RedMagic Bakal Hadir Dengan Tablet Gaming Tersendiri
Fahim Zahar
RedMagic 8s adalah telefon pintar gaming baharu yang akan dilancarkan oleh Nubia tidak lama lagi. Peranti ini disahkan akan menjadi antara yang terawal menggunakan memori mencapai 24GB RAM. Peranti ini akan dilancarkan pada 5 Julai nanti dan RedMagic baru sahaja mengacah yang mereka turut akan melancarkan tablet gaming tersendiri.
Di Weibo, imej yang telah dikongsikan memperlihatkan rekaan tablet dengan bezel nipis dan sekata seakan iPad Air. Bateri dikatakan berkapasiti 10000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 80W.

Selain itu skrin turut disahkan bersaiz 12.1″ 2.5K 16:10 keluaran BOE, menyokong kadar segar semula 144Hz, dijana Snapdragon 8+ Gen 1, hadir dengan mod gaming tersendiri dan menjanjikan Genshin Impact boleh kekal dimainkan pada kadar bingkai 59.8.
Besar kemungkinan tablet RedMagic ini adalah penjenamaan semula ZTE AxonPad 5G yang dilancarkan dua bulan lalu. Tidak pasti jika RedMagic Malaysia akan membawa masuk tablet ini ke sini atau terhad di China sahaja. Sama-sama kita nantikan.
[sumber] Weibo – RedMagic [/sumber]