Cari @ Amanz

Semalam kami telah melaporkan bahawa Intel dijangka akan memperkenalkan siri cip pemprosesan Meteor Lake mereka di acara Intel Innovate pada bulan September kelak. Terkini, butiran mengenai satu lagi siri cip pemprosesan Intel yang akan diperkenalkan, iaitu Raptor Lake Refresh telah tertiris ke arena web.

Perbezaan paling ketara yang dapat dilihat ialah Raptor Lake Refresh masih lagi akan menggunakan nama model lama mereka, iaitu Intel Core i. Dua cip pemprosesan yang tertiris ialah Intel Core i9-14900K dan juga Intel Core i7-14700K. Butiran mengenai dua cip pemprosesan ini diperlihatkan melalui tangkapan layar penanda-aras Bapco.

Untuk Intel Core i9-14900K, CPU ini dilihat mempunyai 24 teras fizikal (8 teras prestasi dan 16 teras kecekapan) dan 32 bebenang kuasa, manakala Intel Core i7-14700K hadir dengan 20 teras fizikal (8 teras prestasi, 12 teras kecekapan) dan 28 bebenang kuasa. Lebih menarik lagi, ia juga dilaporkan bahawa cip Intel Core i9 ini akan hadir dengan kelajuan lewahjam 6.2GHz manakala cip Intel Core i7 akan mempunyai kelajuan lewahjam 5.6GHz.

Kebanyakan laporan sebelum ini juga mengatakan bahawa siri cip Raptor Lake Refresh ini masih lagi akan menggunakan papan induk dengan soket LGA1700, jadi jika anda berfikir untuk menaiktarafkan cip pemprosesan anda dari Alder Lake atau Raptor Lake ke Raptor Lake Refresh, ia hanyalah semudah membeli cip pemprosesan baru.

CPU Intel generasi ke-14 Raptor Lake Refresh dijangka akan diperlihatkan secara rasmi pada bulan Oktober ini, tetapi ada juga kemungkinan bahawa Intel akan menyentuh sedikit mengenainya sewaktu acara Intel Innovation 2023 pada bulan September ini.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd