Bytedance Disaman Kerana CapCut Didakwa Mencuri Data Sensitif Pengguna
Fahim Zahar
CapCut adalah aplikasi suntingan video yang cukup popular. Ia kini mempunyai sehingga 200 juta pengguna aktif pada setiap bulan. Aplikasi ini kerap digunakan oleh pengguna TikTok dan bagi yang tidak tahu, CapCut juga dimiliki oleh ByteDance iaitu syarikat di sebalik TikTok.
Terbaru, ByteDance telah disaman di Amerika Syarikat atas tuduhan CapCut mencuri data sensitif pengguna. Antara data yang didakwa dicuri adalah imbasan wajah pengguna, suara pengguna, lokasi, tarikh lahir, jantina, gambar dan video milik pengguna, serta data-data peranti termasuk alamat MAC dan nombor siri kad SIM.

Laporan daripada The Record turut menyatakan yang memandangkan Bytedance adalah syarikat berasal dari China – data pengguna tadi mungkin akan dikongsi kepada kerajaan China. CapCut turut didakwa sengaja mereka polisi privasi pengguna agar sukar difahami oleh pengguna yang mengakibatkan pengguna bersetuju untuk menggunakan aplikasi ini tanpa risau akan data mereka dicuri.

Kerajaan Amerika Syarikat sudah bertahun berperang dengan Bytedance dalam mengharamkan aplikasi-aplikasi mereka boleh diakses. Beberapa bulan lepas, Montana menjadi negeri Amerika pertama yang berjaya mengharamkan TikTok dengan kelak turut akan mengharamkan Telegram, WeChat dan CapCut.
Berdasarkan laporan ini, adakah para pembaca Amanz masih berani ingin menggunakan CapCut atau akan beralih ke aplikasi suntingan video lain yang banyak ditawarkan di Play Store?
[sumber] The Record [/sumber]