Memori terpantas untuk peranti mudah alih kini berpindah tangan ke Low Power Double Data Rate 5 Turbo (LPDDR5T) keluaran SK Hynix yang dibangunkan dengan kerjasama MediaTek. Modul RAM LPDDR5T berjaya mencatatkan kelajuan pemindahan data pada kadar 9.6 Gbps, berbanding 8.5 Gbps pada LPDDR5X keluaran Samsung tahun lalu.
Peningkatan sekitar 15% ini akan membolehkan peranti beroperasi dengan lebih pantas dan aplikasi juga berfungsi lebih lancar. LPDDR5T dibangunkan kedua-dua syarikat sejak Januari lalu. Menurut SK Hynix, mereka berjaya mencapai kelajuan sepantas ini walaupun industri meramalkan a hanya boleh dilakukan menggunakan format LPDDR6 yang dijangka muncul pada tahun 2026.
Cip pemprosesan pertama yang akan dipadankan dengan LPDDR5T ialah cip MediaTek Dimensity generasi baharu yang belum diumumkan. Mungkin tahun hadapan kita boleh melihat peranti dengan cip Dimensity pula merajai carta penanda aras kerana penggunaan memori lebih pantas.