Menggunakan cip rekaan sendiri ialah langkah yang diambil oleh Apple, Samsung, dan Huawei bagi menjimatkan kos serta membolehkan keperluan peranti sendiri diberikan keutamaan. Google telah menggunakan cip Tensor pada peranti Pixel sejak dua tahun lalu tetapi ia dihasilkan dengan bantuan Samsung.
Laporan terkini daripada The Information mengatakan cip rekaan Google sepenuhnya hanya akan dikeluarkan pada tahun 2025. Ia akan dikilangkan oleh TSMC dengan ini bermakna tiada langsung pembabitan Samsung.
Cip yang menggunakan kod nama Redondo sebelum ini, akan hanya digunakan sebagai ujian untuk menghasilkan cip seterusnya dengan kod nama Laguna. Laguna apabila dilancarkan kelak besar kemungkinan akan menggunakan nama Tensor G5.
Tidak seperti cip Qualcomm, MediaTek dan Apple cip Tensor memberikan tumpuan kepada kecerdasan buatan. Oleh itu apabila ujian penanda aras dilakukan prestasinya adalah dua tahun ke belakang. Dengan Tensor G5 mungkin akhirnya Pixel dengan cip mercu sebenar dapat ditawarkan.