Tendon Kanggaru Akan Digunakan Bagi Merawat Kecederaan ACL Pada Manusia Tahun Depan
Effi Saharudin
Xenotransplan ialah sains bidang perubatan yang masih lagi baharu. Jantung khizir telah berjaya dipindahkan pada penerima manusia tahun lalu sebelum penerima meninggal dunia akibat jangkitan virus. Saintis dari Macquarie University di Australia kini mengatakan tendon kanggaru boleh digunakan sebagai ganti tendon manusia untuk merawat kecederaan lutut seperti ACL.

Tendon kanggaru adalah lebih tahan lasak berbanding manusia kerana ia memberikan kemampuan melompat sehingga tiga meter. Dalam pembedahan ACL sekarang misalnya, tendon yang didermakan adalah dalam jumlah yang terhad. Sekitar 25% pesakit yang menjalani pembedahan menghadapi masalah tendon yang digantikan menyebabkan lutut lebih lemah atau lebih serius gagal yang menyebabkan pembedahan kedua dilakukan.
Kanggaru dibunuh di Australia bagi pengawalan populasi dengan bangkainya diproses menjadi makanan haiwan. Dengan jumlah kanggaru yang banyak, tendon boleh diselamatkan dengan ia digunakan pada manusia yang memerlukan.
Ujian klinikal pertama dirancang pada tahun 2024 dan sekiranya berjaya akan memulakan era baharu perubatan xenotransplan. Mungkin suatu hari nanti manusia dengan tendon kanggaru akan menjadi normal sama seperti manusia dengan ginjal, jantung dan paru-paru khinzir.
[sumber] New Atlas [/sumber]