Disney+ Turut Akan Menghalang Perkongsian Kata Laluan
Effi Saharudin
Tahun ini Netflix mula menghalang perkongsian kata laluan di kalangan pengguna yang tidak tinggal di alamat yang sama. Ramai yang mengamuk dan mengatakan akan membatalkan langganan Netfix. Tetapi sebaliknya berlaku dengan jumlah pelanggan baharu Netflix meningkat beberapa juta di pasaran Amerika Utara dan Amerika Selatan.

Mungkin melihat kejayaan Netflix meningkatkan pelanggan ini, Disney turut akan mula menghalang perkongsian kata laluan untuk perkhidmatan Disney+. Ini disahkan sendiri oleh CEO Disney Bob Iger ketika pengumuman laporan kewangan syarikat malam tadi.
Disney akan mula memerangi amalan perkongsian kata laluan pada tahun 2024 bagi meningkatkan pendapatan syarikat. Terma dan syarat Disney+ akan dikemaskini pada penghujung tahun ini sebelum pengharaman perkongsian kata laluan akan dikuatkuasakan.
Walaupun pada awal Disney+ mencatatkan jumlah pelanggan yang tinggi, mereka kini berhadapan dengan kerugian kerana penawaran platform penstriman kurang menarik perhatian. Ini tidak dibantu oleh pendapatan filem-filem dunia Marvel Cinematic Universe serta Disney tidak lagi memberangsangkan sejak dua tahun kebelakangan ini.
[sumber] The Wrap [/sumber]