Carian
Pandang Pertama Samsung Galaxy Z Fold5 – Iterasi Yang Dinanti
July 26, 2023 Effi Saharudin

Samsung Galaxy Z Fold5 dilancarkan hari ini lebih awal berbanding model tahun lalu. Apakah penambahbaikan yang dilakukan oleh Samsung pada model ke lima peranti yang kini semakin dicabar oleh pesaing mereka Xiaomi, Oppo, Huawei dan Vivo?

Kami sempat menggunakan Z Fold5 selama sekitar sejam minggu lalu dan ini ialah pendapat ikhlas kami mengenai perubahan yang dilakukan oleh Samsung pada siri peranti yang kini sudah berusia setengah dekad.

Spesifikasi

Samsung Galaxy Z Fold5
SkrinLuar – 6.2″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz
Dalam – 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz, HDR10+
PemprosesQualcomm Snapdragon 8 Gen2 (4nm)
Cip1 X 3.36 GHz Cortex-X32
2 X 2.8 GHz Cortex-A715
2 X 2.75 GHz Cortex-A710
3 X 2.00 GHz Cortex-A510
Cip GrafikAdreno 740
RAM12GB LPDDR5X
8GB RAM Plus
Muatan Dalaman256/512/1000 GB UFS 4.0
Kamera Utama50mp f/1.8 OIS, (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
10MP, OIS, f/2.4 3x Zum Optikal (Telefoto)
Kamera Swafoto10MP f/2.2 (Luar)
4MP f/1.8 UDC (Dalam)
Bateri4400 mAh
Pengecasan berwayar 25W
Pengecasan nirwayar 11W
Pengecasan berbalik 4.5W
SIM/Telefoni2 Nano, 1 eSIM
5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIPX8
Sistem ImbasanPengimbas cap jari sisi
Harga JualanRM 6,799 (12/256GB)
RM 7,299 (12/512GB)
RM 8,299 (12/1TB)

SKRIN

Sekilas pandang Samsung Galaxy Z Fold5 tidak membawakan perubahan drastik pada rekaannya. Tetapi model tahun ini akhirnya dilengkapi mekanisme engsel yang membenarkan skrin dalaman 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz dilipat sepenuhnya. Skrin masih lagi mempunyai kesan lipatan dan sistem kamera bawah skrin. Seperti tahun lalu, S Pen for Fold disokong bagi mereka yang memerlukan stylus.

Tiada lagi ruang kosong yang selama ini dapat dilihat pada peranti Z Fold. Ini dilakukan menerusi penggunaan sistem lipatan titisan air yang dipopularkan pengeluar China tahun lalu. Samsung berkata selain membolehkan skrin dilipat lebih rapat, ia juga mengurangkan komponen yang digunakan pada engsel.

Kami sedari perasaan membuka skrin sekarang berbeza kerana seperti ada dua tahap. Pembukaan sehingga sekitar 170 darjah adalah lancar sebelum terasa rintangan. Beri sedikit lagi tekanan barulah skrin boleh dibuka sepenuhnya ke 180 darjah. Sebagai pengguna siri Z Fold sejak generasi pertama lagi, mekanisme baharu ini terasa bezanya. Ini pastinya kerana engsel baharu yang digunakan.

Skrin luar pula masih lagi 6.2″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz dengan nisbah skrin yang sama seperti Fold4. Ura-ura skrin lebih lebar di luar yang didengari sejak beberapa bulan lalu tidak menjadi kenyataan. Oleh sebab itu menaip pada skrin luar tidak begitu selesa jika kami bandingkan dengan pengalaman menggunakan Vivo X Fold2, Oppo Find N2 dan Honor Magic Vs.

S PEN

Samsung Galaxy Z Fold5 menyokong S Pen tetapi hanya pada skrin dalam sahaja. Tiada tempat simpanan terbina pada Z Fold5 seperti ura-ura yang didengari sebelum ini. S Pen for Fold dan S Pen Pro baharu akan dilancarkan tahun ini dengan tahap kepekaan mengesan sendeng yang lebih tinggi.

Kerangka Z Fold5 dengan S Pen terbina

Terdapat sebuah kerangka baharu yang menawarkan S Pen yang 48% lebih nipis berbanding S Pen for Fold biasa. Apabila disimpan ia tidak menghasilkan bonggol yang besar seperti pada kerangka tahun lalu. Walaupun nipis S Pen yang pipih ini tidak mempunyai sokongan bluetooth seperti S Pen pada S23 Ultra. Maka ciri kawalan kamera dan alat kawalan jauh tidak disokong.

REKAAN

Tubuh peranti semakin berkotak menyamai rekaan yang turut ditemukan pada Z Flip5. Tahun ini ialah tahun “kotak” untuk Samsung. Kami secara peribadi lebih menyukai rekaan berkotak kerana membuatkan perantis terasa lebih tegap di dalam tangan. Bingkai Z Fold5 masih lagi diperbuat daripada bahan Armor Alumimium yang tahan lasak dan tahan bengkok.

kiri – Samsung Galaxy Z Fold5 kiri, kanan – Z Fold4

Pada sisi kanan terdapat laras audio, butang kuasa merangkap pengimbas cap jari. Sudah masuk generasi ke-lima dan Samsung masih tidak menawarkan pengimbas cap jari terbina bawah skrin. Sedikit mengecewakan kerana Vivo X Fold2 yang kami ulas beberapa bulan lalu boleh menawarkannya pada skrin luar dan skrin dalam.

Perbezaan saiz Z Fold5 dan Z Fold4

Peranti kini bukan sahaja lebih 2mm lebih nipis dengan rekaan baharu ini tetapi juga terasa lebih ringan dengan berat hanya 253 gram berbanding 263 gram pada Z Fold4 dan 234 gram pada Galaxy S23 Ultra. Ini sedikit sebanyak akan memuaskan hati mereka yang merasakan peranti skrin boleh-lipat terlalu berat untuk ia menjadi peranti kegunaan harian yang praktikal.

Pilihan warna Phantom Black, Icy Blue dan Cream

Panel belakang pula diperbuat daripada kaca Gorilla Glass Victus 2 dengan kemasan tidak berkilat. Ini membolehkan sistem pengecasan nirwayar digunakan serta sistem pengecasan berbalik. Kemasan yang tidak berkilat ini tidak memerangkap kotoran dengan mudah serta ditawarkan dalam warna Phantom Black, Icy Blue dan Cream.

Tiga kamera utama di belakang terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP OIS, 12MP ultra sudut lebar dan 10MP telefoto sehingga 3X optikal. Pada skrin dalam terdapat kamera swafoto 4MP bawah skrin dan di skrin luar pula kamera swafoto 10MP dalam lubang skrin. Kesemua kamera utama di belakang dimasukkan ke dalam bonggol yang sama seperti Z Fold4.

Ini kerana bagi mereka yang mungkin arif dengan spesifikasi Z Fold4, Z Fold5 mengitar semula semua kamera daripada Fold4 tahun lalu. Tiada sebarang perubahan perkakasan dilakukan dengan Samsung mengatakan penambahbaikan semuanya dilakukan pada perisian kamera sahaja tahun ini.

Terdapat lubang speaker di atas dan bawah “pintu kiri” Fold5 sekali lagi sama sahaja dengan yang ada pada Z Fold4. Speaker stereo menembak ke sisi membuatkan audio kedengaran seimbang dibantu oleh sistem audio Dolby Atmos yang boleh ditala mengikut media yang dimainkan.

Pada pintu kiri ini juga diletakkan talam untuk dwi-SIM nano yang tidak menyokong kad mikro SD. Z Fold5 turut boleh menyokong satu eSIM namun jika diaktifkan hanya satu SIM fizikal boleh diaktifkan.Masih tiada bicu audio 3.5mm dan juga tiada pemancar infra merah kerana ia adalah dua ciri yang sudah semakin pupus pada peranti mercu.

Kesemua komponen ini dimasukkan ke dalam tubuh yang melepasi piawaian IPX8. Ia boleh ditenggelamkan ke dalam air tetapi tidak mempunyai ketahanan dimasuki debu. Maka berhati-hatilah kerana ia tidak sama seperti IP68 yang kerap didengari.

PENGGUNAAN Dan PERISIAN

Sistem operasi One UI 5.1.1 berasaskan Android 13 digunakan. Ini ialah versi yang sama digunakan pada Z Fold4. Tiada sebarang ciri baharu eksklusif diperkenalkan pada model tahun ini. Dengan cip pemproses Snapdragon 8 Gen 2 dipadankan dengan memori 12GB RAM LPDDR5X dan storan sehingga 1TB UFS 4.0 dapat dirasakan Z Fold5 berfungsi dengan lebih lancar.

Kami sedari kepantasan ini apabila menonton YouTube pada skrin luar kemudian berpindah ke dalam dan keluar semula. Video bermain secara terus tanpa terhenti walaupun seketika. Pada Z Fold4 video akan terhenti sekitar separuh saat ketika skrin yang ditonton diubah.

Pelancaran aplikasi juga terasa lebih pantas sama seperti pengalaman menggunakan S23 Ultra yang kami puji awal tahun ini. Penggunaan memori dan storan yang lebih pantas membuatkan kepantasan sistem operasi dirasakan tahun ini. Bercakap mengenai RAM, ciri RAM Plus boleh menambah memori sehingga 8GB secara maya. Ia boleh dimatikan jika pemilik tidak mahu sebahagian storan diambil untuk menambah RAM.

Sejak dilancarkan tahun lalu, ciri Taskbar telah ditambah baik dan ini dapat dilihat pada Z Fold5. Taskbar boleh disorokkan dengan lebih mudah dan aplikasi boleh ditarik terus dari Taskbar terus ke skrin bagi melancarkan ciri Multi Window. Sehingga tiga aplikasi boleh dilancarkan dalam Multi Window secara serentak jika diperlukan.

KESIMPULAN

Perubahan paling besar tahun ini hanyalah terletak pada engsel yang membolehkan peranti dilipat rapat sepenuhnya dengan tubuh yang semakin berkotak. Saiz skrin, nisbah skrin, kamera-kamera, bateri dan ciri pada perisian adalah sama dengan Z Fold4. Yang diubah adalah pemproses Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy yang lebih berkuasa, RAM dan juga storan lebih pantas.

Memang dapat dirasakan peranti beroperasi lebih pantas tetapi adalah ini memadai untuk menarik minat orang ramai? Ia akan menjadi sukar kerana tahu ini Honor dan Vivo menawarkan peranti dengan ciri yang kami rasakan lebih menarik pada harga lebih kompetitif.

Samsung bernasib baik kerana Vivo X Fold2 tidak ditawarkan ke pasaran global kerana ia juga menggunakan Snapdragon 8 Gen 2 tetapi dengan skrin yang lebih ergonomik, sistem kamera lebih terkini, bateri lebih besar, pengecasan lebih pantas dan pengimbas cap jari di bawah kedua-dua skrin.

Kelebihan Samsung pada waktu ini masih lagi dari segi pasaran yang lebih besar Z Fold5 dilancarkan dan sokongan perisian terbaik di kalangan pengeluar Android. Persaingan Samsung tahun ini lebih sengit dan kami berharap ia boleh memaksa Samsung menawarkan evolusi pada rekaan peranti skrin boleh-lipat mereka tahun depan.

Di Malaysia Samsung Galaxy Z Fold5 dilancarkan pada harga bermula RM6799 sebuah untuk model 256GB dengan ketiga-tiga model mengekalkan harga yang sama dengan Z Fold4 tahun lalu.

Pro

  • Rekaan engsel lebih nipis dan skrin boleh ditutup rapat sepenuhnya.
  • Spesifikasi tinggi kelas mercu yang menjadikan penggunaan terasa lancar.
  • Masih peranti skrin boleh-lipat dengan perisian terbaik.
  • Kalis air IPX8
  • Sokongan empat versi Android dan lima tahun tampalan sekuriti.

Kontra

  • Mengekalkan majoriti komponen Z Fold4.
  • Pengecasan masih sekadar 25W.
  • Skrin dalam masih mempunyai kedut lipatan.

Khusus buat pembaca Amanz, gunakan kod promosi AZGALAXY sewaktu membeli Galaxy Z Fold5 di laman rasmi Samsung Malaysia bagi menerima diskaun RM400, terhad sementara stok masih ada. 

  • Beli:
  • Beli:
Komen