Sejak beberapa hari lepas, terdapat berita palsu tersebar di media sosial, menyatakan Tesla mencatatkan lebih 10,000 tempahan untuk Tesla Model Y dalam masa hanya empat hari sejak tempahan dibuka. Namun, perkara berkenaan adalah berita palsu, dan tidak benar.
Perkara ini disahkan sendiri oleh pihak Tesla Malaysia kepada kami di Amanz. Tesla turut menekankan mereka tidak akan mengeluarkan sebarang nombor tempahan kepada umum.

Tesla Model Y telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia hari ini, sekaligus turut menyaksikan penyertaan Tesla ke pasaran Malaysia secara rasminya. Tesla Model Y ditawarkan pada harga RM199,000 di Malaysia dan dijangka tersedia pada awal 2024. Pengguna tempatan yang berminat boleh melakukan tempahan pada laman rasmi Tesla dengan bayaran tempahan RM1000.