Ia seakan babak dalam filem sains fiksyen distopia Hollywood imej 3D seseorang individu telah disalah gunakan tanpa kebenaran empunya tubuh. Tetapi realitinya studio dan penerbit di Hollywood ingin menggunakan imej pelakon tambahan yang telah di imbas selama-lamanya tanpa sebarang bayaran.
Perbincangan antara Persatuan Pelakon Skrin – Persekutuan Artis Televisyen dan Radio Amerika (SAG-AFTRA) dengan Perikatan Penerbit Filem dan Televisyen (AMPTP) gagal mendapatkan kata sepakat minggu ini. Akibatnya ahli SAG-AFTRA akan melakukan mogok bersama dengan ahli Kesatuan Penulis Amerika (WGA) yang telah melakukannya sejak 4 Mei lalu.

Ia merupakan kali pertama sejak 1960 ahli kedua-dua kesatuan ini mogok serentak. Disebabkan oleh mogok ini kesemua produksi filem dan TV terhenti. Pelakon pula tidak akan melakukan sebarang promosi untuk filem yang telah siap sebagai tanda solidariti.
Dalam kedua-dua situasi penggunaan kecerdasan buatan (AI) oleh AMPTP di masa hadapan menjadi isu pokok yang tidak dapat diselesaikan. Pelakon tidak mahu imej peribadi mereka digunakan tanpa bayaran dan penulis pula enggan karya mereka digunakan AI untuk menghasilkan skrip juga tanpa bayaran. Keinginan AMPTP dilihat sebagai percubaan menghapuskan sumber pencarian pelakon tambahan serta penulis ang baru ingin bertapak.
Apa yang berlaku di Hollywood kerap menjadi templat di negara lain. Di Malaysia setakat ini masih tiada gerakan untuk melakukan perkara yang sama kerana kesatuan yang tidak berani menentang penerbit serta studio.