Cari @ Amanz

Montana menjadi negeri pertama di Amerika Syarikat mengharamkan TikTok daripada beroperasi dalam sempadan negeri. Dalam undang-undang baharu yang ditandatangani oleh Governor Greg Gianforte, operasi TikTok diharamkan kerana didakwa mempunyai hubungan rapat dengan Parti Komunis China untuk mengintip penduduk Montana.

RUU akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2024 dan dijangka akan ditentang kerana melanggar hak bersuara yang termaktub dalam perlembagaan Amerika Syarikat. Bermula 2024, Google Play Store dan Apple App Store tidak boleh menawarkan TikTik pada stor mereka atau berhadapan denda yang dikenakan oleh Montana. Penggunaannya oleh warga Montana masih dibenarkan tanpa sebarang penalti.

TikTok

TikTok sudahpun mengeluarkan kenyataan kesal dengan tindakan Montana dan akan menentangnya di mahkamah. Amerika Syarikat ingin meluluskan Akta RESTRICT (Restricting the Emergence of Security Threats that Risk Information and Communications Technology) yang memberikan kuasa kepada Rumah Putih untuk mengharamkan aplikasi dari luar negara yang dilihat berisiko kepada keselamatan negara.

Montana menjadi negeri pertama yang mengharamkan terus TikTok daripada beroperasi selepas menjadi negeri pertama mengharamkan pemasangan aplikasi pada peranti milik penjawat awam April lalu.

Dalam perkembangan yang sama, bermula 1 Jun pemasangan aplikasi Telegram, WeChat, Temu, CapCut dan Lemon8 turut akan diharamkan daripada peranti milik penjawat awam Montana. Alasan yang sama diberikan kerana didakwa digunakan “musuh Amerika” iaitu China dan Rusia untuk melakukan intipan. Tidak mengejutkan jika kesemua aplikasi ini juga akan diharamkan daripada ditawarkan di Montana dalam masa terdekat sama seperti TikTok.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd