Carian
Ulasan Razer Blade 18 – Laptop Belasan Ribu Yang Padu Untuk Yang Mampu
July 11, 2023 Fahim Zahar

Saya bukannya seorang pemain permainan video tegar tetapi sentiasa mempunyai minat dengan komputer gaming, konsol serta yang menjadi bualan hangat sekarang adalah konsol mudah alih seperti ROG Ally. Walaupun begitu jenama yang sentiasa mengambil perhatian saya adalah Razer. Lebih-lebih lagi siri laptop gaming Razer Blade namun tidak pernah mampu memilikinya.

Baru-baru ini saya berpeluang menguji Razer Blade 18 iaitu model terbaru Razer yang bersaiz besar. Bukan itu sahaja spesifikasi laptop ini juga dahsyat membuatkan saya terus ingin aktif bermain permainan video. Pada masa yang sama, saya turut menjadikan Blade 18 sebagai laptop harian untuk bekerja dan dalam artikel ini akan saya kongsi pengalaman penggunaan serta memberi pendapat adakah ianya berbaloi.

Razer Blade 18 (2023)
Skrin18″ IPS LCD, QHD+ (2560 x 1600)
240Hz, 16:10, G-Sync
CPUIntel Core i9-13950HX (24-teras) i9
1.8 GHz, Turbo Boost sehingga 5.5 GHz
GPUNVIDIA GeForce RTX 4080 (12GB GDDR6 VRAM)
RAM32 GB DDR5-5600MHz
Storan1 TB SSD (M.2 NVMe PCIe 4.0 x4)
Kamera Utama5MP
I/O3x USB 3.2 Gen 2 Type-A
1x Thunderbolt 4 Type-C (PD, DP 1.4 dengan output Nvidia GPU)
1x USB-C 3.2 Gen 2 Type-C (DP iGPU)
1x RJ45 – Ethernet 2.5GB
1x HDMI 2.1
1x Pembaca kad SD UHS-II
Bateri91.7 WHr
Pengecasan 330W GaN
Pengecasan USB-C PD 3.0 mencapai 100W
SIM/TelefoniTiada
WiFiWi-Fi 6E AX211
(IEEE 802.11a/b/d/e/g/h/i/k/n/r/u/v/w/ac/ax/az)
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanWajah – Windows Hello
Harga JualanRM19,999

SKRIN

Skrin IPS LCD bersaiz 18″ adalah sangat besar untuk sebuah laptop. Saya jarang sekali menggunakan laptop bersaiz ini dan pendapat awal membuatkan ia terasa agak canggung. Tidak cukup dengan saiz, resolusi yang disokong adalah QHD+ 2560 x 1600, kadar segar semula 240Hz dengan NVIDIA G-Sync, masa tindak balas 3ms serta turut boleh memaparkan kandungan HDR. Tidak dinafikan ini adalah spesifikasi yang mantap dan memuaskan. Hanya satu sahaja yang mengecewakan iaitu kecerahan terhad kepada 500 nits sahaja.

Walaupun saya tidak menggunakan laptop ini di luar pejabat, kadangkala saya suka skrin yang lebih cerah untuk lebih mudah melihat butiran dan warna pada kandungan video atau gambar yang sedang disunting.

Nisbah paparan adalah 16:10 yang tidak janggal untuk saya. Tetapi kerana menggunakan skrin IPS, apabila menonton video ia tidak menyokong skrin penuh dan akan memaparkan palang hitam. Panel skrin juga cukup kukuh, boleh dibuka dengan satu tangan serta mempunyai bezel yang lebih nipis dari model lalu.

Skrin gergasi untuk sebuah laptop juga membuatkan saya tidak lagi memerlukan monitor tambahan ketika bekerja dan bermain. Ini mungkin hanya untuk saya kerana ruang bekerja di pejabat yang terhad. Tetapi untuk anda jika masih mahu menggunakan monitor pastikan ruangan meja cukup lebar. Saiz 18″ turut mudah untuk melakukan multi tugasan dengan dua tingkap Windows.

REKAAN

Sama seperti Razer Blade 14, Blade 18 turut kelihatan seperti sebuah bongkah granit yang dibentuk dari aluminium dengan tenik CNC. Ini menjadikan Razer kelihatan unik dan berbeza dengan rekaan laptop gaming lain yang lebih ranggi, banyak kekisi, lampu RGB yang bersepah dan kelihatan amat tebal. Blade 18 masih lihat seperti sebuah laptop profesional atau sebuah MacBook Pro dalam mod gelap.

Blade 18 adalah sebuah laptop gaming untuk pengguna minimalis. Kekisi udara panas keluar, kekisi kipas dan kekisi speaker semuanya disembunyikan di bawah dan di belakang berdekatan dengan engsel. Sistem RGB Razer Chroma dihadkan pada papan kekunci dan logo di panel belakang hanya menyala berwarna hijau sahaja.

Di setiap sisi papan kekunci turut kelihatan kekisi speaker yang menembak audio ke atas. Turut berada di kawasan sama adalah pad sesentuh bersaiz besar yang selari dengan tubuh laptop.

Untuk I/O pula ia berada di setiap sisi kiri dan kanan laptop. Di kiri terdapat 1x port pengecas tersendiri, 1x RJ45 ethernet, 2x USB-A, 1x USB-C dan 1x bicu audio 3.5mm. Sementara di kanan pula terdapat 1x kunci Kensington, 1x HDMI 2.1, 1x USB-A, 1x USB-C dan 1x slot kad SD. Ini secara tidak langsung menjadikannya laptop paling lengkap yang pernah saya gunakan. Tiada keperluan untuk membeli penyesuai secara berasingan jika anda membeli Blade 18.

Seperti saya katakan tadi Blade 18 menggunakan rekaan skrin dengan bezel nipis dan tiada lagi dagu besar dengan logo Razer seperti model lepas. Bezel bahagian atas turut masih boleh dimuatkan dengan beberapa pemancar infra merah dan kamera 5MP untuk sokongan kamera web serta menyahkunci laptop tanpa memerlukan takuk.

Laptop ini turut antara yang paling berat pernah saya gunakan iaitu 3.1 kilogram. Oleh itu saya jarang membawa laptop ini pulang kerana tidak sanggup membawa ke hulu ke hilir dan hanya menjadikannya sebagai pengganti komputer. Beg sandang yang kami gunakan selama ini juga tidak cukup besar untuk menempatkannya. Oleh itu pastikan anda mempunyai beg laptop yang cukup besar jika ingin menggunakan Blade 18.

PAPAN KEKUNCI

Laptop ini hadir dengan papan kekunci yang sangat selesa untuk digunakan. Ia adalah jenis chiclet yang sudah biasa saya gunakan jadi ia tidak mendatangkan masalah sepanjang penggunaan. Sebelum ini Huawei Matebook 14s adalah laptop harian saya yang mana setiap kekunci terasa lebih keras berbanding pada Blade 18 yang lebuh lembut. Malah banyak artikel yang ditulis sejak sebulan lalu sehingga hari ini adalah dengan laptop ini.

Untuk bermain permainan video setiap kekunci cukup responsif seakan tiada sela masa. Jari-jemari saya tiada masalah untuk mencari kekunci lain dengan pantas dalam sesi permainan dan tiada masalah apabila ditekan dengan kuat. Lampu Razer Chroma turut menarik dengan kebolehan bergerak mengikut audio yang dimainkan, nyawa musuh dalam Mortal Kombat 11, serta turut boleh adaptif mengikut profil pada Razer Synapse.

PAD SESENTUH

Sudah menjadi kebiasaan sekarang untuk setiap laptop moden menggunakan pemacu pad sesentuh Windows Precision Driver. Saiz untuk Blade 18 ini adalah cukup besar untuk penggunaan saya. Kawalan-kawalan gestur Windows tiada masalah kerana sentiasa lancar dan pantas. Semua pergerakan dan sentuhan turut boleh dikesan dengan baik.

Masalah saya adalah sama dengan Effi ketika mengulas Blade 14 iaitu sistem klik yang tidak memuaskan. Keseluruhan bahagian atas adalah klik kiri sahaja sementara di bahagian bawah barulah yang standard iaitu klik kiri dan klik kanan. Saya masih rasakan cubaan Huawei pada Matebook mereka adalah yang terdekat untuk laptop Windows memberikan pengalaman seakan Track Pad sebuah MacBook.

PENGGUNAAN Dan PENANDA ARAS

Razer Blade 18 seperti kebanyakan laptop Windows menjalankan sistem operasi Windows 11. Tiada sebarang ciri atau fungsi khas yang ditawarkan melainkan aplikasi Razer Central. Menggunakan laptop ini sebagai setiap hari bukan mudah kerana saiz besar dan berat. Seperti yang saya katakan di perenggan atas, Blade 18 bukanlah “komputer riba” tetapi pengganti komputer.

Menaip artikel di WordPress, menjalankan dua pelayar web dengan pelbagai tab serentak, menyunting gambar di Adobe Photoshop dan menyunting video di Adobe Premiere memberikan pengalaman yang memuaskan. Ia sangat lancar dan laptop tidak memanas kerana semuanya pantas. Walau bagaimanapun apa yang kurang menyenangakn adalah bunyi kipas yang sangat bising dalam mod automatik.

Blade 18 adalah laptop yang memfokuskan gaming. Cip pemprosesan Intel Core i9 generasi ke-13, kad grafik NVIDIA RTX 4080 16GB VRAM, memori 32GB RAM dan storan dalaman 1TB SSD adalah spesifikasi yang sentiasa saya idamkan jika ingin membina set PC tersendiri. Apabila dapat mengalami semuanya pada laptop ini saya rasa sangat berpuas hati.

Permainan video Control, Ghostwire: Tokyo, Mortal Kombat 11 dan Forza Horizon 5 semuanya tiada masalah untuk dimainkan pada tetapan grafik paling tinggi. Beberapa permainan mencadangkan tetapan Ray Tracing dimatikan atau ditetapkan ke aras rendah kerana memori yang tidak mencukupi. Apabila mula bermain ia terus membuatkan saya rindu akan zaman mempunyai masa lapang yang banyak untuk bermain permainan video sepanjang hari.

Saya turut menguji kemampuan Razer Blade 18 dengan beberapa ujian penanda aras. Dalam 3DMark skor yang dicatatkan adalah seperti di bawah dan ia adalah yang tertinggi pernah kami lihat di makmal ujian Amanz. Ujian PCMark 10 mengesahkan ia bukan sahaja sesuai untuk sesi gaming tegar tetapi juga untuk melakukan tugasan di pejabat sekiranya diperlukan.

Untuk storan dalaman seperti biasa saya menggunakan CrystalDiskMark 8. Skor yang diperoleh untuk membaca adalah 6853.51 MB/s dan menulis pula adalah 4499.78 MB/s. Ini adalah skor yang tertinggi pernah saya uji sendiri dan segala kerja-kerja pemindahan data dari peranti lain ke Blade 18 dengan USB-C adalah benar-benar pantas.

AUDIO

Di atas kertas spesifikasi speaker Blade 18 adalah amat hebat. Dilengkapi dengan 2x tweeter, 4x sub-woofer, 3 amplifier pintar, menyokong codec 7.1 dengan HDMI serta diiktiraf dengan THX. Untuk penggunaan saya rasakan Blade 18 memfokuskan lebih kepada bass yang sangat dalam dengan dentuman yang kuat serta rancak.

Audio yang dihasilkan cukup seimbang dan enak. Malah lebih baik dari kebanyakan laptop yang pernah saya uji. Sayang sekali di telinga saya ia tidak cukup memuaskan untuk permainan video dan memaksa saya memakai set fon kepala Razer. Akan tetapi untuk menikmati video di Netflix atau YouTube saya masih boleh menerimanya.

BATERI

Razer Blade 18 dimuatkan dengan bateri 91.7 WHr dengan sokongan pengecasan GaN 330W melalui pengecas tersendiri. Blade 18 turut menyokong pengecasan USB PD 3.0 mencapai 100W melalui sambungan USB-C tetapi sistem akan memberi peringatan kuasanya tidak mencukupi jika mengesan aktiviti latar belakang yang berat. Saya tidak mengira durasi pengecasan kerana sepanjang penggunaan saya kerap sambungkan pengecas untuk prestasi yang konsisten.

Dari segi ketahanan bateri untuk penggunaan harian seperti menulis artikel, menonton video dan melayari web dengan kecerahan skrin maksimum, resolusi QHD dan kadar segar semula 240Hz laptop ini mampu bertahan sehingga 4 jam. Untuk sebuah laptop gaming ini adalah ketahanan yang membanggakan kerana laptop gaming lain di makmal Amanz iaitu Acer Predator Helios 18 hanya bertahan sekitar 2 jam.

APA ADA DALAM KOTAK?

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.

  • 1x Razer Blade 18 2023.
  • 1x Bongkah pengecas 330W GaN.
  • 1x Kabel kepala 3 pin.
  • 1x Manual.
  • 1x Pelekat Razer.
  • 1x Kain pengelap.

KESIMPULAN

Selepas hampir dua bulan menggunakan Razer Blade 18 sebagai laptop harian saya tidak boleh menafikan yang ini adalah laptop terbaik yang pernah saya gunakan. Walaupun prestasi produktiviti bukan kegemaran saya kerana tugasan ringan pun menyebabkan kipas berpusing laju dan bising, Blade 18 cukup memuaskan ketika bermain permainan video.

Rekaan yang menarik, skrin yang hebat, speaker yang boleh diterima, pad sesentuh yang besar dan papan kekunci yang sedap untuk ditaip. Razer Blade 18 adalah laptop yang serba lengkap dan cukup sempurna untuk diri saya.

Cuma disebabkan saiz besar dan sangat berat, saya tidak boleh membawa Blade 18 ke mana-mana. Jika boleh dapat pengalaman penggunaan yang lebih kurang sama dalam pakej lebih kecil saya pasti akan memilihnya sebagai laptop peribadi. Razer Blade 14 2023 yang dilancarkan baru-baru ini adalah calon terbaik sayang sekali Razer Malaysia mengesahkan setakat ini tiada perancangan untuk dijual di Malaysia.

Blade 18 yang saya gunakan ini dijual pada harga RM16,499. Adakah ianya berbaloi? Untuk mereka yang inginkan komputer riba berprestasi tinggi yang boleh digunakan untuk bermain serta bekerja ia adalah pilihan yang baik. Tidak banyak komputer gaming lain yang mampu menawarkan prestasi yang sama dalam pakej yang padat serta kemas.

Tetapi untuk insan seperti saya, ia kurang berbaloi kerana ia sebuah laptop yang sukar dibawa ke mana sahaja maka lebih baik saya beli desktop dengan spesifikasi setanding dan dengan lebih wang masih boleh membeli sebuah PlayStation 5. Keputusan di tangan anda.

PRO dan Kelebihan

  • Skrin pantas, cantik, gergasi dan memuaskan.
  • Prestasi amat baik untuk produktiviti dan gaming grafik tinggi.
  • Sokongan I/O serba lengkap dengan HDMI 2.1 bersaiz penuh.
  • Papan kekunci yang sedap, selesa dan berwarna-warni.
  • Rekaan minimalis seakan MacBook mod gelap.
  • Tiada masalah pemanasan.

KONTRA dan Kekurangan

  • Sistem klik pad sesentuh yang mengecewakan.
  • Speaker yang tidak memuaskan untuk sistem THX.
  • RAM dipateri ke papan induk.
  • Kipas terlalu bising.
  • Harga yang agak tinggi.
Komen