Ulasan – Razer Blade 14 Dengan Grafik Setajam Pisau, Gamer Tak Perlu Risau

Diterbitkan pada Dis 30, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Kami sudah boleh mengklasifikasikan diri sebagai sudah bersara daripada dunia gaming di PC kerana tidak lagi mampu membeli komputer yang mahal. Perkembangan teknologi baharu, kad grafik yang mahal kerana perlombongan kripto serta tiada lagi masa membuatkan kami lebih selesa menghabiskan masa bermain permua sahaja di telefon. Tetapi sejak dari dahulu lagi antara komputer riba gaming yang paling kami idamkan semasa lebih muda beliau dahulu ialah Razer Blade.

Razer Blade 14 yang diulas ini ialah yang pertama pernah kami gunakan sejak menjadi penulis. Maka palang harapan yang kami letakkan untuknya adalah agak tinggi memandangkan reputasinya yang cukup baik di kalangan gamer. Adakah Blade akan berjaya memuaskan hati gamer tua ini atau sekadar menikam dada penuh kekecewaan?

Razer Blade 14 (2022)
Skrin14″ WQXGA, (2560 x 1440 pixel)
IPS LCD, 165Hz,
FreeSync Premium
CPUAMD Ryzen 9 6900HX
GPUNVIDIA GeForce RTX 3070 8GB GDDR6
RAM16GB DDR5-4800MHz 
Storan1TB M.2 NVMe PCIe
Kamera Utama1080p Infra Merah
I/O2 x USB 3.2 Gen 2 Type-A
2 x USB 4 Type-C
1 x HDMI 2.1 output
Kunci Kensington
Bateri61.6 WHr
Pengecasan 230W
SIM/TelefoniTiada
WiFi802.11a/b/g/n/ac/6e
Bicu AudioYa
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanWajah Windows Hello
Harga JualanRM9999

Skrin

Skrin besar 14″ dari jenis IPS LCD menyokong resolusi QHD dengan kadar segar semula sehingga 165Hz lengkap dengan sokongan AMD FreeSync. Ini ialah spesifikasi yang tidak mengecewakan bagi sebuah komputer gaming. Tiada sebarang piawaian rasmi menyokong kandungan HDR diberikan tetapi skrin mampu memaparkan 100% warna DCI-P3.

Tiada sokongan sesentuh tetapi ciri ini memang jarang sekali ditawarkan pada sebuah komputer gaming. Bezel skrin adalah nipis dan mempunyai kemasan yang mengelakkan ia daripada mengalami masalah silau.

Permainan video serta kandungan video dipaparkan warna yang baik pada skrin ini. Warna nampak hidup dan amat terang pada tetapan tertinggi serta masih boleh dilihat jelas di bawah matahari yang terik. Sudut pandangan juga memuaskan dengan tiada perubahan warna yang drastik apabila dilihat pada sisi.

Skrin juga boleh dibuka sehingga sudut sehingga sekitar 110 darjah. Pada sudut ini, Blade 14 selesa digunakan ketika di atas meja maupun di atas riba. Apa yang kami sedar ialah bahagian skrin ini adalah sangat keras sehingga ia langsung tidak bergegar apabila kami menaip. Ia adalah engsel yang paling kukuh pernah kami lihat binaannya serta kekerasannya berbanding majoriti komputer riba lain yang pernah memasuki makmal ujian Amanz.

Skrin dengan nisbah 16:9 juga membuatkan ia amat serasi digunakan bukan sahaja untuk permainan video tetapi juga untuk menstrim filem serta melakukan tugasan kerja apabila perlu.Dengan sokongan resolusi tinggi, imej kelihatan tajam dan tidak menyakitkan mata selepas sesi permainan video yang panjang.

Rekabentuk

Rekaan ialah kekuatan Razer Blade 14 sejak dahulu lagi. Ia kelihatan seperti sebuah bongkah granit yang legap yang bukan sahaja membuatkan ia nampak bergaya tetapi turut berjaya menyorokkan identitinya sebagai sebuah komputer gaming. Seluruh tubuh diukir dari bongkah aluminium menggunakan sistem CNC.

Yang membuatkan ia kantoi ialah logo Razer yang berwarna hijau terang di atas bahagian penutup. Logo diterangi lampu hijau yang boleh diubah untuk berkelip seperti ritma bernafas atau dimatikan terus bagi pemilik yang tidak mahu “ke-gaming-an” komputer riba ini nampak ketara.

Tiada lubang udara yang ketara pada sisi atau di belakang. Kesemua berjaya disorokkan di bahagian bawah. Dua kipas penyejuk di bahagian bawah juga disorokkan di belakang dua kekisi udara yang sederhana besar. Bagi mereka inginkan komputer riba gaming yang nampak seperti sebuah komputer riba kerja biasa, Blade 14 ialah pilihan yang cukup cemerlang.

Kesemua I/O diletakkan pada sisi kanan dan kiri yang nampak seimbang rekaannya. Di awal perenggan di atas kami katakan Blade 14 nampak seperti sebuah bongkah granit. Blade 14 juga adalah agak berat dengan ia hampir mencecah 1.8 kilogram.

Tiada komponen yang terasa longgar. Satu-satunya komputer riba lain yang mempunyai binaan yang terasa teguh seperti Blade 14 ialah MacBook Air M2. Kedua-duanya terasa sangat premium apabila dipegang. Tiada komponen longgar dan tiada bunyi aneh dari dalam. Kerana tubuh Blade 14 ini teguh, ia tidak melentur walaupun diberikan sedikit tekanan. Ini membuatkan kami merasa selesa meletakkan di dalam beg tanpa perlu risau tubuh akan melengkung seperti pesakit scurvy secara tidak sengaja.

Pilihan I/O ialah port pengecas, 1x USB 3.2 Gen 2 Type-A dan 1x USB 4 Type-C di bahagian siri kiri. Di bahagian kanan pula diletakkan 1x USB 3.2 Gen 2 Type-A, 1x USB 4 Type-C, 1x HDMI 2.1 dan kunci Kensington pada sisi kanan.

Port yang diberikan adalah memuaskan tetapi kami rasakan adalah lebih baik sekiranya Razer menyertakan satu port LAN dan pembaca kad. Sesi gaming pastinya lebih pantas tanpa lengah masa jika sambungan berwayar boleh dilakukan.

Kamera web dengan sokongan pengecaman wajah Windows Hello diletakkan pada bezel atas skrin dan ia tidak mengganggu kerana berjaya disorokkan dengan baik. Tetapi tiada pula sokongan pengimbas cap jari yang semakin menjadi standard pada komputer riba kelas mercu. Sistem pengecaman wajah Windows Hello yang disokong berfungsi dengan pantas sebaik sahaja bahagian penutup dibuka. Ia boleh digunakan dalam keadaan gelap kerana turut mempunyai pemancar infra merah.

Tubuh Blade 14 diperbuat daripada logam yang tidak berkilat tetapi masih boleh memerangkap kotoran jika jari berkilat. Kerana ia berwarna hitam, adalah sukar untuk mengekalkan kebersihan Blade 14.

Papan Kekunci

Papan kekunci adalah dari rekaan chicklet yang popular pada komputer riba moden. Ia turut dari keluarga membran dengan jarak pergerakan menegak yang agak cetek. Sebagai pengguna MacBook Air, kami tiada isu dengan papan kekunci ini kerana ia masih terasa tegap. Malahan dari segi kualiti kami rasakan kekunci Blade 14 terasa lebih premium dan sedap untuk menaip.

Terdapat sokongan lampu individu pada setiap kekunci yang dikawal menggunakan sistem Razer Chroma. Setiap kekunci adalah responsif walaupun dalam permainan video FPS yang memerlukan reaksi pantas. Tiada sekalipun kami rasakan papan kekunci ini gagal mengesan setiap tekanan yang diberikan. Lampu cukup terang tetapi tidak menyilaukan. Bagi mereka yang gemar bermain dalam bilik gelap, tiada masalah mencari kekunci yang perlu ditekan pada waktu malam.

Papan kekunci ini juga cukup selesa digunakan untuk melakukan tugasan menaip. Sebahagian besar artikel ini ditaip menggunakan Blade 14. Apa yang kami sedari hanyalah ia agak keras maka memerlukan kami mengubah sedikit gaya menaip. Canggung untuk beberapa hari tetapi kemudiannya tiada isu. Kerana fungsi utama Blade 14 ialah sebuah komputer riba gaming dan bukan komputer kerja, sedikit ketidakselesaan ketika menaip ini boleh dimaafkan.

Pad Sesentuh

Pad sesentuh adalah besar untuk komputer riba 14″ Windows. Permukaan atasnya diperbuat daripada kaca yang menjadikan pergerakan jari di atasnya terasa lancar sepanjang masa. Kesemua gestur utama Windows disokong menerusi Windows Precision Driver. Setiap pergerakan dan sentuhan dikesan dengan baik. Malang sekali kali kurang gemar dengan sistem klik yang digunakan. Seperti papan kekunci ia adalah keras dan memerlukan tekanan yang lebih kuat.

Kami telah dimanjakan oleh Track Pad pada MacBook yang tidak boleh dinafikan sebagai yang terbaik pada komputer riba. Maka kekurangan pada pad sesentuh Blade 14 memang dapat dirasai. Oleh sebab sistem klik yang keras tadi, kami tidak sarankan ia digunakan untuk sesi gaming. Sambungkan sahaja sebuah tetikus Razer untuk sesi permainan yang lebih selesa serta jitu.

Penggunaan Dan Penanda Aras

Dengan cip AMD Ryzen 9 6900HX, kad grafik NVIDIA GeForce RTX 3070 Ti 8GB GDDR6 dan 16GB DDR Razer Blade 14 ialah sebuah komputer riba gaming dengan spesifikasi yang tinggi sebelum munculnya GPU siri RTX 4XXX untuk komputer riba tahun depan. Di Malaysia hanya varian ini sahaja ditawarkan sedangkan di pasaran lain ada model dengan RTX 3080 Ti dan RTX 3060. Seperkara lagi yang sedikit mengecewakan ialah RAM dipaterikan terus ke papan induk. Tiada pilihan untuk menambah RAM pasca pembelian.

Dalam ujian Fire Strike Extreme, Wildlife Extreme dan Time Spy Extreme, markah yang dicatatkan adalah jauh lebih tinggi berbanding markah purata komputer riba gaming lain di pasaran. GPU RTX3070 Ti mempunyai kuasa yang mencukupi untuk menjalan permainan video pada tetapan tinggi serta resolusi 1440p pada waktu ini. Asalkan Blade 14 disambungkan kepada kabel kuasa , majoriti permainan yang diuji boleh dimainkan stabil pada kadar bingkai 60FPS.

Apabila menjalankan permainan seperti The Witcher 3 Next Gen dengan Ray Tracing diaktifkan, kipas mula bergerak lebih pantas tetapi bunyi yang dihasilkan tidak begitu bingit. Tetapi kami menyedari bahagian papan kekunci dan bawah Blade 14 mula menjadi panas sehingga tidak selesa digunakan. Rekaan tubuh yang padat serta diperbuat daripada bongkah aluminium menjadikan seluruh Blade 14 menjadi panas. Berbeza dengan komputer gaming lain yang lebih tebal, mempunyai lebih banyak lubang udara dan mempunyai tubuh plastik yang tidak mengalirkan haba dengan baik.

Kemampuan Blade 14 sebagai komputer gaming memang tidak boleh disangkal lagi. Tetapi ia juga berkemampuan sebagai komputer kerja grafik dan suntingan video. Membuka fail yang besar tiada isu kerana storan SSD yang pantas serta saiz RAM yang memuaskan. Memproses video juga boleh dilakukan pantas. Maka tidaklah mengejutkan markah PCMark 10 Blade 14 juga amat tinggi mengalahkan komputer riba kerja dan hampir setanding sebuah PC desktop.

Audio

Dua pembesar suara menembak ke atas diletakkan pada sisi kanan dan kiri papan kekunci. Tiada maklumat mengenai kuasa dikongsi oleh Razer. Konfigurasi yang mirip pada MacBook Pro 14. Kerana konfigurasi ini kami mempunyai harapan tinggi dengan kemampuan audio Blade 14 lebih-lebih lagi ia hadir dengan sokongan audio THX. Tetapi speaker pada Blade 14 adalah komponen yang paling mengecewakan. Audio terasa rata dengan bass langsung tidak memuaskan. Treble sahaja yang kami rasakan baik lebih-lebih lagi jika anda peminat muzik jazz.

Dalam permainan video kekurangan bass ini dapat dirasakan. Bermain Call of Duty misalnya letupan terasa lemah dan setiap tembakan dari senapang patah tidak memuaskan langsung. Tidak setara dengan komputer dalam kelas yang sama seperti Huawei MateBook 14s dan MacBook Air M2. Audio langsung tidak menyerlah ini membuatkan kami menguji pelbagai permainan video menggunakan fon kepala yang disambung kepada bicu audio 3.5mm.

Bateri

Razer mengatakan bateri 61.1 Whr yang digunakan boleh membekalkan kuasa sehingga 11 jam. Dalam ujian yang kami lakukan tidak sekalipun ia mencapai tempoh ini. Prestasi terbaik ialah hampir 10 jam dengan Blade 14 digunakan untuk melayari web dan menstrim video pada keterangan sederhana.

Dalam sesi gaming pula, ia boleh bertahan sehingga sekitar tiga jam. Harus kami katakan tahap penurunan bateri bergantung kepada jenis permainan yang dijalankan. Lebih intensif keperluan grafik, semakin pendek hayat baterinya. Pengecasan semula dilakukan dengan pengecas 230W yang menggunakan sambungan khusus. Pengecas juga hadir dengan bongkah kuasa yang besar serta berat.

Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.

  • 1x Razer Blade 14 2022.
  • 1x Bongkah pengecas 230W.
  • 1x Kabel kepala 3 pin.
  • 1x Manual.
  • 1x Pelekat Razer.
  • 1x Kain pengelap.

Kesimpulan

Razer Blade 14 2022 ialah komputer riba gaming yang bukan sahaja berkemampuan menjalankan permainan video pada tetapan yang tinggi tetapi melakukannya dengan ia tidak kelihatan sebuah komputer gaming biasa. Ia tidak perlu mengiklankan kepada dunia ia sebuah peranti gaming dan oleh seban itu kami cukup gemar dengan rekaannya.

Pilihan I/O yang diberikan adalah baik cuma akan menjadi lebih sempurna jika terdapat LAN dan pembaca kad memori. Sungguhpun direka untuk gaming, ia cukup berkuasa untuk tugasan grafik dan menyunting video. Sebagai mesin kerja menaip juga ia tidak kurang hebatnya kerana ketahanan bateri yang cukup baik.

Isu kami hanyalah terletak pada harga RM9999 sebuah. Pada harga ini kami perlukan sehampir mungkin kepada kesempurnaan. Sistem audionya tidak memuaskan dan pad sesentuh juga kurang memuaskan. Tetapi hakikatnya ialah hanya Razer Blade 14 menawarkan prestasi tinggi dalam rekaan yang padat dan menarik di pasaran sekarang.

Harga mungkin agak mahal tetapi berbaloi bagi mereka mencari sebuah komputer gaming berkuasa mudah alih yang menyorokkan kemampuan sebenarnya dalam rekaan yang amat bergaya.

PRO dan Kelebihan
  • Skrin pantas yang cantik.
  • Prestasi tinggi untuk gaming dan juga kerja.
  • Pilihan I/O yang baik lengkap dengan HDMI saiz penuh.
  • Papan kekunci yang sedap untuk menaip dan gaming.
  • Rekaan amat premium tampak seperti bukan komputer gaming.
  • Hayat bateri yang memuaskan.
KONTRA dan Kekurangan
  • Sistem klik pad sesentuh agak lembik.
  • Speaker yang amat mengecewakan untuk sistem THX.
  • RAM dipateri ke papan induk.
  • Papan kekunci menjadi panas.
  • Harga.

komen


© Amanz / 2023 Kami