Vivo Pad Air telah diumumkan di China sekaligus menjadi tablet ketiga yang ditawarkan oleh Vivo setakat ini. Ia dilihat menampilkan rekaan yang menyerupai Vivo Pad 2 sebelum ini, namun sudah semestinya terdapat perbezaan untuk aspek perkakasan dalaman.

Untuk spesifikasi, skrin LCD 11.5″ yang juga menyokong resolusi 2.8K dan kadar segar semula 144Hz digunakan pada tablet ini. Ini digabungkan lagi dengan cip Snapdragon 870 untuk tunjang utama. Namun tidak dapat dipastikan pula mengenai pilihan memori dan storan yang disediakan.
Bateri 8,500mAh yang disertakan pula menyokong pengecasan 44W. Dalam masa sama turut dimuatkan pada tablet ini adalah empat pembesar suara dengan kuasa output 6W. Sokongan beberapa aksesori tambahan seperti stylus dan papan kekunci pintar turut disokong pada tablet untuk pengalaman penggunaan lebih baik.

Vivo Pad Air dilihat sekadar diumumkan sahaja buat masa ini, tanpa sebarang butiran mengenai harga jualan.
- Info
- Sumber – Weibo