Cari @ Amanz

Samsung Galaxy Z Flip5 dan Z Fold5 dilancarkan serentak hari ini di Korea Selatan. Kami diberikan akses seminggu lebih awal untuk mencuba Z Flip5 oleh pihak Samsung Malaysia. Berdasarkan pengalaman penggunaan sekitar satu jam, ini pendapat kami mengenai Flip5 yang kini mempunyai rekaan tubuh lebih kompak dan skrin sekunder yang lebih besar.

Samsung Galaxy Z Flip5 5G
SkrinDalam – 6.7″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz, HDR10+
Luar – 3.4″ Super AMOLED, 60Hz
PemprosesQualcomm Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy (4nm)
Cip1 X 3.36 GHz Cortex-X32
2 X 2.8 GHz Cortex-A715
2 X 2.75 GHz Cortex-A710
3 X 2.00 GHz Cortex-A510
Cip GrafikAdreno 740
RAM8GB LPDDR5X
8GB RAM Plus
Muatan Dalaman256/512 GB UFS 4.0
Kamera Utama12 Megapixel f/1.8, OIS
12 Megapixel f/2.2
Kamera Swafoto/Kamera Dalaman10 Megapixel f/2.2
Bateri3700 mAh
Pengecasan berwayar 25W
Pengecasan nirwayar 10W
Pengecasan berbalik 4.5W
SIM/Telefoni1 Nano, 1 eSIM
5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIPX8
Sistem ImbasanPengimbas cap jari sisi
Harga JualanRM4,499 (8/256 GB)
RM4,999 (8/512 GB)

SKRIN

Kita mulakan dengan perubahan paling ketara Z Flip5 iaitu skrin luar yang kini lebih besar. Ia kini menggunakan nama baharu Flex Window dan bukan lagi Cover Screen seperti pada model terdahulu. Skrim 3.4″ ini adalah dari jenis Super AMOLED dengan kadar segar semula 60Hz sahaja. Ia mempunyai bentuk seakan ikon “File” dalam komputer. Pada hemat kami pula, ia mempunyai bentuk takuk yang sama seperti pada skrin dalaman Z Fold asal yang diperlukan untuk kamera pada skrin boleh-lipat.

Flex Window

Dengan skrin yang lebih besar ini, akhirnya pemilik boleh membaca mesej penuh, membalas WhatsApp, dan menonton video YouTube. Pada waktu ini hanya sebilangan aplikasi Samsung, Google dan WhatsApp boleh digunakan pada Flex Window dengan lebih banyak sokongan aplikasi akan ditambah oleh Samsung pasca pelancaran. Papan kekunci yang diberikan masih lagi agak kecil tetapi lebih baik berbanding hanya boleh menjawab mesej dengan emoji atau Quick Reply sahaja pada Z Flip4.

Skrin luar ini bukan gimik kerana ia lebih berguna berbanding skrin luar Z Flip4 dan lebih luas berbanding Oppo Find N2 Flip. Pemilik boleh meletakkan widget cuaca, kalender, Samsung Health, Galaxy Buds dan banyak lagi pada skrin luar. Lebih banyak kerja boleh dilakukan pemilik Z Flip5 tanpa perlu membuka skrin utama terlebih dahulu.

Garis lipatan masih kelihatan

Skrin dalaman pula sebesar 6.7″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz yang sama seperti pada Z Flip4. Anda kena biasakan dengan kenyataan ini kerana majoriti komponen Z Flip5 sama dengan model tahun lalu. Masih terdapat alur lipatan pada skrin tetapi ini ialah isu pada semua peranti skrin boleh-lipat yang pernah diulas di makmal Amanz. Kandungan HDR10+ boleh dipaparkan dengan sokongan pada beberapa platform penstriman utama.

REKAAN

Tema rekaan Samsung tahun ini mungkin ialah “berkotak itu kacak” kerana ia dapat dilihat pada siri Galaxy S, Galaxy A dan juga Z Flip/Fold. Bahagian tepi semakin jelas “kekotakannya” yang membuatkan ia terasa lebih tegap dalam tangan. Rungutan pengguna bahawa skrin tidak boleh ditutup sepenuhnya diselesaikan menerusi penggunaan engsel dengan skrin dilipat seperti titisan air. Hasilnya tahun ini skrin dilipat rapat sepenuhnya dan peranti kini lebih nipis.

Terdapat butang laras audio dan butang kuasa merangkap pengimbas cap jari pada sisi kanan peranti. Di bawah diletakkan pula pengecas USB-C, satu kekisi audio, dan lubang mikrofon. Talam untuk dwi SIM nano diletakkan pada sisi kiri dengan terdapat juga sokongan untuk satu eSIM. Berhampiran gagang telinga terdapat satu lagi speaker untuk sistem audio stereo yang menyokong Dolby Atmos. Sekali lagi konfigurasi Flip4 digunakan pakai sekali lagi.

Tubuh Z Flip5 menggunakan bingkai Armor Aluminium untuk mengelakkan lenturan dan lebih tahan lasak jika terjatuh. Panel belakang pula diperbuat daripada Gorilla Glass Victus 2 yang membolehkan pengecasan nirwayar 15W dilakukan. Samsung menawarkan Z Flip5 dengan panel belakang berwarna Mint, Cream, Lavender dan Graphite dengan kemasan yang berkilat. Akibatnya panel mudah memerangkap kotoran pada jari. Dalam hal ini kami lebih sukakan rekaan panel belakang Fold5 yang tidak berkilat.

Pilihan warna Mint, Cream, Lavender dan Graphite

Dua bonggol kamera di belakang menempatkan lensa sudut lebar 12MP f/1.8 OIS dan ultra sudut lebar 12MP f/2.2. Sementara itu kamera swafoto di hadapan pula sebesar 10MP f/2.4. Sensor kamera yang sama pada model tahun lalu kami difahamkan digunakan kembali. Penambahbaikan hanya dilakukan pada perisian kamera sahaja. Bonggol tidak begitu besar tetapi kami sarankan penggunaan kerangka yang perlu dibeli berasingan bagi mengelakkan Flex Window tercalar.

Engsel telah direka semula dan kami tidak dapat merasakan perubahan yang besar ketika membuka dan menutup skrin. Tidak terlalu keras atau terasa longgar. Lebih penting sekali Z Flip5 masih lagi melepasi piawaian kalis air IPX8 yang bermakna ia boleh dicelup dalam air tetapi tidak mempunyai sebarang kemampuan kalis debu.

Engsel lebih rapat

PENGGUNAAN Dan PERISIAN

Sistem operasi One UI 5.1.1 berasaskan Android 13 digunakan. Ini ialah versi yang sama digunakan pada Z Flip5. Tiada sebarang ciri baharu eksklusif diperkenalkan pada model tahun ini. Cip pemproses Snapdragon 8 Gen 2 dipadankan dengan memori 8GB RAM LPDDR5X dan storan sehingga 512GB UFS 4.0. Hasilnya dapat dirasakan peranti beroperasi lebih lancar. Aplikasi boleh dipasang dengan pantas dan dilancarkan tanpa perlu menunggu.

Aplikasi yang boleh digunakan pada Flex Window

Ciri baharu yang disokong ialah menyambung aplikasi YouTube yang dibuka pada Flex Window terus pada skrin dapat sejurus selepas ia dibuka. Ini menyamai ciri yang disokong pada siri Z Fold. Yang tiada ialah ciri menyambung tontonan dari skrin dalam ke luar.

Pelancaran aplikasi juga terasa lebih pantas sama seperti pengalaman menggunakan S23 Ultra yang kami puji awal tahun ini. Penggunaan memori LPDDR5X dan storan UFS 4.0 yang lebih pantas membuatkan kepantasan sistem operasi dirasakan tahun ini. Bercakap mengenai RAM, ciri RAM Plus boleh menambah memori sehingga 8GB secara maya. Ia boleh dimatikan jika pemilik tidak mahu sebahagian storan diambil untuk menambah RAM.

Ciri Flex Mode kembali apabila digunakan pada aplikasi kamera, YouTube, dan Google Meet. Dalam mod ini peranti boleh dilipat 90 darjah dan berdiri di atas permukaan rata untuk sesi telesidang atau merakam video. Kerana Flex Window luar adalah besar, Flex Mode juga boleh digunakan untuk mengambil gambar atau video dengah lebih mudah tanpa menggunakan cagak khas. Seperti tahun lalu, memegang Z Flip5 seperti sebuah kamera camcorder klasik juga boleh dilalukan untuk merakam video.

KESIMPULAN

Peranti jenis “Flip” dengan jualan tertinggi pada suku pertama 2023 ialah Z Flip4. Samsung berjaya menemukan formula rekaan terbaik untuk peranti dalam kategori ini dan oleh itu penambahbaikan yang dilakukan pada Z Flip5 adalah untuk meneruskan dominasi mereka. Skrin lebih besar di luar menjadikan Z Flip5 lebih berguna walaupun dilipat dan akhirnya boleh ditutup dengan rapat. Pemproses Snapdragon 8 Gen 2 for Galaxy menawarkan prestasi lebih lebih tinggi dan boleh memanjangkan hayat bateri. Perisian juga telah diperhalusi.

Selama empat tahun Samsung mendominasi pasaran peranti jenis Flip. Tahun ini berbeza Oppo, Vivo dan Honor akan mula mencabar mereka dengan penawaran masing-masing. Persoalannya ialah sama ada ini memadai bagi orang ramai di luar sana kerana Z Flip5 mempunyai saiz skrin utama, sistem kamera, ciri, kapasiti bateri dan sistem pengecasan 25W yang sama.

Pada harga jualan bermula RM4499 untuk 256GB dan RM4999 untuk 512GBGB, ia hanya RM200 serta RM100 lebih mahal berbanding Z Flip4 dengan storan yang sama. Skrin lebih besar maka hargapun dinaikkan sedikit.

Pr

  • Rekaan baharu skrin boleh ditutup rapat sepenuhnya.
  • Skrin luar lebih besar menjadikan peranti jauh lebih berguna.
  • Spesifikasi tinggi kelas mercu yang menjadikan penggunaan terasa lancar.
  • Kalis air IPX8.
  • Sokongan empat versi Android dan lima tahun tampalan sekuriti.

Kontra

  • Mengekalkan majoriti komponen Z Flip5
  • Pengecasan masih sekadar 25W.
  • Kedut lipatan masih dilihat pada skrin.

Khusus buat pembaca Amanz, gunakan kod promosi AZGALAXY sewaktu membeli Galaxy Z Flip5 di laman rasmi Samsung Malaysia bagi menerima diskaun RM 200, terhad sementara stok masih ada. 

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd