin X Fold2 menyokong Dolby Vision tetapi sistem audio tidak pula menyokong Dolby Atmos. Sebaliknya sistem Super Audio menggantikannya dengan tetapan automatik untuk muzik, filem dan permainan video. Kualiti audio X Fold2 adalah memuaskan tetapi tidak cemerlang.

PESAING

Vivo X Fold2Samsung Galaxy Z Fold4Honor Magic Vs
Luar – 6.53″ LTPO OLED, 120Hz
Dalam – 8.03″ LTPO OLED, 1290Hz, Dolby Vision
Luar – 6.2″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz
Dalam – 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz, HDR10+
Luar – 6.45″ OLED, 120Hz
Dalam – 7.9″ OLED, 90Hz, HDR10+
Snapdragon 8 Gen 2 (4nm)
1 X 3.2 GHz Cortex X3
4 X 2.8 GHz Cortex A715
3 X 2.0 GHz Cortex 510
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex 510
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex 510
Adreno 740Adreno 730Adreno 730
12 GB LPDRR512 GB LPDRR512 GB LPDRR5
512 GB UFS 3.1256/512/1000 GB UFS 3.1512 GB UFS 3.1
Kamera Utama
50MP, f/1.8, OIS Sudut Lebar
12MP, f/2.0 Telefoto, 2X Zum Optikal
12MP, f/2.0 Ultra Sudut Lebar
Lensa Zeiss
Kamera Utama
50MP, f/1.8 Sudut Lebar, OIS
10MP, f/2.2 Telefoto, 3X Zum Optikal, OIS
12MP, f/2.4 Ultra Sudut Lebar
Kamera Utama
54MP, f/1.9 Sudut Lebar, OIS
8MP, f/2.4 Telefoto, 3X Zum Optikal, OIS
50MP, f/2.0 Ultra Sudut Lebar
Kamera Hadapan
16-MP f/2.5
16-MP f/2.5
Kamera Hadapan
10-MP f/2.2
4-MP f/1.8 (UDC)
Kamera Hadapan
16-MP f/2.6
16-MP f/2.6
Tidak kalis airIPX8Tidak kalis air
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
4800 mAh (Berwayar 120W)4400 mAh (Berwayar 25W)5000 mAh (Berwayar 66W)
RM 6451* (12/512GB)
*= Mata wang China
RM 6799 (12/256GB)
RM 7299 (12/512GB)
RM 8299 (12/1000GB)
Harga RM 5999

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang disertakan dalam kotak.

  • 1x Vivo X Fold2
  • 1x Kerangka dengan tekstur seakan kulit.
  • 1x Pengecas 120W
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

KESIMPULAN

Vivo X Fold2 ialah peranti skrin boleh-lipat terbaik di dunia pada waktu ini. Kombinasi skrin yang cantik, sistem biometri terbaik, cip paling berkuasa, hayat bateri panjang, kemampuan fotografi yang terbaik dalam kelasnya dan perisian yang menyokong pelbagai ciri skrin boleh-lipat terkini. Maka kami berharap Vivo akan menawarkan peranti ini ke pasaran Malaysia dalam masa terdekat. Cukuplah kami dikecewakan dengan keputusan Oppo tidak memasarkan Find N2 ke peringkat global.

Jika tidak dilancarkan sekalipun, kami mendapati tiada masalah memasang Google Play Store secara sideload untuk menikmati aplikasi YouTube, Gmail, Photos, Maps dan banyak lagi. Risiko hanyalah pada peringkat awal kesemuanya dalam bahasa cina maka penggunaan aplikasi Translate adalah perlu semasa mengaktifkan peranti untuk kali pertama.

Di China Vivo X Fold2 dijual pada harga sekitar RM6500 sebuah. Ini menjadikannya lebih mahal berbanding Honor Magic Vs yang merupakan peranti skrin boleh-lipat terbaik di Malaysia menerusi saluran rasmi.

Pro

  • Skrin luar dan dalam LTPO 120Hz
  • Snapdragon 8 Gen 2 amat berkuasa.
  • Rekaan nipis yang premium.
  • Selesa digunakan sebelah tangan.
  • Prestasi kamera amat baik.
  • Sistem biometri terbaik.
  • Hayat bateri yang panjang.
  • Pengecasan 120W.

Kontra

  • Tidak kalis air.
  • Sistem operasi OriginOS adalah khusus untuk pasaran China.
  • Tidak dipasarkan di Malaysia secara rasmi.
  • Skrin Dolby Vision HDR tidak disokong aplikasi seperti Netflix dan Disney+ Hotstar pada waktu ini.
Komen