Apple Vision Pro akan mula dijual tahun hadapan. Sejak diperlihatkan di WWDC pada Jun lalu terdapat pelbagai persoalan tentang bagaimana ia akan dijual memandangkan ia produk generasi pertama. Menurut laporan Bloomberg, proses pembelian Vision Pro adalah amat rumit berbanding membeli sebuah iPhone.
Pertama sekali temu janji perlu dilakukan terlebih dahulu di Apple Store berhampiran. Dalam sesi temu janji ini, imbasan kepala pembeli perlu dilakukan terlebih dahulu bagi memastikan keserasian Vision Pro dengan kepala. Semasa Vision Pro diumumkan, wartawan ada mengatakan mereka perlu menjalani proses ukuran kepala sebelum dibenarkan mengujinya.
Sekiranya laporan ini terbukti benar, proses pembelian Vision Pro tidak boleh dilakukan di atas talian. Antara isu yang dilaporkan oleh mereka yang telah mencuba Vision Pro ialah ia masih agak berat. Selepas digunakan untuk tempoh yang lama, tekanan dapat dirasakan pada bahagian persekitaran mata dan hidung. Bagi memastikan pembeli tidak mengalami ketidakselesaan, imbasan kepala yang tepat ialah penyelesaiannya untuk jangka masa pendek.