Pada bulan April yang lalu, Alliance Bank telah memperkenalkan sebuah konsep kad kredit baru, iaitu Virtual Credit Card ataupun kad kredit maya yang hadir dengan fungsi seperti nombor kad dinamik yang sentiasa berubah untuk setiap transaksi berbeza.
Pengguna bukan sahaja dapat melihat dan mengawasi transaksi yang berlaku melalui aplikasi, tetapi dengan pelbagai isu yang dihadapi pelbagai bank sekarang dengan ketirisan data yang sedang berlaku, kehadiran sebuah kad kredit dengan ciri nombor dinamik ini mengurangkan risiko kad kredit anda digodam dan diambil-alih.
Alliance Bank mula membangunkan kad kredit maya ini sejak 2018 lagi, dan telah bekerjasama dengan Red Hat untuk membangunkan infrastruktur kad tersebut dari segi ciri-ciri seperti penjanaan nombor kad dinamik, penskalaan penggunaan teknologi awanan dan juga pelbagai cara bagaimana Alliance Bank mendapatkan pelanggan baru yang beminat untuk menggunakan konsep kad kredit baru ini.
Pendaftaran untuk kad kredit maya ini juga dilakukan secara atas talian melalui aplikasi, dan Alliance Bank mengatakan bahawa pendaftar masih melalui proses yang sama, tetapi semuanya diautomasi dan tidak memerlukan interaksi dengan pihak bank secara fizikal.
Red Hat dilihat membantu Alliance Bank membangunkan teknologi kad kredit maya ini dengan platform pembangunan teknologi sumber terbuka mereka, yang dilihat membantu dalam segi memastikan sistem keselamatan mereka sentiasa dikemaskini, dan diuji untuk memastikan bahawa data pelanggan sentiasa selamat.
Alliance Bank mengatakan bahawa mereka mempunyai pelan untuk mendigitalkan perbankan yang lain seperti pinjaman kewangan, simpanan dan sebagainya, tetapi buat masa ini, ia masih lagi memerlukan sentuhan manusia yang cukup penting sekali.
Buat masa ini, para pelanggan kad kredit sedia ada Alliance Bank boleh memindahkan akaun mereka ke akaun kad kredit maya dengan mudah sekali. Di masa akan datang juga, mereka akan memperkenalkan langganan kad kredit dengan pelan yang berbeza melalui sistem kad kredit maya ini.