Sony Xperia 1 V baru sahaja dilancarkan di Malaysia pada bulan lalu. Seperti biasa peranti ini dijual pada harga premium RM6399 sebuah yang lebih mahal berbanding beberapa peranti mercu popular lain. Harga premium peranti adalah kerana penggunaan skrin OLED 4K HDR dan juga kemampuan kawalan kamera seolah menggunakan kamera nircermin Sony.
Saya telah menggunakan peranti ini sebagai peranti harian untuk beberapa minggu. Adakah harga RM6399 ini munasabah? Adakah ini peranti untuk anda atau pun untuk siapa sebenarnya peranti ini? Saya akan jelaskan dalam artikel ulasan ini.
SPESIFIKASI
Sony Xperia 1 V | |
---|---|
Skrin | 6.5″ OLED 4K (1644 x 3840) 120Hz HDR10+, Creator Mode oleh CineAlta |
Pemproses | Snapdragon 8 Gen 2 (4nm) |
Cip | 1x 3.2 GHz Cortex-X3 2x 2.8 GHz Cortex-A715 2x 2.8 GHz Cortex-A710 3x 2.0 GHz Cortex-A510 |
Cip Grafik | Adreno 740 |
RAM | 12 GB LPDDR5X |
Muatan Dalaman | 256 GB UFS 4.0 |
Kamera Utama | 52MP, f/1.7, OIS (Utama) 12MP, f/2.3 – f/2.8, OIS, 3.5x – 5.2x zum (Telefoto) 12MP, f/2.2 (Sudut ultra-lebar) Zeiss T* Coating, AI, Super Res Zoom, |
Kamera Swafoto | 12MP, f/2.0 HDR |
Bateri | 5000 mAh Pengecasan berwayar 30W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM nano 5G |
NFC | Ada |
Audio | Stereo/ bicu audio |
Kalis Air | IP65/IP68 |
Sistem Imbasan | Terbina di butang kuasa |
Harga Jualan | RM 6,399 (12/256 GB) |
SKRIN
Seperti biasa Sony akan menggunakan rekaan skrin memanjang dan tirus . Pada Xperia 1 Vskrin OLED bersaiz 6.5″ beresolusi 4K 120Hz yang boleh memaparkan kandungan HDR10+ digunakan. Sony turut menawarkan teknologi mod pencipta oleh CineAlta yang menentukur warna skrin mengikut apa yang pencipta filem mahukan.
1 V turut masih mempunyai dahi dan dagu tebal berbanding peranti pesaing. Ini boleh dimaafkan kerana peranti ini masih menawarkan speaker stereo di hadapan yang seimbang. Bukan itu sahaja, bezel pada sisi juga cukup nipis dan peranti ini tidak mempunyai sebarang masalah ketika memainkan video di Netflix, Prime Video atau YouTube.
Sokongan HDR aneh sekali tidak disokong pada Netflix. Isu yang sama sejak Xperia 1 VI yang sehingga hari ini masih tidak menerima kemas kini perisian yang mengaktifkannya. Teori saya adalah kerana peranti Sony yang sudah menawarkan ciri perisian untuk menjadikan warna skrin cukup baik dengan memberikan pengalaman menonton yang mengasyikkan.
Skrin peranti ini turut lancar dan pantas. Sokongan 120Hz pada peranti ini memuaskan walaupun tidak menggunakan panel LTPO. Ia cukup konsisten sepanjang penggunaan dan tiada langsung masalah lengah masa berlaku.
PENGIMBAS CAP JARI
Sony Xperia 1 V masih menggunakan pengimbas cap jari yang diintegrasikan pada butang kuasa. Pada awalnya saya agak marah akan keputusan Sony ini kerana peranti lain kalau sudah berharga RM6000 menggunakan teknologi sensor di bawah skrin. Saya boleh memaafkan jenama ini kerana pengimbas cap jarinya yang pantas, malah antara yang paling pantas pernah saya gunakan.
REKAAN
Sony Xperia 1 V adalah sebuah peranti mercu yang boleh dikatakan kompak jika dibandingkan dengan peranti pesaing. Tubuh peranti yang panjang mengingatkan saya kepada penggunaan peranti Samsung Galaxy Z Flip atau juga sebuah alat kawalan televisyen. Ia tirus, selesa dipegang dan mengejutkan amat mudah untuk dikendalikan lagi-lagi dengan satu tangan menggunakan ciri Side Sense.
Semua butang fizikal berada di sisi peranti, seperti butang suara, butang kuasa merangkap pengimbas cap jari dan juga butang pengatup kamera fizikal. Butang-butang yang ada pada peranti ini sedap ditekan dan selesa. Cuma butang laras suara yang sedikit pendek membuatkan saya kerap tersalah tekan.
Di keliling peranti dan di sisi ia sedikit tebal dan mempunyai tekstur bergaris. Rekaan ini memberikan cengkaman tambahan pada peranti dan secara tidak langsung memudahkan lagi peranti dikendalikan dengan satu tangan.
Panel belakang peranti kelihatan minimalistik, dengan bonggol kamera bujur menegak di sisi atas bersama dengan lampu LED flash. Logo NFC juga jelas kelihatan di tengah atas dan logo XPERIA di tengah bawah. Kali ini panel belakang peranti mempunyai tekstur bintik-bintik kecil yang turut memberi cengkaman tambahan. Ini pula mengingatkan saya pada permukaan alat kawalan DualSense pada PlayStation 5.
Penggunaan Dan Perisian
Xperia UI yang digunakan pada peranti ini adalah mirip dengan Android stok. Ia amat mudah untuk digunakan, ringkas, tiada tetapan yang mengelirukan kerana semuanya secara terus dan boleh dikatakan tiada aplikasi gendut kecuali aplikasi Sony tersendiri yang agak berguna.
Selepas Nothing OS, Xperia UI adalah sistem operasi kegemaran saya kerana amat sukakan konsep Android stok. Ini adalah yang paling dekat dengan Android stok yang anda boleh dapatkan di pasaran Malaysia. Cuma agak mengecewakan untuk peranti yang berharga lebih RM6000 hanya dua tahun sokongan perisian diberikan. Ini bermakna selepas tahun 2025, peranti ini tidak akan menerima kemas kini Android baharu.
Xperia UI mungkin akan rasa bosan bagi sesetengah pengguna kerana ia begitu kosong dan tidak menawarkan banyak pilihan kustomasi seperti peranti keluaran China atau Korea. Tetapi ciri kustomasi Android asli itu sedia terbina memberikan pengguna sedikit kebebasan memperibadikan peranti ini mengikut citarasa masing-masing. Ini boleh digunakan melalui Wallpaper & style yang turut menyokong warna antaramuka yang adaptif serta ikon berwarna Material You.
Ciri menarik pada Xperia UI yang ditawarkan hanyalah;
- Mod STAMINA untuk penjimatan bateri yang lebih agresif.
- 360 Reality Audio untuk kesan bunyi stereo dan spatial serta DSEE Ultimate iaitu teknologi Sony yang mengubah fail audio yang tekah dimampatkan ke resolusi tinggi.
- Dynamic Vibration yang mengaktifkan kesan haptik mengikut rentak bunyi.
- Mod Pencipta oleh CineAlta yang menentukur warna skrin mengikut standard pencipta filem serta pemacu HDR masa nyata.
- Side Sense untuk menggunakan multi tugasan dengan kawalan gestur.
Penanda Aras
Sony dan masalah pemanasan berpisah tiada. Sama ada kamera profesional mereka iaitu Sony α6700 atau peranti Xperia lain pasti akan ada masalah ini. Malah ini adalah peranti Snapdragon 8 Gen 2 pertama saya gunakan mengalami masalah pemanasan. Walaupun begitu, ia tidak mencapai tahap memanas sehingga amaran dikeluarkan seperti Xperia V IV tahun lepas. Masalah pemanasan kali ini berlaku secara rawak sama ada ketika penggunaan kamera, bermain permua. ataupun media sosial.
Xperia 1 V dijana dengan cip Snapdragon 8 Gen 2 yang biasa bukannya edisi lebih pantas seperti yang digunakan pada peranti Samung Galaxy S23 Ultra, Z Fold5 atau RedMagic 8S Pro. Ini bermakna skor penanda aras dijangka akan sedikit lebih rendah berbanding peranti yang menggunakan cip yang telah dilewahjamkan.
AnTuTu 3D
- Xperia 1 V: 1,234,059
- Xiaomi 13 Ultra – 1,527,588
- OnePlus 11: 1,248,004
- Samsung Galaxy S23 Ultra – 1,503,508
Geekbench 5
- Xperia 1 V: 1,902/5,244
- Xiaomi 13 Ultra – 2,015/5,457
- OnePlus 11: 1,204/4,366
- Samsung Galaxy S23 Ultra – 2,015/5,294
3DMark Wild Life Extreme
- Xperia 1 V: 3,599
- Xiaomi 13 Ultra – tidak boleh diuji
- OnePlus 11: 3,682
- Samsung Galaxy S23 Ultra – 3,742
Bermain permua pada peranti ini menawarkan prestasi lebih kurang sama pada mana-mana peranti mercu dengan Snapdragon 8 Gen 2. Ia lancar, pantas, grafik cantik dan memberikan pengalaman yang memuaskan. Malah jika inginkan pengalaman lebih baik dengan tiada isu pemanasan kerangka Xperia Stream harus digunakan pada peranti ini.
Isu pemanasan pada peranti ini saya rasakan adalah penggunaan memori peranti ini yang tidak efisien. Ia agak tinggi dengan penggunaan mencapai 9GB ketika peranti tidak digunakan. Malah dalam mod permua ketika sistem melepaskan memori, ia hanya mengurangkan penggunaan sekitar 30MB ke 100MB sahaja berbanding peranti pesaing yang mungkin mencapai 500Mb ke 2GB.
Telefoni Dan GPS
Setakat ini saya tiada masalah dengan sambungan data mudah alih pada peranti ini. Memandangkan saya menggunakan Maxis, saya tidak dapat menguji 5G pada peranti ini. Walaupun begitu sambungan 4G adalah stabil dengan sokongan VoWiFi serta VoLTE disertakan. Sambungan WiFi juga lebih stabil cuma masih perlahan berbanding peranti mercu lain. GPS tiada isu dan mampu mengunci lokasi dengan pantas dan memberi arahan selok-belok dengan tepat.
Kamera
Sony Xperia 1 V adalah peranti memfokuskan kamera yang ditujukan kepada pengguna profesional dan bukan untuk pengguna biasa. Saya katakan begini kerana peranti ini tidak mempunyai sistem pasca-proses yang baik untuk pengguna merakam detik indah dan terus berkongsi ke media sosial. Sebaliknya peranti memfokuskan kepada kawalan manual sepertimana kamera-kamera Sony tawarkan. Malah Xperia UI mempunyai tiga aplikasi kamera berbeza iaitu Photo Pro, Video Pro dan Cinema Pro dengan setiap satunya mempunyai antaramuka dan kawalan berbeza.
GAMBAR
Mod Basic pada peranti ini memberikan pengalaman penggunaan seakan peranti Android lain seperti menawarkan mod malam, Bokeh atau profil warna berbeza melalui Creative Look. Sayang sekali, hasil gambar dalam mod ini adalah seakan peranti Android kelas pertengahan asas sahaja. Ia terlampau terang, lembut, tidak mempunyai warna yang tajam dan tidak memelihara butiran yang bagus tidak kira apa jua lensa yang digunakan.
Imej yang dipaparkan pada viewfinder juga bukan gambar akhir, sebaliknya gambar yang belum melalui pasca-proses. Hanya selepas gambar dilihat dalam galeri, barulah ada warna yang menarik, nilai kontras lebih baik dan sedap mata memandang.
Mod Pro pada aplikasi Photo Pro menawarkan penggunaan seakan kamera nircermin Sony. Mereka yang tidak pernah menggunakan kamera Sony pasti akan rasa keliru dan buntu untuk menggunakannya. Malah saya sendiri terpaksa rujuk juru kamera Amanz yang pakar dengan kamera Sony untuk menggunakan peranti ini. Hasilnya juga tidak konsisten dengan kadangkala imej HDR itu nampak baik dan ada kalanya langit menjadi terlampau cerah dan tidak kelihatan langsung.
Kemampuan zum pada peranti ini nampak memuaskan. Ia menawarkan zum optikal 3.5x dan 5.2x dengan bantuan bukaan lensa melalui perisian yang berubah dari f/2.3 ke f/2.8. Hasilnya nampak baik tetapi Sony perlu memastikan kecerdasan buatan sistem kamera mereka lebih matang untuk bersaing dengan Xiaomi 13 Ultra misalnya. Malah dengan sistem fokus yang pantas dan boleh menjejak manusia serta mata ini memudahkan lagi menangkap gambar subjek yang bergerak.
VIDEO
Kemampuan rakaman video pada peranti juga mirip dengan kamera Sony sendiri. Ada banyak profil warna, kawalan manual dan tetapan diberikan sukar untuk pengguna biasa faham. Xperia 1 V ini sendiri boleh diubah menjadi skrin HDR untuk digunakan bersama kamera-kamera Sony agar mudah memantau rakaman video berbanding pada skrin kecil terbina pada kamera.
Bateri
Saya tidak pernah berharap menggunakan peranti bersaiz seperti ini akan mendapat ketahanan bateri yang lama. 5000mAh pada peranti ini dengan mod gelap serta skrin menggunakan mod pencipta mampu memberikan penggunaan satu hari penuh dengan SOT sekitar 6 jam. Penggunaan saya adalah dengan bermain permua, menggunakan kamera, aktif di media sosial dan kerap menonton video. Dengan mod terang dan skrin menggunakan mod auto (aplikasi terpilih akan ke mod pencipta), bateri boleh bertahan sekitar 5 jam SOT sahaja.
Xperia 1 V menggunakan pengecasan 30W melalui teknologi Power Delivery 3.0. Amat perlahan untuk peranti dalam kelas ini di mana peranti boleh dicas sehingga penuh dalam masa hampir dua jam berbanding peranti pesaing sekitar 1 jam atau 30 minit sahaja. Dengan ketahanan bateri tidak mencapai 7 jam ke atas, sekurang-kurangnya berikanlah sokongan pengecasan pantas.
Audio
Speaker stereo adalah sistem audio yang digunakan pada peranti ini. Sony memilih rekaan yang sudah lama, iaitu kekisi speaker pada dahi dan dagu peranti. Walaupun rekaan yang lama, ia adalah satu pilihan yang bijak kerana ia memberikan audio yang seimbang, cukup kuat dan amat sedap. Mendengar muzik, menonton video, sangat sedap dan memuaskan. Audio yang dikeluarkan juga seimbang dan ciri Dynamic Vibration juga agak menarik apabila bermain permua atau menonton video aksi letupan dan tembak-menembak.
Pesaing
Sony Xperia 1 V | Samsung Galaxy S23 Ultra | Xiaomi 13 Ultra |
6.5″ OLED, 1644 x 3840 4K, 120Hz, HDR10+ | 6.8″ Dynamic AMOLED 2X, 1440 x 3088, 120Hz, HDR10+ | 6.73″ AMOLED LTPO, WQHD+, 120Hz, Dolby Vision |
Snapdragon 8 Gen 2 (4nm) 1x 3.2 GHz Cortex-X3 2x 2.8 GHz Cortex-A715 2x 2.8 GHz Cortex-A710 3x 2.0 GHz Cortex-A510 | Snapdragon 8 Gen 2 (4nm) 1x 3.36 GHz Cortex-X3 2x 2.8 GHz Cortex-A715 2x 2.8 GHz Cortex-A710 3x 2.0 GHz Cortex-A510 | Snapdragon 8 Gen 2 (4nm) 1x 3.2 GHz Cortex-X3 2x 2.8 GHz Cortex-A715 2x 2.8 GHz Cortex-A710 3x 2.0 GHz Cortex-A510 |
Adreno 740 | Adreno 740 | Adreno 740 |
12 GB RAM LPDDR5X 256 GB UFS 4.0 | 12 GB RAM LPDDR5X 512 GB UFS 4.0 | 6 GB RAM LPDDR5 128/256/512 GB NVMe |
52MP, f/1.9, OIS (Sudut Lebar) 12MP, f/2.3 f/2.8, OIS (Telefoto) 12MP, f/2.2 (Sudut Ultra-Lebar) | 200MP f/1.7, OIS (Sudut Lebar) 12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) 10MP f/2.4, OIS (Telefoto 3X) 10MP f/4.9, OIS (Telefoto 10X) | 50 MP, 1″, f/1.9 – f/4.0, HyperOIS (Sudut Lebar) 50 MP, f/1.8, (Sudut Ultra-Lebar + Makro 5sm) 50 MP, f/1.8, OIS, 3.2x zum optikal (Telefoto) 50 MP, f/3.0 (Super Telefoto) |
12MP, f/2.0 | 12MP, f/2.2 | 32MP, f/2.0 |
Ada bicu audio 3.5mm | Tiada bicu audio 3.5mm | Tiada bicu audio 3.5mm |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
5,000 mAh Pengecasan pantas 30W | 5000 mAh Pengecasan pantas 45W | 5000 mAh Pengecasan pantas 90W |
RM 6399 (8/256 GB) | RM 5699 (12/256GB) RM 6699 (12/512GB) RM 7199 (12/1000GB) | RM5199 (12/512 GB) |
Dalam Kotak
Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.
- 1x Sony Xperia 1 V
- 1x Manual
[inf]o] Baca – Sony Xperia 1 V Hanya Hadir Menyertakan Telefon Dan Buku Panduan Sahaja Dalam Kotak Pembelian [/info]
Kesimpulan
Xperia 1 V sebenarnya adalah sebuah peranti mercu yang bagus. Skrin yang sangat mantap, prestasi yang ultra pantas, audio yang terbaik pada peranti mercu serta ciri kamera profesional yang tidak ada pada peranti lain. Sayang sekali, ia tidak sesuai untuk pengguna biasa yang ingin menggunakan kamera secara SOOC (straight out of camera) atau “secara terus dari kamera” kerana pasca-proses yang tidak begitu bagus. Bateri pula tidak tahan lama, pengecasan perlahan dan harga jualan yang tinggi. Bukan itu sahaja, kemas kini perisian juga terhad kepada dua tahun sahaja berbanding pesaing yang mencapai 4 tahun dan ke atas.
Harga jualan RM6399 juga agak mahal untuk majoriti pengguna. Saya tidak menggalakkan orang ramai memiliki peranti ini jika tidak faham akan penggunaan kawalan manual kamera, tidak memiliki kamera nircermin Sony untuk memanfaatkan ciri peranti ini serta tidak boleh membezakan warna dan resolusi pada skrin peranti. Walau bagaimanapun, jika anda seorang peminat setia Sony yang inginkan sistem kamera Alpha pada telefon pintar, Xperia 1 V ialah satu-satunya pilihan terbaik sekarang.
Pro
- Skrin yang cantik, terang dan pantas.
- Prestasi yang baik dan lancar.
- Kualiti speaker yang memuaskan dan masih ada bicu 3.5mm.
- Perisian yang ringkas seakan Android stok.
- Rekaan premium yang sedap dikendalikan.
- Perlindungan IP65/IP68
Kontra
- Kamera yang terlalu kompleks untuk orang kebanyakan.
- Peranti Snapdragon 8 Gen 2 paling panas.
- Tiada sokongan pengecasan pantas.
- Harga.