Threads Dikatakan Bukan Platform Untuk Berita Dan Politik – Ingin Fokuskan Terhadap Komuniti Dan Perkongsian Positif
Effi Saharudin
Threads memulakan era baharu di Meta sebagai platform perkongsian mesej pendek seakan Twitter. Dalam masa beberapa hari sahaja ia sudah melangkaui 70 juta akaun pengguna dan ini bersamaan sekitar 1/5 daripada jumlah akaun pengguna Twitter. Satu perbezaan yang kami sedari ialah di Threads tumpuan tidak diberikan kepada penyebaran berita. Ia mirip dengan tahun pertama Twitter dimana perkongsian adalah dalam bentuk status kehidupan seharian.

Adam Mosseri yang merupakan ketua bahagian Instagram, dalam perbualan dengan wartawan The Verge telah mengesahkan platform ini tidak akan memberikan tumpuan kepada berita dan kandungan politik. Menurut beliau tumpuan kepada berita dan politik adalah tidak berbaloi kerana ia akan menimbulkan isu integriti, imej negatif dan juga pengawasan daripada pihak berkuasa.
Semua platform yang mempunyai isu di atas perlu mempunyai sistem pemantauan kandungan yang ketat. Seperti yang kita dapat lihat di Malaysia, kandungan berunsur politik 3R kini menjadi bualan hangat dengan KKD memberikan amaran kepada platform media sosial mengawalnya.
Pada waktu yang sama yang menjadikan Twitter unik ialah perbincangan berita terkini dan isu politik. Jika Threads enggan memberikan tumpuan kepada dua topik ini, ia masih belum mampu menjadi alternatif sebenar kepada Twitter.
Walaubagaimanapun, pada masa yang sama, Adam Mosseri menyatakan mereka tidak akan mengurangkan capaian untuk perkongsian berita atau berkaitan politik. Langkah selamat ini mungkin diambil oleh pihak Threads dalam memastikan pengiklan tidak merasakan ia sebagai sebuah platform yang negatif untuk mengetengahkan jenama masing-masing.
[sumber] The Verge [/sumber]