Apple Vision Pro adalah set kepala realiti gabungan yang paling canggih pernah kami lihat. Ia hanya akan dilancarkan pada tahun 2024 dengan harga mencapai RM16000. Apple memanggil set kepala ini sebagai peranti pengkomputeran spatial yang pertama. Ia seakan iPad dan iPhone yang digabungkan dan turut boleh memaparkan skrin MacBook.
Vision Pro menjalankan sistem operasi visionOS dan jika anda rasakan harga set kepala ini terlalu mahal, “klon” visionOS berjaya dibangunkan untuk diuji pada Meta Quest Pro.
Antaramuka visionOS klon ini dibangunkan dengan perkhidmatan Nova. Melaluinya pengguna boleh mengawal dengan mata kerana Quest Pro mempunyai sensor penjejakan mata dan turut boleh menggunakan kawalan memicit. Walaupun tidak selancar apa yang diperlihatkan pada Vision Pro, sekurang-kurangnya mereka yang memiliki Quest Pro boleh membayangkan bagaimana set kepala jenama buah ini berfungsi.
Ia hanya satu antaramuka kosong yang tidak mempunyai aplikasi berfungsi. Mereka yang ingin mencuba Nova menawarkannya secara percuma. Fail APK telah pun disediakan di laman GitHub dan pengguna boleh memasangnya ke Quest Pro untuk diuji.