Selepas setahun Nothing Phone (1) dilancarkan malam ini peranti kedua dilancarkan secara rasmi dengan spesifikasi yang lebih tinggi. Nothing Phone (2) sekali lagi mengekalkan rekaan ikonik lutsinar berlampu di belakang yang masih belum menjadi ikutan pengeluar lain.

Phone (2) hadir dengan skrin lebih besar berbanding Phone (1) iaitu 6.7” OLED LTPO FHD+ dengan sokongan HDR10+ dan pengimbas cap jari bawah skrin dari jenis optikal. Peranti ini dijana dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1 yang dipadankan dengan memori sehingga 12GB RAM, storan sehingga 512GB dan bateri 4700 mAh yang menyokong pengecasan berwayar 45W serta nirwayar 15W.

Kamera peranti kekal dengan konfigurasi dwi-kamera, kini dengan sensor 50MP Sony IMX890 sudut lebar dengan OIS dan 50MP Samsung JN1 sudut ultra lebar. Kamera swafoto pula adalah 32MP Sony IMX615. Hanya lensa sudut lebar hadir dengan sistem penstabilan OIS.

Phone (2) menjalankan Nothing OS 2.0 berasaskan Android 13 dengan sokongan 3 tahun kemas kini Android dan 4 tahun tampalan sekuriti. Sistem lampu Glyph turut dikemaskini dengan sokongan 33 zon pencahayaan, bergerak mengikut pemasa, menyokong mod lampu suluh dan juga mencipta nada dering sendiri menerusi Glyph Composer.

Rekaan peranti walaupun kelihatan sama, panel belakang sebenarnya adalah sedikit melengkung dan tubuh peranti sedikit lebih tebal. Bahan binaan adalah aluminium dan plastik yang dikitar semula. Peranti ini juga melepasi piawaian kalis air dan debu IP54, berbanding IP53 pada Phone (1). Untuk audio pula peranti ini dilengkapi dengan speaker stereo tetapi tanpa sokongan Dolby Atmos dan tiada bicu audio 3.5mm.

Nothing Phone (2) dilihat ditawarkan dengan dua pilihan warna iaitu putih atau kelabu gelap. Harga jualan pula adalah bermula $599 iaitu sekitar RM2792 untuk 8/128 GB. Harga jualan di Malaysia hanya akan diumumkan pada hari pelancarannya 14 Julai depan.
