Carian
Pandang Pertama Nothing Phone (2) – Percubaan Kedua Lebih Berkuasa
July 11, 2023 Effi Saharudin

Nothing Phone (1) dilancarkan tahun lalu dan kerana sistem lampu pada panel belakangnya yang unik dinobatkan sebagai telefon pintar kelas pertengahan premium terbaik oleh kami di Amanz. Dalam pasaran yang dipenuhi peranti pelanduk dua serupa, keberanian Nothing menawarkan peranti yang unik harus dipuji. Nothing Phone (2) telah dilancarkan hari ini dan membawakan persoalan apakah yang baharu? Adakah siri lampu Glyph tahun lalu masih sekadar gimik?

SPESIFIKASI

Nothing Phone (2)
Skrin6.7″ OLED LTPO,
FHD+, 120Hz, HDR10+
PemprosesSnapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
Cip1 X 3.0 GHz Cortex X2
3 X 2.5 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex A510
Cip GrafikAdreno 730
RAM8/12GB LPDDR5
Muatan Dalaman128/256/512 GB UFS 3.1
Kamera Utama50MP f/1.88, OIS (Sudut Lebar)
50MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
4K 60p
Kamera Swafoto32 Megapixel f/2.45
Bateri4700 mAh
Pengecasan berwayar 45W
Pengecasan nirwayar 15W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIP54
Sistem ImbasanPengimbas jari bawah skrin optikal
Harga JualanRM 2789* (8/128GB)
RM 3255* (12/256GB)
RM 3721* (12/512GB)

*= Ditukar daripada mata wang asing

SKRIN

Skrin 6.7″ OLED menyokong kadar segar semula 120Hz LTPO. Ini merupakan peningkatan berbanding skrin Phone (1) yang hanya menyokong kadar sedar semula 60-120Hz secara dinamik. Panel tahun ini masih mempunyai bezel sekata pada keempat-empat sudut tetapi adalah agak tebal jika dibandingkan dengan bezel Nord 3 5G yang baru sahaja diulas.

Ia mengekalkan rekaan panel rata cuma tahun ini lubang kamera swafoto diubah ke bahagian tengah dan bukan lagi pada bucu atas sebelah kiri yang membuatkan skrin kelihatan lebih simetri. Skrin berfungsi dengan cukup lancar dan nampak pantas dengan animasi tidak sekalipun nampak tersekat-sekat.

Panel menyokong paparan HDR10+ tetapi semasa peranti ini diterima oleh makmal Amanz (sekitar seminggu lalu) masih tiada sokongan HDR pada Netflix tetapi kami difahamkan ia akan diberikan di kemudian hari. Pada waktu artikel ini ditulis, sokongan HDR hanya dapat dilihat pada aplikasi YouTube dan Prime Video.

Terdapat sebuah pengimbas cap jari dari jenis optikal terbina di bawah skrin. Alangkah baiknya jika pengimbas ultrasonik yang lebih pantas dan konsisten digunakan. Lokasinya pengimbas adalah terlalu ke bawah pada pendapat kami jika dibandingkan dengan yang digunakan pada peranti Samsung, Vivo dan Xiaomi. Oleh itu jari perlu berakrobatik sedikit apabila ingin diimbas sebelah tangan.

Pengimbas cap jari ini pantas dan konsisten mengesan jari asalkan ianya tidak basah ataupun kotor. Terdapat sokongan imbasan wajah jika itu yang ingin anda gunakan tetapi ia tidak beroperasi dengan begitu konsisten dalam bilik yang gelap.

REKAAN

Rekaan tubuh sama seperti Phone (1) iaitu sisi berkotak yang tegap, tidak begitu tebal dan sedap di dalam tangan. Perubahan besar yang dilakukan ialah panel kaca lutsinar di belakang kini melengkung. Ini membuatkan peranti lebih selesa di dalam tangan jika dibandingkan dengan OnePus Nord 3. Kami tahu ada sebilangan besar pengguna yang masih tidak menggemari rekaan berkotak maka dengan panel yang lebih dibulatkan ini peranti tidak terasa terlalu besar atau tidak begitu tajam.

Terdapat butang kuasa pada sisi kanan dan dua butang laras audio pada sisi kiri. Di bawah terdapat talam untuk dwi-SIM nano, port pengecas USB-C dan salah satu daripada dua speaker stereo. Tidak seperti ura-ura sebelum ini, Phone (2) tidak mempunyai butang lungsur untuk membisukan notifikasi seperti pada peranti OnePlus dan iPhone. Turut tiada ialah pemancar infra merah dan bicu audio 3.5mm.

Panel belakang kaca tadi melindungi sistem lampu Glyph yang kini mempunyai 33 zon lampu berbeza. Rekaan lampu ini juga diubah berbanding pada Phone (1). Ini adalah bagi membolehkan kustomasi kerlipan lampu yang lebih banyak, ciri tambahan untuk notifikasi, dan melihat tahap audio apabila peranti dalam kedudukan terlangkup.

Masih hanya terdapat dua kamera sahaja di belakang dengan 50MP untuk sudut lebar dan 50MP lagi untuk sudut ultra lebar. Sensor pada lensa sudut lebar adalah Sony IMX890 yang digunakan pada OnePlus 11 manakala sensor untuk sudut lebar pula ialah Samsung JN1. Hanya lensa sudut lebar dilengkapi sistem OIS. Saiz bonggol adalah tidak besar membolehkan peranti diletakkan agak rata pada permukaan meja.

Kami harus sentuh mengenai rekaan panel belakang Phone (2) yang nampak seperti sebuah peranti futuristik. Bahagian gegelung pengecasan nirwayar dapat dilihat dengan jelas. Memudahkan pengguna untuk mengecas Phone (2) dan juga menggunakan sistem pengecasan berbalik pada TWS atau jam tangan pintar.

Tidak boleh dinafikan rekaan belakang Phone (2) walaupun banyak berkongsi dengan rekaan Phone (1) masih kelihatan inovatif. Hanya RedMagic 8 Pro Titanium sahaja kami rasa mempunyai rekaan yang hampir sama. Kami cukup sukakan rekaan ini kerana ia tidak membosankan. Sekilas pandang telefon kelihatan seperti peralatan ketenteraan daripada sebuah filem sains fiksyen.

Bateri hanya sebesar 4700 mAh yang agak kecil jika melihat pesaing dalam kelas ini dilengkapi sekurang-kurangnya bateri 5000 mAh. Pengecasan juga tidak begitu pantas sekadar 45W berwayar dan 15W nirwayar. Pengecas juga tidak disertakan dengan pembelian.

Tubuh yang cantik ini mempunyai kemampuan kalis air dan debu IP54. Sayang sekali tidak lebih tinggi tetapi lebih baik daripada tiada langsung. Dengan ini Phone (2) setanding dengan Poco F5 Pro dan OnePlus Nord 3 5G yang juga mempunyai tahap kalis air yang hampir sama.

PENGGUNAAN DAN PERISIAN

Nothing OS 2 adalah berasaskan Android 12 tetapi dengan rekaan tersendiri. Ada keunikan pada reka huruf dan rekaan pelbagai widget yang ditawarkan. Perkara pertama yang disedari ialah ia berbeza daripada antaramuka Android Asli. Secara lalai ia menggunakan mod monokrom yang menarik tetapi harus saya akui membuatkan peranti sedikit sukar digunakan.

Logo pelbagai aplikasi nampak sama tanpa warna. Lihat sahaja tangkapan layar di bawah. Sedikit sukar membezakan Chrome dengan YouTube Music. Selepas lebih sedekad mencari logo Spotify berwarna hijau, apabila menjadi monokrom sukar mencarinya pada skrin peranti.

Berita baiknya ialah ada mod menggunakan warna asal atau menggunakan warna adaptif Android 13. Ini sedikit sebanyak menyelesaikan isu di atas. Satu lagi isu ialah pelbagai tetapan diletakkan di bawah menu “Customisation” yang dilakukan pada peranti Android lain. Sebagai pengguna tegar Android, tindakan Nothing meletakkan pelbagai tetapan memperibadikan peranti di bawah menu ini dan bukannya “Display” seperti pada peranti Android lain menimbulkan sedikit kekeliruan.

Nothing OS kami lihat direka untuk pengguna iOS yang berpindah ke Android dan bukannya untuk pengguna Android yang lain. Selepas dua hari baru kami boleh biasakan diri dengan pelbagai perubahan pada skrin tetapan sistem operasi ini. Terdapat juga pilihan untuk memuat turun pek ikon daripada Play Store untuk memperibadikan lagi “wajah” peranti.

Kekurangan ini terubat kerana Nothing OS 2 adalah sistem operasi yang pantas, lancar dan cantik dipandang. Rekaan Widget Nothing misalnya amatlah retro-futuristik sehingga kami berharap ada pembangun yang boleh memindahkannya ke peranti Android lain.

Aplikasi menghasilkan nada dering sendiri, mesin kiri, perakam suara dan memasang fon telinga Nothing pula nampak sangat kacak. Sebagai peminat estetik cyberpunk kami cukup suka dengan apa yang dilakukan berbanding rekaan asal Android stok.

KAMERA

Berikut ialah beberapa sampel gambar yang diambil menggunakan kamera dalam tempoh pendek kami menggunakannya setakat ini.

DALAM KOTAK

Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.

  • 1x Nothing Phone (2)
  • 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
  • 1x Manual.
  • 1x Pin SIM.

KESIMPULAN

Berdasarkan penggunaan hanya seminggu kami boleh katakan Nothing Phone (2) mempunyai potensi yang baik untuk menjadi peranti mercu mampu milik terbaik 2023. Kekurangan pada Phone (1) telah diselesaikan dan spesifikasi tahun ini tidak mengecewakan. Jika tahun lalu rekaan lutsinar dengan lampu Glyph menjadi perhatian, tahun ini prestasi pemproses, kemampuan kamera dan Nothing OS 2 pula menjadi pertaruhan untuk menarik perhatian orang ramai untuk membelinya.

Kami akan terbitkan ulasan penuh dalam masa beberapa hari sahaja lagi. Di Eropah Nothing Phone (2) dijual pada harga bermula $599 (~RM2789) yang kami rasakan munasabah untuk apa yang ditawarkan. Jangan ubah terus ke Ringgit Malaysia kerana tahun lalu harga jualan adalah lebih murah untuk pasaran tempatan. Ia hanya akan didedahkan pada hari pelancaran rasminya pada 14 Julai nanti.

Pro

  • Peranti dengan rekaan paling menarik perhatian di pasaran.
  • Spesifikasi mercu yang memuaskan.
  • Spesifikasi kamera dengan sensor yang baik.
  • Kalis air IP54
  • Sokongan tiga versi Android dan empat tahun tampalan sekuriti.

Kontra

  • Pengecasan hanya 45W.
  • Tiada lensa zum optikal.
  • Antaramuka Nothing OS 2 mungkin bukan untuk semua.

Komen