Cari @ Amanz

Kami mengikuti rombongan media Malaysia bagi menghadiri pelancaran Samsung Galaxy Z Fold5 dan Z Flip5 di Korea Selatan minggu lalu. Selain menghadiri acara Unpacked, kami juga dibawa ke kampus Samsung Digital City yang terletak di Suwon. Di sini terletak Samsung Innovation Museum (SIM) yang menempatkan artifak bersejarah Samsung sejak mereka ditubuhkan pada tahun 1938.

SIM ialah muzium yang terletak di dalam kampus seluas lima padang bola sepak dan menempatkan lebih 36,000 pekerja Samsung. Ia setinggi lima tingkat dengan ia mempunyai ruang pameran untuk produk serta tarikh penting dalam sejarah Samsung, inovasi penting dalam sejarah manusia dan panggung yang menunjukkan visa masa depan Samsung.

Di tingkat pertama diletakkan History Hall yang menunjukkan sejarah Samsung yang ditubuhkan 1938 dengan pembukaan kedai menjual ikan kering, sayur-sayuran dan mi. Di dewan yang sama asal usul nama syarikat Samseong dijelaskan. Ia gabungan “Sam” yang bermaksud tiga dan “Seong” untuk bintang. Angka tiga dianggap bertuah oleh warga Korea sama seperti angka lapan bertuah untuk bangsa cina. Bintang pula ialah simbol kepada sesuatu yang kekal selama-lamanya.

Antara artifak menarik di History Hall ialah produk pertama mereka sebuah TV hitam putih pada tahun 1972, komputer riba, peti sejuk, mesin basuh dan sistem audio. Turut dapat dilihat ialah iterasi logo-logo yang pernah mereka gunakan serta beberapa obor daripada beberapa acara sukan Olimpik yang ditaja oleh Samsung.

Apa yang kami rasakan menarik ialah melihat Samsung sudah menghasilkan komputer desktop, komputer riba dan kamera video sejak 1980an. Ramai mungkin mempunyai persepsi ini dilakukan mereka selepas tahun 2000. Bagi peminat teknologi TV pula menarik melihat evolusi saiz TV. Empat dekad yang lalu TV sebesar 20 inci sudah dianggap cukup besar. Sekarang TV 55 inci sudah dianggap sebagai agak kecil. Tahun lalu kami berpeluang menggunakan Samsung The Wall sebesar 146″ yang dijual pada harga lebih RM1.23 juta. Apakah agaknya inovasi saiz TV di dekad-dekad akan datang?

Seterusnya terdapat pameran Seeds of Innovation yang menyentuh penemuan manusia dalam teknologi elektrik, lampu, telekomunikasi dan peralatan rumah. Terdapat sejarah mengenai tokoh seperti Isaac Newton, Michael Faraday dan Nicola Tesla. Penyampaian maklumat adalah unik kerana menggunakan skrin sesentuh lutsinar. Maklumat dipaparkan di hadapan artifak yang dicipta oleh tokoh-tokoh ini. Kami tidak pernah melihat teknologi skrin sesentuh lutsinar digunakan di muzium sebelum ini.

Di dewan Core of Innovation pula terdapat pameran produk televisyen, semikonduktor dan telefon mudah alih yang pernah dihasilkan. Artifak menarik di sini ialah pelbagai jenis televisyen yang pernah dikeluarkan Samsung boleh dilihat di bawah satu bumbung. TV 3D, HD, 4K, melengkung, OLED, LED dan TV klasik dengan pintu kayu dipamerkan.

Salah satu TV di ruangan ini ialah yang dikeluarkan Samsung menerusi pelesenan dengan Sanyo. Ramai mungkin sudah tidak mengingati suatu ketika dahulu Sanyo ialah jenama yang sangat popular tetapi kini produk mereka sukar hampir pupus di pasaran.

Sebuah dinding di dewan ini dikhaskan untuk inovasi telefon mudah alih Samsung. Dua peranti yang menarik minat kami ialah SPH-WP10 dan Matrix Phone. SPH-WP10 ialah jam tangan pertama yang boleh melakukan panggilan telefon seperti daripada komik Dick Tracy. Matrix Phone pula adalah telefon mudah alih edisi terhad yang dihasilkan khusus untuk filem Matrix Revolution pada tahun 2005. Hanya 5000 unit pernah dihasilkan dan dijual kepada peminat filem ini.

Di ruangan lain terdapat tayangan filem pendek mengenai visi dunia masa depan Samsung. Malang sekali kami tidak dibenarkan untuk merakam gambar pada ruang pameran ini. Terdapat sebuah lagi ruang untuk produk terkini Samsung tetapi kami tidak melawatnya kerana kekangan masa.

Samsung Innovation Museum terbuka percuma kepada orang ramai cuma mereka yang berminat perlu meminta kebenaran sekurang-kurangnya tiga hari sebelum pergi. Bagi peminat teknologi lebih-lebih

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd