Apple Mac Studio Dan Mac Pro Baharu Juga Boleh Dibeli Di Malaysia Hari Ini – Bermula RM9499
Effi Saharudin
Selain Apple Macbook Air 15″, Mac Studio dan Mac Pro juga mula dijual di Malaysia hari ini. Mac Studio ialah komputer desktop yang cuba berdaya kuasa dengan cip Apple M2 Ultra dan M2 Max. Dengan penggunaan M2 Ultra, Mac Studio mempunyai prestasi sehingga 2x ganda M2 Max. Cip M2 Ultra hadir dengan CPU 24 teras dan GPU 76 teras.

Penawaran memori pula adalah melampau sehingga 192GB RAM dan storan pula sehingga 8TB. Setiap Mac Studio baharu ini juga boleh menyokong sambungan kepada monitor 8K atau sehingga 6 monitor Pro Display XDR yang setiap satunya menyokong resolusi 6K.

Terdapat pelbagai I/O seperti Thunderbolt 4, HDMI, bicu audio 3.5mm, pembaca kad memori SDX, 2x USB-A dan juga LAN 10GB. Kesemua komponen ini dimasukkan ke dalam kerangka yang masih lagi bersaiz sama dengan Mac Studio sebelum ini.

Mac Pro pula hadir dengan cip M2 Ultra terbaru, dan turut menyertakan sokongan PCIe – sekaligus memudahkan penyesuaian mengikut keperluan, seperti kad untuk audio, antaramuka digital dan sebagainya. Dengan cip Apple Silicon ini juga, Apple menyatakan ia beroperasi dengan kuasa lebih tinggi dan pantas berbanding cip Intel sebelum ini.

Melengkapkan Mac Pro juga adalah sambungan tiga port USB-A, dua port HDMI dengan sokongan sehingga resolui 8K pada kadar 240Hz, 2 port 10Gb Ethernet, dan sebuah bicu audio. Ia turut menyertakan sehingga lapan port Thunderbolt 4 bersama.
Harga jualan Mac Studio baharu bermula daripada RM9,499 manakala Mac Pro pula dijual pada harga bermula RM32,999 sebuah.