Rusia Haramkan Penjawat Awam Guna Peranti Apple Untuk Elak Diintip Amerika
Effi Saharudin
Kita sering mendengar cerita peranti dan perisian keluaran China diharamkan kerana didakwa mempunyai pintu belakang membolehkan intipan dilakukan oleh Beijing. DJI, Huawei dan TikTok adalah tiga yang menjadi mangsa di Amerika Syarikat. Di Rusia sebaliknya berlaku dengan penjawat awam diharamkan daripada menggunakan peranti Apple untuk kegunaan kerja.

Agensi perisikan Rusia, FSB mendakwa Apple membantu Amerika mengintip peranti milik penjawat awam Rusia. Penggunaan iPhone dan iPad akan diharamkan bermula hari ini. Peranti ini walau bagaimanapun masih boleh digunakan bagi tujuan peribadi.
FSB pernah menuduh Apple meletakkan pintu belakang untuk digodam pada awal Jun lalu tetapi telahpun dinafikan oleh Apple. Dengan konflik Ukraine dan Rusia masih belum berakhir, halangan teknologi ini akan berterusan. Beberapa pengeluar utama seperti Apple dan Samsung telahpun menarik diri daripada pasaran Rusia selepas sekatan ekonomi dikenakan ke atas negara tersebut sejak tahun lalu. Tetapi peranti masih dijual menerusi pengimport tidak rasmi.
[sumber] FInancial Times [/sumber]