Tahun lalu kami mengatakan MacBook Air M1 ialah komputer riba untuk kerjaya yang terbaik pernah kami ulas kerana kombinasi mampan pemproses M1 yang berkuasa, tiada sebarang haba melampau, sistem operasi yang stabil, papan kekunci yang padu dan ketahanan bateri yang selama ini hanya ditemukan pada tablet.
Bumi sudah melakukan satu pusingan lengkap mengelilingi matahari dan Apple MacBook Air M2 kini sudah boleh dibeli oleh pengguna di Malaysia. Dengan MacBook Air M1 masih lagi ditawarkan secara rasmi oleh Apple, adalah MacBook Air M2 sebuah pembelian yang perlu atau adalah lebih berbaloi untuk membeli model tahun lalu sahaja dengan spesifikasi lebih tinggi?
Spesifikasi Dan Rekabentuk
Apple MacBook Air M2 | |
---|---|
Skrin | 13.6″ IPS LCD Retina Display 2560×1664 pixel. |
Pemproses | Apple M2 (5nm) |
Cip | 3.49 GHz 8 Teras |
Cip Grafik | 8 Teras Apple GPU |
RAM | 8GB LPDDR4X |
Muatan Dalaman | 256TB PCIe |
Kamera Utama | FaceTime HD (1080P) |
I/O | 2 USB-C (Thunderbolt 3/USB 4) |
Bateri | 52.6 Wh Pengecasan 30W MagSafe 3 |
SIM/Telefoni | Tiada |
WiFi | 802.11a/b/g/n/ac/6 |
Bicu Audio | Ya |
Kalis Air | Tiada |
Sistem Imbasan | Pengimbas jari Touch ID |
Harga Jualan | Bermula RM5499 |
Banyak perubahan besar dilakukan pada rekaan MacBook Air M2 tahun ini jika dibandingkan dengan model asal yang diperlihatkan oleh Steve Jobs pada tahun 2008. Kita mulakan dengan skrin yang kini lebih besar (13.6″ vs 13.3″) dengan takuk yang agak besar untuk kamera web yang kini akhirnya menyokong resolusi 1080P setelah sekian lama di hanya sekadar 720P.

Ruang atas bezel besa yang selama ini terbazir kini adalah skrin yang boleh meletakkan maklumat mengenai aplikasi, bateri, WiFi, bluetooth dan banyak. Walaupun takuk agak besar ia tidak mengganggu pemandangan kami. Mungkin kerana,
a) Kami sudah membiasakan diri dengan takuk pada iPhone sejak iPhone X lima tahun lalu.
b) Kerana selama ini bahagian atas skrin ini hanya mempunyai bezel yang besar.
Skrin terasa lebih besar tetapi tidak membawakan sebarang perbezaan yang ketika ketika melakukan kerja. Ada 2 cm lebih banyak ruang kerja pada setiap aplikasi yang digunakan. Skrin masih lagi dari keluarga IPS LCD dengan resolusi retina 2560×1664 pixel. Sudut pemandangan adalah baik dengan tiada isu untuk menggunakannya dalam kawasan terang asalkan tidak di bawah matahari yang terik. Isu ini akan hanya dapat diselesaikan apabila Apple menggunakan skrin OLED atau micro LED di masa hadapan.

Penutup boleh dibuka sehingga sudut 110 darjah dengan sebelah tangan. Tiada isu mencari sudut yang selesa ketika menaip di atas meja atau di atas paha ketika menaip di dalam kereta. Situasi kedua ini kerap kali berlaku pada kami dan kemampuan untuk digunakan ketika di luar pejabat, dalam kapal terbang, dalam kereta dan dalam apa jua bentuk pengangkutan adalah cemerlang pada MBA M2.
Perubahan kedua yang lebih ketara dan mendatangkan kesan kepada penggunaan ialah rekabentuk MBA M2 yang kini selari dengan yang digunakan pad MacBook Pro 14″ dan 16″ yang dilancarkan pada penghujung 2021.

Panel penutup kini rata dengan logo Apple berkilat yang agak besar saiznya. Antara perkataan pertama yang terkeluar dari rakan sepejabat mengenai rekaan logo ini ialah ia membuatkan MBA M2 kelihatan seperti produk palsu dari China. Logo ini terlalu besar pada sebuah MacBook 13″ dan hanya nampak seimbang pad MacBook Pro 16″.
Rekaan rata hanya pada satah X dengan rekaan pada satah Y dibulatkan. Bayangkan MacBook Pro 14″ yang dikecilkan sedikit dengan bahagian bawah yang sedikit lebih nipis. Secara keseluruhan MBA M2 adalah 0.26cm lebih tebal tetapi 50 gram lebih ringan. Aneh sekali komputer riba ini terasa jauh lebih ringan berbanding MBA M1 kami di dalam tangan. Mungkin kerana komponen disebarkan dengan lebih baik membuatkan kadang kala ia terasa ringan seperti sebuah iPad Pro 12″ dengan Magic Keyboard.

Terdapat dua port USB- C Thunderbolt dan port pengecasan MagSafe 3 pada sebelah kiri. Dengan adanya MagSafe, tiada lagi isu hanya satu port USB-C boleh digunakan apabila komputer sedang dicas. Bagi mereka yang lebih menyukai pengecasan USB-C, jangan risau kerana pengecasan menerusi USB-C masih boleh dilakukan. Pada sebelah kanan pula sebuah bicu audio 3.5mm dikekalkan. Tiada HDMI, pembaca kad SD dan USB-C tambahan seperti pada MacBook Pro.
Di bahagian bawah keempat-empat pelapik getah juga lebih besar berbanding model M1. Luas permukaan yang lebih besar ini secara teorinya akan membuatkan MBA M2 lebih selamat di atas meja

Sebagai pengguna MacBook Air M1, harus kami katakan kami tidak jatuh hati dengan rekaan baharu MacBook Air M2 kerana terlalu berkotak dan tidak kelihatan aerodinamik seperti model terdahulu. Tetapi ini ialah rekaan yang digunakan oleh Apple sekarang sebagai perubahan daripada era Steve Jobs dan Jony Ive yang amat menyintai permukaan melengkung. Jika Apple sudah move on dari dua insan yang penting ini, mungkin kita juga harus melakukan perkara yang sama.
Papan Kekunci

Papan kekunci Magic Keyboard diberikan sedikit sahaja perubahan dengan barisan paling atas kini mempunyai saiz kekunci yang sama besar dengan kekunci-kekunci yang lain. Rekaan ini dipinjam dari Magic Keyboard iMac M1 dan MacBook Pro 14/16. Penyeragaman rekaan tidak terhenti pada tubuh MacBook sahaja tetapi juga pada kekunci.
Kekunci yang lebih besar ini memudahkan proses menjeda muzik, menukar keterangan skrin, dan mengubah kelantangan audio. Rekaan kekunci lebih besar ini dilakukan bagi meletakkan pengimbas cap jari Face ID yang lebih besar pada butang kuasa.

Menaip menggunakan Magic Keyboard adalah antara yang terbaik di pasaran sekarang. Ada sebab mengapa ramai penulis memiliki MacBook Air dan ia adalah kerana papan kekunci ini sangatlah selesa digunakan. Ruang antara kunci amat baik dengan pergerakan menegak yang memuaskan. Jika akan memerlukan sebuah mesin menaip yang selesa, MacBook Air M2 adalah pilihan yang tidak mengecewakan.
Kesemua 78 kekunci hadir dengan sokongan lampu berwarna putih. Terdapat 16 tahap keterangan lampu yang boleh diubah oleh pengguna mengikut keselesaan mata dan situasi. Sensor cahaya akan menghidupkan lampu secara automatik apabila keadaan sekeliling menjadi gelap. Kekurangan hanyalah tiada butang fizikal untuk mengubah keterangan lampu.
Pad Sesentuh

Apple membesarkan saiz skrin, menggandakan jumlah speaker dan meningkatkan saiz kekunci barisan pertama tetapi pad sesentuh masih lagi sama saiznya. Ia walau bagaimanapun masih lebih besar berbanding pad sesentuh pada komputer riba Windows.
Kejituan mengesan pergerakan jari dan gestur adalah amat baik sehingga kami tidak memerlukan tetikus untuk melakukan suntingan gambar dalam Adobe Photoshop. Berbeza sungguh dengan pengalaman menggunakan RedmiBook 15 yang diulas bulan lalu. Jika anda menggunakan MacBook Air M2, anda tidak perlu risau untuk membawa tetikus untuk melakukan kerja.
Penggunaan

Sistem operasi macOS Monteray dipadankan dengan cip Apple M2 (8 teras CPU dan 8 teras GPU), memori 8GB RAM dan storan 256GB sahaja pada model asas yang diulas. Sejak Apple Silicon diumumkan dua tahun lalu, isu aplikasi yang tidak serasi dengan cip M1 dan M2 telah semakin berkurangan.
Adobe dan Microsoft telah menawarkan aplikasi mereka yang menyokong Apple Silicon secara natif. Beberapa isu aplikasi tidak serasi yang kamu nyatakan dalam ulasan MacBook Air M1 tidak lagi berulang. Sekarang ialah waktu terbaik jika selama ini akan menantikan untuk membeli MacBook dengan cip Apple Silicon.
Sebagai mesin melalukan tugasan kerja ringan dan separa berat di pejabat, MacBook Air M2 berfungsi dengan cemerlang. Boleh dimasukkan tahap-S yang sering digunakan oleh orang Jepun untuk produk yang terbaik dalam kelasnya.

Sepanjang lima hari menggunakan MacBook Air M2, ia berfungsi dengan sifar isu, sifar bunyi bising, sifar sela masa, sifar aplikasi gagal berfungsi dan hampir tiada sebarang isu pemanasan. Dalam 95% situasi langsung tidak ada haba dapat dirasakan. MacBook ini lebih mirip dengan sebuah tablet dari sebuah komputer riba. Ini tidaklah mengejutkan kerana ini juga pengalaman kami sepanjang menggunakan MacBook Air M1 tahun lalu.
Seperti MacBook Air M1 kami masih tidak boleh menyarankan penggunaannya sebagai mesin memproses video. Memang Apple M2 boleh memproses video ProRes dan ProRes Raw tetapi tanpa kipas penyejuk, komputer riba ini memanas dengan ketara sehingga membuatkan kami sedikit risau.
Pemanasan yang ketara juga berlaku apabila memainkan permua walaupun dari jenis grafik sederhana yang dimuat naik dari Apple Arcade. Permainan yang sama apabila dimainkan di iPhone dan iPad tidak menyebabkan masalah pemanasan yang sama. Apabila mula memanas kami menyedari prestasi aplikasi lain seperti menaip artikel dalam Firefox pun tersekat-sekat. MacBook Air M2 masih lagi sebuah komputer riba untuk kerja dan bukan untuk bersuka ria pada tahun 2022!

Satu lagi isu yang perlu diketengahkan ialah RAM. Model 8GB RAM yang kami ulas ini mempunyai had berapa banyak aplikasi yang boleh dibuka. MacBook Air M1 yang kami gunakan selama ini dilengkapi 16GB RAM. Oleh itu sudah menjadi kebiasaan membuka 12 tab di Chrome, 4 tab di Firefox, membuka Photoshop, dan menstrim muzik menggunakan Apple Music tanpa sebarang isu.
Pada Macbook Air M2 yang kami ulas ini, beberapa kali perkataan yang ditaip mengalami masalah selama masa sebelum dipaparkan pada skrin WordPress ketika menulis artikel. Hanya selepas mengurangkan jumlah tab di Chrome isu ini dapat diselesaikan.Ini adalah isu yang turut kami alami pada Mac Mini Intel i3 8GB RAM dan Macbook Air Intel i5 8GB RAM yang kami miliki. Jika anda bercadang membuka banyak aplikasi serentak seperti di atas, kami tidak sarankan model dengan hanya 8GB RAM.
Penanda Aras
Dalam Geekbench 5, 1891 markah dicatatkan untuk ujian satu teras dan 8736 markah untuk ujian multi teras. Dalam ujian storan BlackMagic pula SSD mencatatkan kelajuan 1618 MB/s untuk membaca dan 1464 MB/s untuk menulis.
Prestasi memproses satu teras meningkat 9.3% dan multi teras pula meningkat 14% berbanding cip Apple M1 (1730 /7656 markah). Bukanlah peningkatan yang mengagumkan dari tahun ke tahun. Yang mengecewakan ialah kami mengesahkan laporan sebelum ini bahawa prestasi SSD 256GB adalah separuh daripada prestasi SSD M1.

Tahun lalu pada MacBook Air M1 dengan storan 1TB yang kami ulas, kelajuan membaca ialah 3204 MB/s dan menulis pula ialah 2776 MB/s. Prestasi SSD pada model paling asas adalah sekitar separuh daripada prestasi model dengan storan yang lebih tinggi. Apa gunanya pemproses memberikan peningkatan 14% jika prestasi SSD dipancung separuh?
Kepincangan ini tidak akan disedari jika anda hanya menggunakan MacBook Air M2 untuk menaip kerja kerja, melakukan suntingan gambar dalam Photoshop, menstrim video dan melayari web. Kekurangan kelajuan SSD atau peningkatan prestasi CPU hanya disedari jika anda melakukan tugasan lebih berat seperti menyunting video dalam format ProRes misalnya

Anda boleh melakukan suntingan video dengan MacBook Air M2 tetapi kami menyedari komputer mula menjadi semakin panas semakin lama video perlu diproses. Masalah pemanasan ini akan mengurangkan prestasi Apple M2 tetapi tidak membuatkan komputer menjadi tidak selesa digunakan. Hanya terasa sedikit suam apabila komputer diletakkan di atas paha. Kesemua isu ini berlaku kerana MacBook Air tidak dilengkapi sistem penyejukan berkipas.
Saranan kami jika anda mencari komputer Apple M2 untuk suntingan video dan tugasan yang lebih intensif, Apple MacBook Pro 13 M2 adalah model yang lebih sesuai keran hadir dengan sistem penyejuk berkipas.
Audio
Tiada lagi kekisi audio di kiri dan kanan papan kekunci MacBook Air M2. Sebaliknya sistem audio dwi-speaker digantikan dengan sistem kuad-speaker yang dipindahkan di antara engsel skrin dan tubuh komputer. Buat pertama kalinya juga, sistem audio spatial disokong pada MacBook Air. Sokongan Dolby Atmos juga dikekalkan.

Kerana speaker kini disorokkan antara skrin dan tubuh, audio dipantulkan ke skrin dan kemudian ke telinga pengguna. Ia memberikan ilusi seperti speaker terletak dalam skrin komputer. Audio terasa lebih terang dan jelas terutamanya dialog percakapan dalam video. Kualiti audio juga lebih baik jika dibandingkan dengan MacBook Air terdahulu kerana terasa pentang bunyinya yang lebih luas.
Masih terdapat bicu audio 3.5mm bagi mereka yang masih lebih selesa menggunakan aksesori audio berwayar.
Bateri
Bateri 52.6 Whr MacBook Air M2 adalah lebih besar berbanding 49.9 Whr pada MacBook Air M1. Tetapi Apple berkata hayat penggunaan kedua-dua mesin boleh mencecah 16 jam dengan sekali caj. Dalam ujian Makmal Amanz, kami dapat menikmati hayat penggunaan sehingga 14 jam dengan sekali caj menerusi penggunaan biasa melayari web dengan Chrome, menyunting gambar dengan Photoshop, menyunting video dengan DaVinci Resolve dan menstrim video resolusi tinggi dari Apple TV.

Sepanjang ulasan keterangan skrin diletakkan pada tahap 50% dan audio pula sekitar 80%. Hayat bateri ini adalah cukup baik untuk sehingga hampir dua hari bekerja. Prestasi bateri Apple M1 yang merupakan terbaik dalam kelasnya diteruskan oleh Apple M2 tahun ini.
Tempoh mengecas semula bateri adalah sekitar 2.5 jam menggunakan pengecas 30W USB-C yang disertakan dengan setiap pembelian dan kabel MagSafe 3. Seperti yang telah kami katakan beberapa perenggan di atas, pengecasan semula menggunakan USB-C masih boleh dilakukan jika anda tiada kabel MagSafe 3.
Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.
- 1x Apple MacBook Air M2
- 1x Pengecas 30W
- 1x Kabel pengecas USB-C ke MagSafe 3
- 1x Pelekat Apple
- 1x Kad jaminan
- 1x Manual permulaan pantas
Kesimpulan
Skrin lebih besar, pemproses yang lebih berkuasa, audio yang lebih mantap, sistem pengecasan lebih moden dan kamera web lebih baik menjadi sandaran Apple untuk membuatkan anda membeli MacBook Air M2. Rekaan juga dikemaskini untuk kelihatan lebih berkotak selari dengan rekaan MacBook Pro 14/16, iMac M1 dan Mac Mini baharu. Ia masih lagi menarik tetapi secara peribadi – dan ini subjektif – rekaan lama MacBook Air adalah lebih cantik dan ikonik.
Walaupun moden tahun ini serba serbi lebih moden, semuanya tidak berguna jika anda membeli model asas dengan 256GB. Prestasi SSD adalah separuh berbanding model 256GB tahun lalu. Sebagai pemilik MacBook Air M1, kami merasakan jika anda mahukan nilai yang lebih baik MBA M1 dengan 16GB RAM dan 512GB dijual pada harga RM5999 – hanya RM500 lebih mahal berbanding MBA M2 8/256GB adalah pilihan lebih berbaloi.

MacBook Air masih lagi sebuah komputer untuk kerja bukan untuk bergembira. Kami katakan begitu kerana menjadi panas apabila menjalankan permainan video dan melakukan suntingan video. Sistem tanpa kipas memang senyap tetapi menimbulkan isu pemanasan yang memberikan kami memori menggunakan MacBook dengan cip Intel.
Kuasa memilih di tangan anda. Jika peningkatan 14% kuasa memproses CPU, skrin lebih besar, audio spatial, pengecasan MagSafe 3, kamera FHD dan papan kekunci baharu adalah penting maka kami boleh sarankan pembelian Macbook Air M2 kepada anda. Jika perkara di atas tidak penting, MacBook Air M1 masih dijual oleh Apple dan ia masih lagi komputer riba yang baik untuk tugasan pejabat.
PRO dan Kelebihan
- Rekaan baharu lebih konsisten dengan produk Mac lain oleh Apple.
- Pemproses yang lebih berkuasa.
- Papan kekunci terbaik dalam kelas.
- Pad sesentuhnya juga amat baik.
- Prestasi bateri sehingga 14 pada penggunaan kerja harian.
- Peningkatan prestasi audio yang ketara.
KONTRA dan Kekurangan
- Pilihan I/O yang masih terhad kepada dua USB-C Thunderbolt 4.
- RAM dan SSD dipateri ke papan induk. Tidak boleh ditambah baik.
- Prestasi SSD model 256GB adalah separuh daripada model lain.
- Tiada kipas bermakna ia menjadi panas apabila menyunting video dan menjalankan permainan video.
- Jauh lebih mahal berbanding model asas MacBook Air M1 tahun lalu.
