Cari @ Amanz

Selepas beberapa hari menggunakan Oppo Reno10 Pro 5G sebagai peranti harian, jelas Oppo kini hadir dengan siri telefon pintar yang semakin canggih dan hampir sempurna. Hal ini saya katakan demikian kerana peranti yang ditawarkan kali ini bukan saja menawarkan sistem operasi serta ciri yang lengkap malah ia turut memberikan kepelbagaian dari aspek fotografi kamera pada peranti.

Pada saat artikel ini ditulis, Oppo Reno10 Pro 5G telahpun berada di pasaran dengan harga RM2199 sebuah. Ia adalah model yang lebih mampu milik berbanding Oppo Reno10 Pro+ 5G yang juga telah diulas oleh Amanz minggu lalu.

SPESIFIKASI

Oppo Reno10 Pro 5G
Skrin6.7” AMOLED, FHD+, 120Hz
PemprosesSnapdragon 778G (6nm)
Cip4 X 2.4 GHz Kryo 670 Gold
4 X 1.8 GHz Kryo 670 Silver
Cip GrafikAdreno 642L
RAM12GB RAM (+12GB RAM Maya)
Muatan Dalaman256GB ROM
Kamera Utama50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
32MP f/2.0, 2x Optikal (Telefoto)
Kamera Swafoto32MP f/2.4
Bateri4600mAh
Berwayar 80W
SIM/TelefoniDwi SIM nano / 5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirTiada
Sistem ImbasanImbasan cap jari/Imbasan Wajah
Harga JualanRM 2199 (12GB/256GB)

SKRIN

Artikel ulasan ini saya mulakan dengan menulis tentang rekaan skrin melengkung 3D yang menjadikannya kelihatan premium dan terdapat bulatan kecil di tengah untuk kamera swafoto pada bahagian atas skrin. Bagi tujuan perlindungan, kaca jenis AGC DT Star2 digunakan untuk skrin berserta dengan ‘protective film’ (filem pelindung). Oppo Reno10 Pro ini juga hadir dengan skrin AMOLED 6.7” FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Bukan itu sahaja, tetapan paparan skrin juga boleh diubah mengikut kesesuaian iaitu pada mod 60Hz, 120Hz atau secara automatik.

Semasa saya menggunakan peranti ini untuk menonton kandungan Youtube pada mod HDR dengan resolusi tinggi, paparan warna dalam kandungan video dapat dibezakan dengan baik dan jelas. Namun, sedikit ralat apabila peranti ini tidak menyediakan sokongan HDR untuk kandungan video di Netflix sedangkan saya percaya ramai di kalangan pengguna hari ini gemar menonton Netflix pada telefon pintar kerana lebih mudah untuk diakses dimana-mana.

Tetapi apa yang boleh saya katakan, meskipun tanpa HDR, paparan kandungan video di platform Netflix masih lagi dapat ditonton dengan baik dan jelas dari segi warna, kontras dan perbezaan yang diperlihatkan pada peranti lain yang menyokong HDR pada kandungan Netflix tidaklah begitu ketara. 

PENGIMBAS CAP JARI

Realme menggunakan pengimbas cap jari di bahagian bawah skrin. Fungsi cap jari pada peranti ini berfungsi dengan baik dan dapat mengesan jari dengan pantas dalam keadaan jari yang bersih dan tidak basah. 

REKAAN

Oppo Reno 10 Pro 5G adalah sebuah peranti kelas pertengahan yang memiliki kemasan yang sangat baik, cantik, ringan (185 gram) dan juga nipis (7.89mm). Peranti ini selesa di tangan kerana saiznya yang tidak begitu besar dan tidak begitu kecil malah sesuai jika ingin diletakkan di dalam poket. 

Pada pandangan pertama ketika saya melihat Oppo Reno10 Pro, rekaan peranti ini saya rasakan kelihatan sangat premium dan penuh gaya. Di sini ia secara tak langsung memperlihatkan usaha Oppo dalam menghasilkan sebuah peranti yang bukan saja cemerlang dalam aspek keupayaan kamera malah baik dari segi rekaan.

Terdapat dua pilihan warna untuk peranti ini iaitu warna ‘glossy purple’ dan juga ‘silvery grey’. Yang saya terima ialah warna ‘silvery grey’ dan secara peribadi saya sangat sukakannya. Tambahan lagi, rekaan belakang peranti yang memiliki kemasan seakan baldu dan saya menganggapnya sebagai suatu yang unik dan jarang saya jumpa pada peranti lain. 

PERISIAN & PENGGUNAAN

Cip pemprosesan Snapdragon 778G digunakan pada peranti. Gabungan memori 12GB dengan kebolehan menyokong RAM maya sehingga 12GB. Kemudian storan dalaman yang dimiliki oleh peranti ini adalah sebesar 256GB. Peranti ini juga menggunakan sistem operasi ColorOS 13.1 dengan berasaskan Android 13

Sistem Operasi ColorOS 13.1 berasaskan Android 13 yang digunakan pada peranti secara asasnya memberikan pengalaman penggunaan yang lancar. Sistem operasi yang didatangkan di dalam peranti ini juga melengkapkan peranti dengan aplikasi-aplikasi asas daripada Google. 

Tetapi cip pemprosesan Snapdragon 778G yang digunakan pada peranti bukan lagi cip kelas pertengahan yang terbaik kerana ia merupakan cip pemprosesan yang sudah agak berusia jika dibandingkan dengan Snapdragon 782G dan Snapdragon 7 Gen 1. Tetapi apa yang lebih utama ialah peranti ini menyokong rangkaian 5G yang kini menjadi ciri ‘wajib’ yang perlu ada pada setiap peranti di Malaysia di hari ini. 

Seperti yang saya katakan tadi, Oppo juga menawarkan peranti ini dengan memori 12GB RAM dan 256GB serta terdapat ciri Extended RAM yang membolehkan pengguna menambah sehingga 12GB RAM lagi secara maya dengan pilihan 4GB, 8GB dan 12GB. Ini menjadikan ia boleh mencapai sehingga 24GB RAM untuk sebuah peranti dan ini saya rasakan lebih dari cukup untuk menjadikannya sebagai peranti harian. 

Ciri-ciri dan fungsi lain yang saya gemari pada peranti ini antaranya ialah:

  • Smart Sidebar – Aplikasi kegemaran dapat diakses dengan lebih cepat menerusi tab pada bahagian sisi skrin peranti.
  • Split Screen/Flexible Windows – Dua aplikasi dapat dijalankan secara serentak.
  • Quick Return – Membolehkan pengguna bertukar penggunaan aplikasi dengan pantas hanya dengan mengetik pada tetingkap.
  • Kid Space – Menjadikan penggunaan peranti lebih selamat untuk kanak-kanak. 
  • Flexible Windows – Dua aplikasi dapat dilancarkan secara serentak atau mengapungkan lebih daripada satu aplikasi di skrin menggunakan multi-tingkap. 

PENANDA ARAS

Berdasarkan ujian penanda aras utama iaitu Antutu 3D, Geekbench 6 dan 3D Mark menunjukkan markah yang boleh dikelaskan sebagai suatu penanda aras yang baik. Di sini saya sertakan bersama markah penanda aras untuk Poco X5 Pro 5G dan Samsung Galaxy A73 5G sebagai perbandingan kerana ketiga-tiga peranti ini menggunakan jenis cip pemproses yang sama. 

Geekbench 6

  • Oppo Reno 10 Pro 5G – 919/2708
  • Poco X5 Pro 5G – 718/2892
  • Samsung Galaxy A73 5G – 736/2740

AnTuTu 3D

  • Oppo Reno 10 Pro 5G – 572,283
  • Poco X5 Pro 5G – 529,942
  • Samsung Galaxy A73 5G – 477,570

Wild Life

  • Oppo Reno 10 Pro 5G – 2474
  • Poco X5 Pro 5G –  tidak boleh diuji
  • Samsung Galaxy A73 5G – tidak boleh diuji

Sepanjang menggunakan peranti ini tiada masalah atau isu tentang prestasi dan yang paling penting adalah meskipun saya membuka banyak aplikasi dalam satu masa dan bertukar-tukar penggunaan aplikasi, tiada isu lengah masa atau tersekat-sekat. Pengalaman menggunakan media sosial dan juga permainan video serta menonton video adalah lancar, baik dan jelas. Tidak berlaku sebarang masalah pemanasan yang melampau pada peranti sepanjang penggunaan walaupun saya menggunakan peranti untuk memainkan permua pada resolusi yang tinggi. 

KAMERA

Fokus utama peranti adalah pada bahagian kamera di mana ia didatangkan dengan persediaan tiga kamera di bahagian belakang iaitu 50MP sudut lebar, 32MP untuk telefoto dan 8MP lensa ultra-lebar. Lensa utama kamera 50MP itu tadi dapat mengambil gambar dengan hasil yang cantik dan setiap keperincian pada gambar tersebut dijaga dengan baik. Bukan itu saja, warna serta ketajaman pada hasil tangkapan gambar menggunakan Oppo Reno10 Pro juga tidak mengecewakan. 

Malah, ciri pestabilan Imej Optikal (OIS) juga berfungsi dengan sangat baik. Misalnya jika tangan bergegar semasa mengambil gambar, dengan sokongan OIS hasil tangkapan masih lagi akan terlihat cantik, tidak kabur dan stabil. Tangkapan sudut ultra lebar juga adalah bagus di mana ia memberikan keperincian dalam hasil tangkapan yang mencukupi walaupun setelah menggunakan ciri zum. 

Seterusnya, kita beralih kepada ciri istimewa yang tersedia dalam kamera peranti ini iaitu ciri ‘Potrait Expert’ dengan lensa kamera 32MP untuk telefoto. Fungsi ‘Potrait Expert’ ini membolehkan anda untuk mengambil gambar potret dengan dengan hasil keperincian yang sangat baik serta ia dapat mengesan wajah dengan sangat cemerlang. Meskipun gambar potret diambil dengan fungsi 2x zum optik tetapi kamera masih dapat memberikan hasil tangkapan yang cantik, jelas dengan latar belakang yang kabur.

Saya bersedia sekiranya ada ralat pada ciri kabur di bahagian latar belakang dan bakal menjejaskan subjek kerana perkara ini kerap berlaku pada peranti lain, namun masalah tersebut tidak berlaku pada kamera Oppo Reno10 Pro dengan fungsi ‘Potrait Expert’. 

Kemudian kamera swafoto peranti ini pula didatangkan dengan sensor RGBW 32MP dan menyediakan ciri zum dengan pilihan 0.8x hingga 1x. Kualiti hasil gambar swafoto juga tidak mengecewakan, berada pada tahap baik. 

Oppo Reno 10 Pro 5G ini juga membenarkan anda untuk merakam video dengan resolusi 4K pada 30fps, 60fps untuk rakaman video HD Penuh dan rakaman HD pada 60fps serta 30fps manakala untuk rakaman video swafoto pula boleh dilakukan pada 30fps dalam resolusi FHD.

BATERI

Bateri 4600mAh adalah kapasiti bateri yang digunakan pada Oppo Reno10 Pro ini dan jangka hayat bateri boleh bertahan sepanjang hari selepas dicas sepenuhnya. Bacaan SOT adalah sekitar 5 hingga 6 jam untuk kadar penggunaan biasa seperti melayari media sosial, menonton video dan mendengar muzik. 

Sokongan pengecasan 80W juga tersedia dan berdasarkan pengalaman sepanjang penggunaan, masa yang diperuntukkan untuk mencapai peratusan pengecasan penuh 100% dari 20% hanyalah mengambil masa lebih kurang 30 minit. Malah cip pengurusan kuasa SuperVOOC S untuk tujuan pengecasan yang selamat juga melengkapkan lagi ciri bateri pada peranti ini. Kepala pengecas juga diberikan bersama kabel USB-A ke USB-C berwarna putih.

PERANTI PESAING

Oppo Reno10 ProPoco X5 Pro 5GSamsung Galaxy A73 5G
6.7” AMOLED, 1080 X 2412, 120Hz, (394 PPI),HDR10+6.67″ SAMOLED, 1080 x 2400, 120Hz, (395 PPI), Dolby Vision6.71” SAMOLED, 1080 X 2400, 120Hz, (393 PPI), HDR10+
Snapdragon 778G (6nm)
4 X 2.4 GHz Kryo 670 Gold
4 X 1.8 GHz Kryo 670 Silver
Snapdragon 778G (6nm)
4 X 2.4 GHz Kryo 670 Gold
4 X 1.9 GHz Kryo 670 Silver
Snapdragon 778G (6nm)
4 X 2.4 GHz Kryo 670 Gold
4 X 1.9 GHz Kryo 670 Silver
Adreno 642LAdreno 642LAdreno 642L
12GB RAM6/8 GB RAM 8 GB RAM
256 GB UFS 2.2128/256 GB UFS 2.2256 GB UFS 2.2
(Mikro SD 1TB)
Kamera Utama
50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
32MP f/2.0, 2x Optikal (Telefoto)
Kamera Utama
108MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar)
8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
2MP f/2.4 (Makro)
Kamera Utama
108MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
12MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar)
5MP f/2.4 (Makro)
5MP f/2.4 (Kedalaman)
Kamera Hadapan
32MP f/2.4
Kamera Hadapan
16MP f/2.4
Kamera Hadapan
32MP f/2.2
Tidak kalis airTidak kalis airIP67
Tiada Bicu AudioBicu audio 3.5mmTiada Bicu Audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
4600 mAh (Berwayar 80W)5000 mAh (Berwayar 67W)5000 mAh (Berwayar 25W)
RM 2199 (12/256GB)RM 1299 (6/128GB)
RM 1499 (8/256GB)
RM 2099 (8/256GB)

APA DI DALAM KOTAK ?

Berikut adalah senarai apa yang ada di dalam kotak dengan setiap pembelian Oppo Reno10 Pro:

  • 1x Oppo Reno10 Pro
  • 1x Kerangka pelindung
  • 1x Pengecas 80W
  • 1x Kabel USB-A ke USB-C
  • 1x Pin SIM
  • 1x Set buku panduan dan keselamatan

KESIMPULAN

Oppo Reno10 Pro adalah sebuah peranti yang memberikan fokus utamanya kepada kamera walau bagaimanapun Oppo masih tidak mengabaikan aspek rekaan, ciri dan fungsi yang ditawarkan menerusi siri Reno mereka kali ini. Pada hemat saya, telefon pintar Oppo10 Pro ini juga pastinya mampu memberikan kepuasan kepada pengguna dari aspek prestasi dan khususnya buat mereka yang sukakan seni fotografi potret. 

Namun, saya secara peribadi merasakan harga bagi sebuah peranti iaitu RM2199 adalah adalah agak mahal kerana cip pemproses yang digunakan oleh peranti ini adalah cip pemproses yang agak berusia dan tiada ciri kalis air. Walhal, banyak telefon pintar di pasaran dengan harga yang lebih rendah menyediakan ciri berkenaan. 

Pro

  • Rekaan kemas, premium dan nampak bergaya
  • Kamera dengan fungsi potret yang sangat jelas dan berkualiti.
  • Pengecasan pantas untuk kandungan bateri penuh kurang daripada 30 minit. 
  • Paparan yang baik.

Kontra

  • Tiada lubang bicu audio 3.5mm
  • Perlu mengeluarkan wang tambahan untuk mendapatkan fon telinga berwayar. 
  • Tiada sokongan HDR untuk Netflix.
© 2023 Amanz Media Sdn Bhd