Realme 11 5G telah dilancarkan secara rasmi untuk pasaran global bermula di Taiwan. Terdapat perubahan ketara yang dilakukan pada peranti ini, baik untuk aspek reka bentuk, kemasan mahupun perkakasan dalaman.

Bermula dengan reka bentuk, peranti dilihat menggunakan tubuh dan skrin rata bersama panel belakang yang menempatkan bonggol kamera bulat. Panel belakangnya juga dilihat berkilat dan bukannya sejenis kulit seperti yang digunakan pada model di China sebelum ini.
Saiz skrin pula sebesar 6.72-inci IPS LCD FHD+ yang juga menyokong kadar segar semula 120Hz. Ini digabungkan lagi dengan kamera swafoto 16MP yang diletakkan pada lubang kecil di skrin hadapan. Sistem kamera utamanya pula terdiri dengan 108MP ISOCELL HM6 dan 2MP bagi tujuan kedalaman.

Seterusnya cip MediaTek Dimensity 6100+, memori 8GB RAM dan storan dalaman 256GB digunakan untuk tunjang utama peranti. Dalam masa sama peranti turut dimuatkan bateri 5000mAh dengan sistem pengecasan pantas 67W. Harga jualan peranti adalah TWD8,9990 dengan pilihan warna Black dan Gold diberikan.

Dalam perkembangan berbeza, Realme 11 5G juga telah ditemui tersenarai di laman pensijilan SIRIM Malaysia. Ia muncul dengan kod nama RMX3780 (realme 11 5G) dan telah didaftarkan oleh DTL Malaysia sejak 27 Julai yang lalu. Ini sekaligus memberi petanda pelancarannya boleh diadakan dalam masa terdekat. Namun tidak dapat dipastikan pula mengenai perkakasan dalaman buat masa ini.