Fail APK Threads Pula Tertiris – Pesaing Twitter Oleh Meta Semakin Hampir
Fahim Zahar
Threads adalah jawapan Meta kepada Twitter. Aplikasi ini dijangka akan dilancarkan pada bulan ini dan beberapa hari lepas lebih butiran telah diperlihatkan kerana penyenaraian Threads muncul di Play Store untuk seketika. Baru-baru ini fail APK aplikasi ini pula tertiris.

Saya cuba memasang aplikasi ini pada peranti Android 13 dan menemui pengguna kelak boleh terus log masuk dengan akaun Instagram jika Instagram telah sedia dipasang dan aktif. Selain itu pilihan menukar akaun juga diberikan yang mencadangkan satu aplikasi boleh menggunakan banyak akaun.

Threads juga masih tidak boleh digunakan kerana apabila saya log masuk dengan akaun Instagram, sistem tidak membenarkannya dan meminta saya menggunakan akaun lain yang telah diluluskan. Menurut Alessandro Paluzzi yang meniriskan informasi mengenai Threads, aplikasi ini mungkin hanya boleh diakses oleh mereka yang dijemput terlebih dahulu.

Di Play Store aplikasi ini dilihat disenaraikan sebagai aplikasi di bawah Instagram. Ia dibangunkan sebagai tempat komuniti berbincang, pengguna boleh mengikuti antara satu sama lain, terus berhubung dengan pencipta kandungan kegemaran atau juga membina profil media sosial sendiri. Sama-sama kita nantikan pelancaran Threads tidak lama lagi.
[sumber] Alessandro Paluzzi [/sumber]