Carian
Qualcomm, Infineon, Nordic, NXP Dan Bosch Tubuh Syarikat Menggalakkan Penggunaan Senibina RISC-V
August 7, 2023 Effi Saharudin

Senibina cip yang paling popular pada waktu ini ialah ARM. Tetapi syarikat yang menggunakan senibina ARM perlu membayar lesen. Oleh itu pada minggu lalu Robert Bosch GmbH, Infineon Technologies AG, Nordic Semiconductor, NXP Semiconductors, dan Qualcomm Technologies, Inc mengumumkan syarikat baharu yang ingin memajukan penggunaan senibina RISC-V bagi memacu perkakasan generasi seterusnya.

Tidak seperti ARM, RISC-V (disebut RISC Lima) boleh digunakan tanpa sebarang lesen kerana ditawarkan secara sumber terbuka. Syarikat baharu ini ditubuhkan di Jerman akan mempercepatkan pengkomersialan produk masa depan berdasarkan seni bina RISC-V.

Ia turut menjadi sumber tunggal untuk membolehkan produk berasaskan RISC-V yang serasi, menyediakan seni bina rujukan, dan membantu mewujudkan penyelesaian yang digunakan secara meluas dalam industri. Tumpuan aplikasi awal adalah dalam industri automotif sebelum juga digunakan pada peranti mudah alih dan IoT.

Google mengesahkan Januari lalu Android akan menyokong senibina RISC-V. Antara penyokong RISC-V ialah Huawei, ZTE, Alibaba Cloud, Tencent, Google, Intel, dan Seagate.

Komen