Carian
Ulasan Oppo Reno10 Pro+ – Peranti Untuk Fotografi Potret
July 28, 2023 Amy Maizuraa

Oppo Reno10 Pro+ telah dilancarkan secara rasminya di Malaysia dengan harga jualan RM3,499. Ia merupakan harga yang sama ditawarkan pada Oppo Reno8 Pro sebelum ini namun dirasakan agak baik penawarannya untuk kali ini. Saya membandingkannya dengan siri Reno8 memandangkan Oppo telah melangkau satu penjenamaan sebelum memperkenalkan generasi baharu ini. Harga jualan juga sama, namun sebagai pengguna persoalan yang anda tahu sudah semestinya tentang prestasi. Di sini kami kongsikan artikel ulasan penuh untuk Oppo Reno10 Pro+ 5G.

Spesifikasi

Oppo Reno10 Pro+ 5G
Skrin6.7” AMOLED 1.5K, Pro XDR
Warna 10-bit, 120Hz
PemprosesSnapdragon 8+ Gen 1
Cip1 x 3.0 GHz Cortex-X2
3 x 2.75 GHz Cortex-A710
4 x 2.0 GHz Cortex-A510
Cip GrafikAdreno 730
RAM12GB RAM (+12GB RAM Maya)
Muatan Dalaman256GB ROM
Kamera Utama50 MP, f/1.8, (lebar) PDAF, OIS
64 MP, f/2.5, (telefoto periskop) 3x zum optikal, OIS
8 MP, f/2.2 (ultra-lebar)
LED flash, HDR, panorama
4K@30/60fps, gyro-EIS, OIS, HDR
Kamera Swafoto32MP (Lebar), AF
Bateri4700mAh
Pengecasan Pantas 100W
SIM/TelefoniSIM Nano + SIM Nano
NFCAda
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas cap jari & wajah
Harga JualanRM3499

Skrin Dan Reka Bentuk

Panel AMOLED sebesar 6.7-inci dengan resolusi 1.5K dan kadar segar semula 120Hz digunakan pada skrin peranti. Skrin juga mempunyai sokongan kedalaman warna 10-bit yang boleh memaparkan sehingga 1.07 bilion warna. Selain turut menyokong teknologi Pro XDR yang menurut Oppo membolehkan skrin kelihatan lebih terang dengan warna yang tepat dan cantik. Seperti yang dijangka skrin AMOLED sememangnya mampu menyajikan paparan yang cantik dengan penghasilan semula warna juga memuaskan dan sekata.

Antara perkara yang disukai saya juga adalah kebijaksanaan Oppo dalam mewujudkan rasa premium menerusi penggunaan skrin melengkung di kedua-dua sisi. Saya faham tidak ramai yang suka akan rekaan ini namun dilihat cukup premium dalam menjadikannya nampak istimewa. Pujian juga perlu diberikan kerana lengkungan skrin tidaklah melampau sehingga mengakibatkan kandungan melimpah keluar. Ia menjadi lebih menariknya lagi apabila tubuh peranti terasa nipis dan ringan di dalam genggaman. Malahan gabungan panel belakang kaca dan sisi logam yang digunakan turut membuatkannya nampak premium.

Dalam pada itu kebijaksanaan Oppo dalam membuat pemilihan warna yang baik turut memberi kesan yang besar kepada nilai kosmetik peranti ini sendiri. Ia didatangkan dalam dua pilihan warna iaitu Silvery Grey yang sesuai bagi anda yang cenderung memilih warna nampak sederhana dan santai. Sementara itu Reno10 Pro+ dalam warna Glossy Purple pula nampak lebih ceria dan cantik, tetapi anda harus berkompromi dengan isu mudahnya memerangkap kotoran cap jari dan terdedah dengan pelbagai isu, lagi-lagi hentakan secara terus.

Sebuah pengimbas cap jari jenis optikal diletakkan di bawah skrin. Kedudukannya agak rendah tetapi masih mudah untuk diakses dengan prestasi yang amat pantas. Sistem imbasan wajah turut disediakan sebagai pilihan bagi mereka yang mahukan prestasi menyahkunci lebih pantas. Namun hal yang berjaya menarik perhatian apabila peranti turut menyediakan sokongan pemancar infra merah untuk kawalan jauh peralatan elektronik.

Butang kuasa dan laras audio pula boleh ditemui pada sisi kanan. Sama seperti bingkai, kedua-dua butang ini juga diperbuat daripada aluminium dan tidak terasa longgar. Bergerak ke bahagian bawah terdapatnya port pengecasan USB-C yang juga diapit dengan kekisi audio dan talam SIM. Apabila dibuka peranti dilihat menyokong dwi-SIM tanpa sokongan kad mikro SD dan pembesar suara pula sejenis stereo. Audio tidak begitu seimbang kerana pembesar suara di bawah lebih lantang.

Kemudian sama ada perasan atau tidak, tiada lubang bicu audio 3.5mm boleh ditemui pada peranti yang bermakna akan memberi kesan terhadap pengguna yang masih mengharapkan fon telinga/kepala jenis berwayar. Bukan itu sahaja, tiada penarafan kalis air secara rasmi, namun Oppo memaklumkan peranti masih tahan percikan.


Penanda Aras Dan Pengalaman Penggunaan

Peranti menggunakan Android 13 dengan pelancar ColorOS 13 terkini. Secara umumnya pelancar ColorOS boleh dikatakan mempunyai reputasi yang baik dari segi kelancaran dan mudah digunakan. Sebahagian besar ciri terbina juga dioptimasikan dengan baik. Seterusnya anda juga boleh menetapkan tetapan tertentu mengikut keperluan semasa.

Menariknya lagi ciri pemantauan bateri dan pengecasan yang mendalam turut disertakan secara terbina. Ini bagi membolehkan anda menyemak tahap kesihatan bateri sama seperti pengalaman sebuah peranti iPhone. Cumanya masalah aplikasi gendut yang terpasang secara automatik masih berlaku pada peranti. Namun masih boleh dibuang sekiranya tidak diperlukan.

Seterusnya cip pemprosesan Snapdragon 8+ Gen 1 digunakan sebagai tunjang utama, yang mana boleh dianggap menarik memandangkan barisan peranti Reno sering dipasarkan sebagai peranti kelas pertengahan. Sedangkan cip berkenaan pula kebanyakannya digunakan pada peranti berkelas mercu. Namun itu bukanlah isu yang besar sebetulnya kerana sebahagian besar pengeluar semestinya mempunyai sebab tersendiri, bahkan berusaha memberi yang terbaik buat pengguna.

Geekbench 6

  • Oppo Reno10 Pro+ – 1408/3786
  • Nothing Phone (2) – 1734/4576
  • OnePlus Nord 3 5G – 1092/3337
  • Poco F5 Pro – 1868/5272

Antutu 3D

  • Oppo Reno10 Pro+ – 1,137,709
  • Nothing Phone (2) -1,142,277
  • OnePlus Nord 3 5G – 914,552
  • Poco F5 Pro – 1,049,997

Wild Life Extreme

  • Oppo Reno10 Pro+ – 2754
  • Nothing Phone (2) – 2584
  • OnePlus Nord 3 5G – 2296
  • Poco F5 Pro – Tiada

Tambahan pula cip Snapdragon 8+ Gen 1 juga sebenarnya masih lagi cukup berkuasa ketika ini, justeru prestasi yang baik boleh sahaja diharapkan sama ada digunakan secara kasual mahupun sesi permua. Peranti juga dilihat mampu mengendali kebanyakan tugasan harian dengan tatalan yang lancar tanpa gangguan sela masa ketara. Gabungan memori 12GB RAM yang turut boleh dikembangkan lebih besar secara maya mencapai 12GB dan storan dalaman 256GB juga telah menambahbaik lagi pengalaman penggunaan peranti.

Pengalaman menguji majoriti permua bersama tetapan grafik tinggi juga menunjukkan prestasi memuaskan, khususnya PUBG Mobile yang menyediakan tetapan tertinggi mencapai grafik Ultra HD bersama kadar bingkai Extreme. Meskipun ia mula menunjukkan sedikit lengah masa dalam sesi permainan yang sengit, tetapi pengalaman yang memuaskan masih boleh dinikmati pada peranti ini.


Kamera Dan Kualiti Gambar

Peranti menggunakan sistem tri-kamera dengan tetapan 50MP Sony IMX 890 (utama) + 64MP OV64B (telefoto periskop) + 8MP Sony IMX355 (ultra-lebar). Turut disertakan adalah sistem OIS terbina dan cip MariSilicon X bagi tujuan meningkatkan lagi kemampuan fotografi serta kecerdasan buatan peranti. Perlu juga dikatakan bahawa berita mengenai penamatan pengeluaran cip berkenaan juga benar apabila peranti di bawah siri ini menjadi yang terakhir menggunakannya.

Kehadiran semula mekanisme kamera telefoto juga menarik dengan kemampuan zum optikal sehingga 3X, yang pada dasarnya memiliki tujuan utama untuk kegunaan tangkapan gambar mod potret. Ia juga menawarkan ciri Retouch yang membenarkan pengguna memilih sehingga 25 pilihan kawalan kesan boleh di laras dengan bukaan apertur di antara f/1.4 dan f/16. Pengalaman ini turut dapat ditingkatkan dengan adanya sokongan zum digital sehingga 120X tanpa penstabilan terbina bagi tujuan mendekatkan lagi pengguna kepada objek.

Nampak berlebihan tetapi hasil zum terbaik hanyalah sehingga 30X dan perlu digunakan dalam pencahayaan terang bagi memastikan gambar nampak jelas serta bermaya. Sebenarnya tanpa sedar, ini sebenarnya ciri yang turut ditawarkan oleh kamera peranti mercu Oppo Find X6 Pro. Justeru, tidak keterlaluan dikatakan, peranti ini sesuai dijadikan pengganti kepadanya memandangkan Oppo langsung tiada perancangan membawa masuk Find X6 Pro ke pasaran Global atas sebab tertentu.

Seterusnya kamera peranti ini boleh menangkap gambar dengan nisbah 4:3, 16:9, 1:1 dan penuh. Pilihan mod kamera terbina yang diberikan pula terdiri dengan Night, Video, Photo, Pro, Extra HD, Pano, Slo-Mo, Time Lapse, Dual View video, Sticker dan Text Scanner. Ia juga amat mudah digunakan kerana tiada masalah pemfokusan ditemui pada peranti tahun ini. Dalam pada itu sistem kecerdasan Oppo juga berfungsi dengan baik apabila mampu memilih tetapan yang paling sesuai mengikut situasi semasa.

Prestasi video adalah baik dengan kemampuan rakaman maksimum 4K HDR dengan pilihan zum diantara 1X, 3X, 6X dan 18x. Terdapat juga sistem penstabilan terbina yang diberikan namun terhad untuk rakaman yang dibuat pada tetapan 720P/1080P sahaja. Begitu juga dengan rakaman kamera hadapan yang menggunakan sensor 32MP, turut mempunyai sistem penstabilan terbina dengan tetapan maksimum 1080P. Ciri retouch dan sejumlah penuras menarik juga diberikan pada kedua-dua kamera ini sebagai tambahan pada peranti itu sendiri.

Dari segi kualiti, hasil gambar yang diambil adalah amat baik. Secara keseluruhannya kamera mempunyai peningkatan kualiti imej yang besar dalam membentuk pengalaman fotografi lebih menarik. Boleh dilihat dengan jelas kesemua gambar yang diambil dalam pelbagai pencahayaan sama ada terang mahupun gelap memberi hasil cukup memuaskan tanpa masa pasca-proses yang lama sehingga memanaskan peranti.

Penghasilan semula warna nampak hebat dan benar-benar bermaya, malahan peranti juga melakukan kerja yang agak baik dalam usaha mengimbangi kontras yang melampau dalam sumber cahaya terang seperti matahari misalnya. Ia menjadi lebih luar biasa dengan paparan mod Pro XDR yang menjadikan warna lebih menonjol, seterusnya pasti cukup menarik untuk kegunaan media sosial.

Kelebihan turut boleh dilihat sewaktu tangkapan gambar menggunakan mod High-Res yang keseluruhannya juga memuaskan. Namun perkara yang mungkin tidak ramai perasan adalah kamera akan menggunakan sensor 50MP bagi tangkapan gambar pada sokongan zum 1X. Kemudian sensor 64MP pula akan digunakan apabila gambar diambil dengan zum 2X. Bagaimanapun kedua-duanya mampu sahaja menghasilkan gambar yang baik, malahan dilihat lebih tajam dan terperinci berbanding tangkapan menerusi mod automatik.

Tangkapan gambar mod potret juga memberi hasil yang baik, di mana tekstur kulit manusia yang nampak semula jadi seakan dunia nyata apabila digunakan tanpa mod kecantikan terbina. Jika ada kekurangan yang boleh dikatakan mengenainya adalah edge detection yang tidak sempurna, di mana jelas boleh dilihat peranti gagal membezakan subjek dan latar belakang dengan baik termasuklah dalam pencahayaan terang.

Misalnya seperti dua gambar di bawah yang menunjukkan kegagalan kamera peranti memberi fokuskan yang baik pada sekeliling subjek, khususnya bahagian baju kurung dan dompet yang dipegang di tangan.

Kemampuan tangkapan ultra-lebar juga boleh dipuji dengan hasil yang hampir serupa dengan kamera utama. Masalah herotan masih wujud yang sudah menjadi perkara standard untuk kebanyakan gambar bersudut lebar. Pujian juga kami berikan kepada antaramuka aplikasi kamera yang kemas dan mudah digunakan. Ikonografi pelbagai fungsi mudah difahami, khususnya untuk pintasan pantas mod zum untuk terus ke 0.6X, 1X, 3X dan 120X yang dirasakan cukup mesra pengguna.

Pengalaman menjadi lebih baik apabila prestasi adalah baik dengan hasil gambar yang kelihatan tajam sehingga 30X. Kelemahan akan mula dilihat dengan jelas pada zum melebihi 30X dengan masalah gambar menjadi terlalu lembut, seterusnya perincian mula hilang sepenuhnya pada zum maksimum 120X. Sistem penstabilan turut boleh digunakan pada zum 120X namun ia dilihat tidak konsisten dan proses mengambil gambar juga menjadi sukar tanpa bantuan tripod.

Kualiti gambar swafoto juga baik dengan kemampuan menghasilkan gambar dengan tekstur kulit yang semula jadi tanpa ciri kecantikan diaktifkan. Gambar potret menggunakan kamera hadapan juga memberikan kesan bokeh yang juga boleh dikatakan baik, tetapi masih belum sempurna dalam menyampaikan hasil potret yang benar-benar menyenangkan. Akhir sekali adalah kualiti video juga cantik seperti rakaman gambar asalkan tidak melibatkan pergerakan yang pantas.


Bateri Dan Sistem Pengecasan

Dengan bateri 4,700mAh tiada isu peranti dapat bertahan sepanjang hari pada penggunaan sederhana berat. Peningkatan juga diberikan pada sistem pengecasan berwayar yang kini lebih pantas mencapai 100W. Seterusnya turut menyediakan kepala pengecas dalam kotak pembelian yang menjadikannya nilai tambahan pada peranti ini sendiri.

Hal ini memandangkan banyak pengeluar yang telah membuang kepala pengecas, lalu membebankan pengguna untuk mendapatkannya secara berasingan. Ia juga antara sistem pengecasan terpantas di pasaran. Malahan lebih pantas daripada apa yang ditawarkan Apple dan Samsung pada peranti mercu mereka.


Peranti Pesaing

Oppo Reno10 Pro+Nothing Phone (2)Poco F5 Pro
6.7” AMOLED 1.5K, Pro XDR
Warna 10-bit, 120Hz
6.67″ OLED, FHD+, 120Hz, HDR10+6.67″ AMOLED, WQHD+, 120Hz, Dolby Vision
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1 x 3.0 GHz Cortex-X2
3 x 2.75 GHz Cortex-A710
4 x 2.0 GHz Cortex-A510
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1 x 3.0 GHz Cortex-X2
3 x 2.75 GHz Cortex-A710
4 x 2.0 GHz Cortex-A510
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1 x 3.0 GHz Cortex-X2
3 x 2.75 GHz Cortex-A710
4 x 2.0 GHz Cortex-A510
Adreno 730Adreno 730Adreno 730
12GB LPDDR516GB LPDDR58/12GB LPDDR5
256GB UFS 3.1256/512 UFS 3.1128/256 GB UFS 3.1
Kamera Utama
50 MP (lebar) PDAF, OIS
64 MP (telefoto periskop)
8 MP(ultra-lebar)
Kamera Utama
50MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar)
50MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
Kamera Utama
64MP (Sudut Lebar) OIS
8MP (Ultra Sudut Lebar)
2MP (Makro)
Kamera Hadapan
32MP f/2.4
Kamera Hadapan
32-Megapixel f/2.5
Kamera Hadapan
16MP f/2.45
Tidak kalis airIP54IP68
Tiada bicu audioTiada bicu audioBicu audio
Audio stereoAudio stereoAudio stereo
4,700mAh
Berwayar 100W
4700 mAh
Berwayar 45W
Nirwayar 15W
5,160 mAh
Berwayar 67W
Nirwayar 30W
RM3,499 (12/256GB)RM 2999 (12/256GB)
RM 3499 (12/512GB)
RM 2,099 (8/256GB)
RM 2,199 
(12/256GB)
RM 2,399 
(12/512GB)

Apa Di Dalam Kotak?

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x Oppo Reno10 Pro+ 5G.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 1x Kepala pengecas 100W.
  • 1x Manual Pengguna.
  • 1x Kerangka Silikon.
  • 1x Pin SIM.

Kesimpulan

Oppo Reno10 Pro+ bukan sahaja menyajikan sistem kamera yang baik, malahan turut menyediakan ruang yang sepatutnya untuk pengguna berkarya kreatif khususnya bagi fotografi potret. Tiadanya siri Find X yang ditawarkan di Malaysia tahun ini juga dirasakan tidak memberi impak yang begitu besar memandangkan pengguna turut boleh menjadikan peranti ini sebagai pilihan lain. Namun sudah semestinya anda tidak boleh mengharapkan kesemuanya di tahap yang sama memandangkan kedua-dua peranti diletakkan dalam dua segmen yang berbeza.

Seterusnya prestasi juga baik dan seperti yang boleh diharapkan daripada cip Snapdragon 8+ Gen 1. Gabungan memori dan storan yang besar turut menambahbaik pengalaman penggunaan yang lancar. Kapasiti bateri mungkin bukanlah besar tetapi sistem pengecasan pantas 100W disertakan memberi nilai tambahan menarik pada peranti. Ini bermakna anda sudah semestinya tidak perlu menunggu lama untuk proses pengecasan semula, malahan kepala pengecasan yang diberikan turut menjimatkan perbelanjaan.

Menang pada beberapa bahagian, namun tidak bermakna tiada lemahnya peranti ini. Peranti ini tidak mempunyai bicu audio 3.5mm dan penarafan kalis air. Dengan harga jualan RM3499. ia boleh dikatakan naik taraf yang baik berbanding Reno8 Pro sebelum ini. Namun ia masih perlu bersaing dengan beberapa peranti lain seperti Nothing Phone (2), Poco F5 Pro dan Oneplus Nord 3 5G dengan harga lebih mampu milik tetapi spesifikasi boleh tahan.


PRO

  • Skrin AMOLED 120Hz dengan mod ProXDR yang menarik.
  • Prestasi cukup baik dalam kebanyakan situasi.
  • Sistem kamera yang dipertingkatkan khususnya telefoto.
  • Sistem pengecasan lebih pantas.
  • Pembesar suara stereo.
  • Sokongan pemancar merah

KONTRA

  • Masalah edge detection tidak sempurna.
  • Sistem penstabilan tidak konsisten pada zum 120X.
  • Tiada bicu audio.
  • Tiada penarafan kalis air.
  • Tiada ruang kad mikroSD.
Komen