Carian
NASA Berjaya Kitar Semula 98% Air Kencing Dan Peluh Angkasawan Di ISS
June 26, 2023 Fahim Zahar

Fremen stillsuit dalam filem Dune adalah pakaian yang boleh menapis peluh menjadi air yang boleh diminum. NASA mungkin sudah satu langkah ke hadapan menjadikan sut ini realiti tetapi untuk angkasawan yang berada di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). Baru-baru ini mereka telah berjaya mengitar semula air kencing dan peluh angkasawan kepada air yang boleh diminum.

Fremen Stillsuit – Filem Dune (2021)

Sehingga 98% air kencing dan peluh angkasawan ISS boleh diproses oleh sistem baharu ini berbanding sehingga 94% menggunakan sistem terdahulu. Sistem Environmental Control and Life Support System (ECLSS) mengitar semula wap air daripada peluh dan helaan nafas angkasawan.

Sementara itu sistem Urine Processor Assembly (UPA) pula mengitar semula air kencing dan bahan kumbahan lain menggunakan sistem penapisan vakum. Selepas ditapis masih terdapat saki baki air garam yang kemudian diproses pula menggunakan Brine Processor Assembly (BPA) yang mengekstrak lebih banyak air untuk dikitar semula.

Brine Processor Assembly (BPA)

Air kemudiannya dipantau bagi memastikan kualitinya. Sekiranya tidak ia menjalani proses penapisan sekali lagi. Menurut NASA piawaian kebersihan air di ISS adalah lebih ketat berbanding yang digunakan pelbagai majlis perbandaran di A.S.

Kejayaan ini membolehkan misi angkasa di masa hadapan dipermudahkan. Mana tahu suatu hari nanti sistem ini boleh diintegrasikan dalam sut angkasa untuk angkasawan merantau ke planet-planet atau bulan tanpa risau akan bekalan. Sut terbaru adalah Axiom Extravehicular Mobility Unit (AxEMU) yang direka oleh pereka sut siri For All Mankind.

Komen