Google Dilaporkan Membangunkan AI Menulis Berita Yang Ditawarkan Kepada Beberapa Media
Effi Saharudin
Akhbar The New York Times melaporkan pagi ini Google sedang membangunkan kecerdasan buatan (AI) yang boleh menulis berita. Ia telah ditawarkan kepada beberapa syarikat media seperti Washington Post, News Corp dan NYT. AI ini dipasarkan sebagai alat bantuan kepada penulis untuk menghasilkan kandungan dan bukan pengganti kepada wartawan manusia.

Kecerdasan ini menggunakan nama kod Genesis dan telahpun diperlihatkan kepada beberapa eksekutif bagi memperlihatkan kemampuannya. Dalam kenyataan yang telah diberikan kepada The Verge, wakil Google mengatakan Genesis boleh digunakan untuk membantu wartawan menulis tajuk dan bahan berita dengan gaya yang berbeza daripada yang sering dilakukan mereka. Google menegaskan ia bukan pengganti kepada wartawan manusia dan sekadar alat yang boleh membantu memudahkan tugasan.
AI yang membantu penulisan sudahpun digunakan di Buzzfeed. Malahan di WordPress pemalam AI yang boleh memberikan idea telahpun diberikan beberapa bulan yang lalu. Masa depan penulis manusia nampak agak kelam. Ia menjadi sebab Persatuan Penulis Amerika (WGA) di Hollywood kini mogok kerana enggan skrip yang dihasilkan mereka digunakan untuk melatih AI ang mengancam sumber pencarian.
[sumber] The New York Times [/sumber]