Ulasan Samsung Neo QLED 8K QN800C – Bila TV Harga Setanding Kereta
Effi Saharudin
Bulan lalu tular berita kereta Perodua Axia yang ditawarkan pada harga RM22,000 sebuah yang menjadikannya kereta termurah di pasaran sekarang. Hari ini tiba giliran kami mengulas pula Samsung Neo QLED 8K QN800C yang harganya sedikit lebih mahal berbanding Perodua Axia.
Apakah yang anda dapat pada sebuah TV yang lebih mahal berbanding sebuah kereta marhaen? Adakah berbaloi? Apa pula kekurangannya? Serta kami cuba menjawab persoalan apakah saiz TV paling bagus untuk kegunaan di rumah. Semua ini akan dijawab menerusi ulasan penuh di bawah.
SPESIFIKASI
| Samsung Neo QLED 8K QN800C | |
|---|---|
| Saiz Skrin | 75-inci |
| Resolusi | 7,680 x 4,320 pixel (100Hz) |
| Panel | Neo QLED |
| Pemproses | Neural Quantum Processor 8K |
| GPU | ? |
| RAM | ?GB RAM |
| Storan | 5GB |
| Sistem Operasi | Tizen Smart TV OS |
| HDR | Ya / HDR10+ |
| Keterangan Maksimum | 2000 nits |
| Audio | 70W, 4.2.2 Dolby Atmos |
| I/O | 4x HDMI 2.1, 3x USB-A 2.0, 1x USB-C,RF, Optical Audio |
| DTTV | Ya/DVB-T2 |
| Pembantu Maya | Bixby |
| Internet | LAN/ WiFi 6E |
| Bluetooth | BT 5.2 |
| Chromecast | Ya |
| AirPlay 2 | Ya |
| Saiz | 1668.3 x 1023.8 x 286.4 mm (dengan tapak) |
| Berat | 43.7 kg (dengan tapak) |
| Harga Jualan | RM 26,999 |
REKAAN
Model QN800C yang kami ulas ini adalah sebesar 75″ yang merupakan model pertengahan. Samsung menawarkan QN700C dengan skrin 65″ dan QN900C dengan skrin 85″. Hanya saiz skrin sahaja berbeza dengan komponen serta ciri yang ditawarkan adalah sama. Skrin mempunyai bezel yang nipis dengan panel tubuh logam mengelilingi panel 75″ dari keluarga Neo QLED.
Neo QLED ialah panel paling terkini ditawarkan oleh Samsung kepada konsumer dan dilihat sebagai alternatif lebih baik berbanding LED yang sudah berusia dan OLED yang mempunyai isu pixel terbakar jika TV memaparkan imej statik untuk tempoh masa yang lama.

Dari hadapan tiada perbezaan QN800C dengan Samsung S95B yang baru sahaja diulas oleh Aksiz baru-baru ini. Tubuhnya nipis apabila dilihat dari sisi dan kami rasakan hanya setebal sebuah Samsung Galaxy S23 Ultra. Ini membuatkannya kelihatan cantik lebih-lebih lagi jika anda bercadang untuk menggantungnya pada dinding menggunakan cagak VESA (400x400mm). Tiada isu ia akan tersembul keluar secara melampau.
Tubuh yang nipis ini dicapai kerana komponen utama QN800C diletakkan dalam kotak One Connect yang disambung secara berasingan. Dalam mod biasa One Connect disambung kepada plat khas di belakang tapak besi yang disertakan dengan setiap pembelian QN800C. Jika anda menggantungkannya pada dinding, hanya satu kabel nipis perlu disambungkan ke belakang TV dan ia kemudiannya disambungkan pula ke kotak One Connect.

Pada One Connect terdapat dekoder TV digital DVB-T2, 4X HDMI 2.1, 3X USB-A 2.0, 1X USB-C, 1X RJ45 LAN dan 1X sambungan antena RF. Kotak ini kemudiannya boleh diletakkan sehingga 2 meter daripada TV menggunakan kabel yang disertakan. Bagi mereka yang tidak gemar melihat kabel berselirat, sistem One Connect ini memudahkan pelbagai wayar kuasa dan HDMI disorok.
Tapak TV adalah dari jenis logam berbentuk huruf “L” dengan bahagian pelapik yang nipis. Ini adalah rekaan tapak kegemaran kami kerana pelbagai aksesori seperti soundbar, konsol, dekoder TV satelit dan Apple TV boleh diletakkan di bawah TV tanpa sebarang halangan ruang.

Ruang antara kaki dan bahagian bawah TV ialah setinggi 110mm yang cukup besar untuk meletakkan soundbar, PlayStation 4, decoder Astro Ultra Box, modem Internet, Apple TV 4K dan Mac Mini. Sungguhpun begitu masih tidak ada cukup ruang untuk sebuah konsol PlayStation 5 dan Xbox Series X.

Sokongan Internet pula adalah menerusi LAN atau WiFi 6E. Ini satu lagi ciri yang perlu kerana untuk memastikan kandungan 8K HDR boleh distrim dengan lancar, internet yang pantas diperlukan. Pelbagai aksesori lain boleh disambung dengan tambatan bluetooth 5.2.
PENGGUNAAN DAN KUALITI VISUAL
Kualiti visual amat-amat memuaskan. Panel Neo QLED 8K pada QN800C memaparkan imej yang sangat tajam, warna yang realistik dan keterangan yang boleh membakar retina mata kerana mencecah 2000 nits. Apa yang anda mahu tonton pada QN800C ia boleh paparkan dengan cemerlang.

Semua platform penstriman utama disokong dengan sistem HDR10+ yang dinamik. Ya kami tahu ada yang mahukan Dolby Vision tetapi Samsung berkali-kali mengatakan mereka akan kekal dengan HDR10+ kerana mereka antara penyokong format ini sejak dari awal. Walaupun bukan Dolby Vision, imej yang hidup masih dapat dinikmati. Kami masih merasakan Dolby Vision ialah format yang lebih sinematik tetapi jika tiada sekalipun HDR10+ masih berguna.

Tiada isu ghosting yang ketara walaupun ketika menonton babak aksi pantas atau dalam sesi gaming. Kami akan sentuh mengena prestasi gaming dengan lebih mendalam di segmen tersendiri di bawah nanti. Samsung turut menyertakan ciri Filmmaker Mode bagi mereka yang ingin memastikan filem yang ditonton adalah pada format yang sepatutnya. Dalam mod ini warna tidak akan dinaikkan sehingga melampau dan kadar bingkai dihadkan ke 24 FPS.

Panel skrin yang mempunyai lapisan anti silau banyak membantu khususnya pada waktu siang. Sungguhpun begitu panel Neo QLED mempunyai sudut pandangan yang cukup baik dan tiada isu untuk melihat apa yang terpapar pada skrin.
Isu yang ada mungkin hanyalah warna hitam yang dipaparkan tidak selegap yang boleh dilihat pada panel OLED. Sedikit kesan blooming juga dapat dilihat kerana panel Neo QLED masih memerlukan sumbar cahaya LED di belakang tidak seperti OLED. Tetapi kami rasakan kedua-dua “isu” ini terlalu kecil jika dilihat pada keseluruhan kemampuan panel ini.

Kami boleh katakan untuk visual terbaik, tontonlah kandungan natif 8K seperti yang ada di YouTube. Kandungan 4K dan 1080p boleh dipaparkan dengan baik tetapi boleh dilihat kesan upscale seperti colour banding pada warna serta kesan hingar ketara. Ini hanya akan dapat diselesaikan apabila wujud semakin banyak platform yang menawarkan kandungan 8K. Kandungan 720P dan ke bawah malang sekali masih kelihatan pecah kerana halangan teknologi pada waktu ini.
GAMING
Prestasi skrin untuk gaming pula adalah yang terbaik pernah kami lihat pada TV yang tiba ke makmal Amanz. Empat input HDM 2.1 membolehkan empat konsol/PC disambungkan terus pada TV pada resolusi 4K 120Hz. Kami sempat menguji QN800C dengan Xbox Series X dan PlayStation 5. Seperti diiklankan visual pada dua konsol ini boleh dinikmati pada resolusi dan kadar bingkai tinggi ini.

Terdapat hab gaming khusus yang membolehkan nisbah skrin ultra lebar, mod untuk permainan berbeza (FPS, MMO, perlumbaan dll) diakses, ALLM, FreeSync Premium Pro dan mengurangkan lengah input boleh dikawal secara setempat. Terdapat sokongan penstriman GeForce Now cuma kami tidak sempat mengujinya kerana bukan pelanggan Yes 5G serta Samsung Malaysia sendiri mengesahkan tidak menyokong ciri ini secara rasmi di Malaysia.

KUALITI AUDIO
Speaker dengan saluran 4.4.2 serta output 70W menyokong Dolby Atmos dan DTS TruSurround. Kualiti audio yang dikeluarkan adalah amat baik. Mungkin yang terbaik pernah kami dengar sejak mula mengulas televisyen.

Audio terasa hidup dengan suara dapat didengari dengan jelas walaupun dalam babak yang bising. Dentuman bass juga baik cuma kurang kuat kerana tiada sistem subwoofer berasingan. Kesan Dolby Atmos pada hemat kami tidak begitu menjadi dengan audio yang sepatutnya datang dari atas tidak ketara dalam beberapa filem yang kami tonton.
Kami kemudian menambah QN800C kepada sebuah soundbar Samsung HW-Q800C. Hasilnya audio yang lebih mantap dapat dinikmati. Apabila dipadankan dengan soundbar keluaran mereka sendiri, audio Dolby Atmos boleh digunakan secara nirwayar. Lebih penting lagi pemasangan adalah mudah dan kedua-dua soundbar dan speaker TV boleh berfungsi serentak dengan ciri Q-Symphony.
TIZEN SMART TV OS
Tizen Smart TV OS ialah sistem operasi paling dominan kerana pegangan Samsung yang cukup besar dalam pasaran TV pintar dunia. Oleh sebab itu pelbagai aplikasi penting boleh dimuat turun menerusi stor aplikasi. Secara lalai YouTube, Netflix, Disney+ Hotstar dan Prime Video telahpun terpasang.
Aplikasi lain seperti Apple TV, Astro, HBO Go, Curiosity Stream, Nebula, iQiyi, Viu, Twitch, TikTok, WeTV, Sooka, Spotify, Apple Music dan banyak lagi boleh dimuat turun. Semuanya berfungsi tanpa isu sepanjang tempoh ulasan selama dua minggu.

Malahan terdapat sokongan Google Meet bagi mereka yang ingin menggunakan QN800C sebagai TV telesidang. Pengguna diberikan pilihan menggunakan telefon pintar Samsung sebagai kamera atau menyambung kamera web Logitech ke port USB-C.
Isu kami dengan Tizen OS sebelum ini ialah ianya terasa agak lambat dengan isu lengah masa sekiranya banyak aplikasi dilancarkan di latar belakang. Kami hanya sedari isu ini pada hari pertama TV diaktifkan. Selepas itu aplikasi boleh dilancarkan dengan pantas dan diakses menggunakan ciri multi tugas tanpa isu besar. Ia lebih lancar jika dibandingkan dengan pengalaman kami menggunakan Chromecast with Google TV.Tiada maklumat mengenai pemproses Neural Quantum Processor 8K yang digunakan ataupun saiz RAM. Yang disenaraikan ialah storan sebesar 4GB sahaja.

Kerana ia sebuah TV Samsung, maka ia berfungsi dengan baik apabila dipadankan dengan ekosistem Samsung. Sebagai contoh Samsung DeX secara nirwayar boleh digunakan lengkap dengan Multi View. Dengan Multi View, sehingga empat input seperti satu daripada YoTube, Netflix, Spotify dan satu lagi daripada telefon pintar Samsung Galaxy boleh dipaparkan serentak pada skrin. Pengguna boleh menyusun saiz skrin, dan posisi setiap skrin apabila menggunakan mod gambar-dalam-gambar ini.
Bagi pengguna Samsung SmartThings pula, pelbagai peranti internet benda (IoT) boleh dikawal terus daripada QN800C. Sebagai contoh dengan arahan suara Bixby, sebuah Routine boleh diprogramkan.

Katakanlah arahan suara “Movie Time” diprogramkan, QN800C akan terus membuka Netflix dengan Filmmaker Mode, lampu ruang tamu dimatikan, langsir rumah ditutup dan sistem penyaman udara memasuki mod senyap. Kerana SmartThings turut menyokong piawaian Matter sekarang, peranti IoT lain juga boleh dikawal terus daripada QN800C.
Ciri lain yang disertakan ialah Ambient Mode yang memaparkan animasi pada skrin TV apabila ia tidak digunakan sebagai TV. Imej karya seni terkemuka juga boleh dipaparkan sebagai screensaver dalam mod ini.

Kepada pengguna ekosistem Apple pula, AirPlay 2 juga boleh digunakan untuk menyiarkan kandungan MacBook, iPhone dan iPad terus pada TV. Bagi yang mempunyai akaun Microsoft 365, penstriman komputer terus ke PC juga boleh dilakukan. Dengan kata lain QN800C bukan sahaja cemerlang sebagai pusat hiburan dan gaming di rumah tetapi juga boleh digunakan untuk kerja bagi mereka yang diberikan kebebasan WFH.

ALAT KAWALAN JAUH
Alat kawalan jauh adalah dari jenis Smart Remote yang boleh mengawal bukan sahaja QN800C tetapi aksesori lain yang disambungkan kepada TV. Ia adalah bersaiz kecil dengan jumlah butang yang minimalis. Empat pintasan pantas adalah untuk Netflix, Prime Video, Disney+ Hotstar dan pelayar web Samsung Internet.

Smart Remote amat mudah digunakan kerana intuitif. Semua label ikon mudah difahami. Keistimewaannya ialah ia tidak memerlukan bateri AAA. Sebaliknya ia mempunyai terbina yang boleh dicas menggunakan kabel USB-C, sinar matahari dan gelombang radio di rumah. Sejak diulas, kami tidak pernah lagi diberikan amaran kekurangan bateri.
KESIMPULAN
Samsung Neo QLED 8K QN800C ialah TV terbaik pernah kami ulas setakat ini kerana visual mantap, audio amat memuaskan, sokongan gaming terbaik, ciri tambahan yang berguna dan dipadankan dengan rekaan yang cantik. Ia adalah sehampir mungkin kepada kesempurnaan visual bagi mereka yang inginkan TV besar di rumah.

Kekurangannya ialah tiada Dolby Vision dan panel Neo QLED masih belum sebaik panel OLED pada hemat kami. Warna hitam lebih legap dan warna lebih hidup masih memihak pada panel OLED. Satu-satunya TV yang kami letakkan di atas QN800C ialah The Wall yang sebesar 146″ dan dijual pada harga RM1.23 juta.
Dengan harga jualan bermula RM22,699 sebuah memang ia bukan TV untuk marhaen. Tetapi QN800C ialah seperti sebuah kereta lumba eksotik. Untuk menikmati kualiti visual tahap mercu dan dipadankan pula dengan ciri tambahan canggih, memang anda perlu berbelanja lebih.
Pro
- Skrin yang cukup besar untuk memberikan pengalaman seperti wujud wayang di rumah.
- Kualiti visual yang amat baik keterangan mencecah 2000 nits.
- Sokongan HDR10+.
- Sokongan audio Dolby Atmos.
- Sokongan ekosistem Samsung menerusi Tizen Smart TV OS.
- Pilihan I/O yang memuaskan seperti 4x HDMI 2.1.
Kontra
- Tiada sokongan Dolby Vision.
- Memerlukan peranti Samsung dan pengguna SmartThings untuk dimanfaatkan sepenuhnya.
- Harga yang setanding sebuah kereta.
