RedMagic 8S Pro adalah telefon pintar gaming pertama di dunia hadir dengan memori 24GB RAM. Peranti ini juga adalah yang pertama selain Samsung menggunakan cip Snapdragon 8 Gen 2 yang dilewahjam. Hari ini RedMagic Malaysia mengumumkan yang peranti ini akan tiba ke pasaran Malaysia 3 Ogos ini.
Peranti ini menggunakan skrin OLED 6.8″ FHD+ hampir nirbingkai penuh yang menyokong kadar segar semula 120Hz. Cip Snapdragon 8 Gen 2 pada peranti menggunakan konfigurasi 1x 3.36GHz Cortex-X3 + 2x 2.8 GHz Cortex-A715 + 2x 2.8 GHz Cortex-A710 + 3x 2.0 GHz Cortex-A510 dengan GPU Adreno 740 719MHz. Memori model peranti ini terhad sehingga 12/512 GB sahaja dan setakat ini belum pasti variasi mana yang akan dijual di Malaysia.
Untuk kamera, 8S Pro hadir dengan sensor 50+8+2 Megapixel dan kamera swafoto 16MP di bawah skrin. Speaker stereo digunakan pada peranti ini menyokong audio definisi tinggi dan masih mengekalkan bicu audio 3.5mm. Bateri peranti adalah 6000mAh dan menyokong pengecasan pantas sehingga 80W.
Sama-sama kita nantikan 3 Ogos ini untuk ketahui variasi mana akan dilancarkan dan berapakah harga jualannya di Malaysia. Di China model 8S Pro paling tinggi dijual pada harga sekitar RM3600, sementara model 8S Pro+ 24/1000 GB dijual pada harga sekitar RM4700.