Carian
Threads Akan Menyokong Butang Suntingan, Tagar Dan Multi-Akaun
July 13, 2023 Fahim Zahar

Sejak Threads dilancarkan sebagai klon Twitter, angka penggunaan Twitter menurun dengan mendadak. Jumlah pengguna juga sudah mencapai lebih 100 juta dalam masa lima hari. Tidak dinafikan yang Threads bukanlah platform media sosial yang sempurna tetapi dengan pelbagai masalah berlaku pada Twitter, ramai beralih kepada Threads.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Threads kelak akan menyokong paparan garis masa untuk hanya akaun yang diikuti. Malam tadi, Adam Mosseri selaku ketua Instagram memaklumkan yang pelbagai lagi ciri dan fungsi akan dilancarkan pada platform sosial baharu ini.

Antaranya adalah kebolehan menyunting setiap perkongsian, sokongan multi-akaun, carian, tanda tagar (hashtag) dan juga versi web. Mosseri walau bagaimanapun tidak mendedahkan bila setiap ciri ini akan diintegrasikan. Agak menarik untuk melihat Threads baharu ini amat serius menjadi pesaing kepada Twitter.

Harapnya Threads baharu ini tidak akan menjadi Threads lama yang sebelum ini cuba menjadi pesaing Snapchat.

Komen