WhatsApp Kini Membenarkan Ahli Komuniti Menyembunyikan Nombor Telefon
Amy Maizuraa
Ciri komuniti di WhatsApp telah menyediakan pengguna keupayaan untuk menghubungkan sebilangan kumpulan yang berkaitan di bawah satu bumbung. Ini sekaligus mengurangkan kerumitan dalam pengurusan dan memudahkan ahli komuniti kekal berhubung dalam kumpulan yang penting bagi mereka.

Dalam usaha menjadikannya lebih selamat, WhatsApp kini hadir dengan ciri privasi baharu yang membolehkan ahli komuniti menyembunyikan nombor telefon. Ciri yang dipanggil sebagai Phone Number Privacy ini akan memastikan nombor telefon pengguna sentiasa disembunyikan daripada ahli komuniti lain yang tidak dikenali. Ini termasuklah apabila mereka berinteraksi sama ada menggunakan sebarang mesej mahupun reaksi.
Mengikut kebiasaan senarai nombor ahli komuniti memang sedia disembunyikan, namun apabila pengguna mula berinterasi di sinilah pendedahan nombor telefon berlaku. Hal ini boleh diatasi dengan ciri privasi baharu berkenaan dengan cara menyembunyikan nombor telefon setiap masa menerusi tetapan yang disediakan.

Bagaimanapun perlu diingatkan bahawa ciri ini hanya terhad untuk ahli komuniti yang tidak dikenali. Di mana nombor anda masih boleh dilihat oleh admin komuniti dan kenalan yang sedia menyimpan nombor telefon anda. Perkara lain yang perlu diingatkan juga ialah nombor telefon pentadbir bagaimanapun akan sentiasa boleh dilihat oleh kesemua ahli komuniti.