Carian
Razer Cobra Pro Kini Rasmi Pada Harga Bermula RM659
June 30, 2023 Fahim Zahar

Razer Basilisk V3 Pro adalah antara tetikus gaming Razer yang padat dengan ciri dan fungsi menarik seperti menyokong kadar respons 4000Hz dengan sela masa 0.25ms, pengecasan nirwayar, butang yang boleh diprogramkan serta ciri RGB Razer Chroma. Semalam Razer Cobra Pro pula telah dilancarkan di Malaysia sebagai alternatif yang lebih mampu milik.

Razer Cobra Pro hadir dengan 10 butang terbina (7x di atas, 2x di sisi, 1x di bawah) yang boleh diprogramkan, boleh menyimpan lima profil berbeza, menggunakan sensor optikal Focus Pro 30K yang sama dengan Basilisk V3 Prodan suis optikal tetikus generasi ketiga yang bertahan sehingga 90 juta kali klik.

Terdapat 11 zon warna Razer Chroma dengan sokongan Smart Dimming yang boleh memalapkan RGB secara automatik untuk bateri yang bertahan lebih lama. Sambungan HyperSpeed dan kadar respons 4000Hz dengan sambungan kepada Razer Mouse Dock Pro atau Razer HyperPolling Wireless Dongle.

Razer Cobra Pro direka dengan rekaan simetri yang menyasarkan pengguna tangan kanan. Tetikus juga cukup ringan iaitu 77g. Ketahanan bateri didakwa bertahan sehingga 100 jam dengan HyperSpeed atau 170 jam dengan Bluetooth. Untuk pengecasan nirwayar Cobra Pro menyokong Razer Wireless Charging Puck yang dijual berasingan.

Razer turut melancarkan Cobra versi lebih mampu milik dan ringan tetapi jenis berwayar. Ia direka dengan berat 58g, mempunyai hanya 8 butang yang boleh diprogramkan, menyokong hanya 1 profil, sensor optikal pula hanya sehingga 8500 DPI dan wayar Speedflex terbina. Zon warna RGB Razer Chroma juga terhad kepada satu bahagian sahaja. Dukacita dimaklumkan model ini tidak dijual di Malaysia.

Berikut adalah harga Cobra Pro di Malaysia;

  • Razer Cobra Pro – RM659
  • Razer Cobra Pro + Wireless Charging Puck – RM714.24
  • Razer Cobra Pro + HyperPolling Wireless Dongle – RM735.28
  • Razer Cobra Pro + Mouse Dock Pro – RM873.80
Komen